Selasa, Oktober 13, 2009

PR ISA MEMANG HEBAT


Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr. Tan Seng Giaw mengakui faktor keperibadian calon menyebabkan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, semalam.

Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, semua pengundi berbilang kaum di Bagan Pinang telah mengenali calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai pemimpin yang mesra rakyat.

Tambahan pula, katanya, sebagai bekas Menteri Besar selama 22 tahun, sudah tentu Mohd. Isa telah banyak membantu pengundi di kawasan berkenaan.

''Dia boleh bergaul dengan semua kaum, orangnya amat mesra, itu memang kita tahu tapi dalam pilihan raya walaupun dia mesra kita mesti lawan, kalau tak lawan tak boleh.

''Dalam politik banyak perkara mesti dipertimbangkan, salah satunya keperibadian. Dia bersekolah di situ, membesar di situ, siapa yang tak kenal dia?," katanya sewaktu dihubungi semalam.

Seng Giaw berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar yang sekadar mendapat 2,578 undi berbanding Mohd. Isa sebanyak 8,013 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Seng Giaw berkata, status Bagan Pinang sebagai kubu kuat BN turut membantu kemenangan Mohd. Isa.

Katanya, dalam pilihan raya umum yang lalu, walaupun tiga kawasan DUN dalam Parlimen Teluk Kemang dimenangi pakatan pembangkang, Bagan Pinang dan Linggi tetap berjaya dipertahankan BN.

Mengenai lebih 4,000 undi pos tentera pula, Seng Giaw berkata, beliau enggan membuat tuduhan mengenai kewujudan sebarang unsur penipuan.

Namun katanya, di mana-mana negara sekalipun undi tentera akan berpihak kepada kerajaan kecuali bagi angkatan tentera yang memberontak.