Isnin, Oktober 26, 2009

MEKANISMA SISTEM URUS SUBSIDI DIUMUM AWAL TAHUN DEPAN


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengumumkan mekanisma sistem pengurusan subsidi minyak selewat-lewatnya awal tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengumuman itu akan dibuat setelah kementerian selesai melakukan kajian mengenai cara pemberian subsidi yang betul serta menentukan dan mengenalpasti golongan sasar yang benar-benar memerlukan subsidi tersebut.

"Sasaran itu sedang ditentukan, siapa dan bagaimana akan kita umumkan tidak lama lagi, mungkin tahun depan, mungkin hujung tahun ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sistem pengurusan subsidi minyak yang akan dilaksanakan pada awal tahun depan bagi memastikan hanya golongan sasar mendapat manfaatnya ketika pembentangan Bajet 2010 Jumaat lepas.

Najib berkata pendekatan menyediakan subsidi hanya kepada kumpulan sasar juga akan digunakan untuk komoditi lain.

Ismail Sabri berkata pada masa ini subsidi dinikmati oleh hampir semua rakyat Malaysia tidak kira miskin atau kaya.

"Pada masa ini subsidi diberi kepada semua orang, orang Thailand pun dapat beli minyak pada harga yang murah di Rantau Panjang, sesiapa sahaja di Malaysia sama ada warga asing, orang kaya pun dapat subsidi.

"Jadi ini bermakna kerajaan berbelanja begitu banyak tapi bukan untuk kumpulan sasar yang sebenar yang dapat subsidi itu," katanya.

Ketika pembentangan Bajet 2010, Najib berkata kerajaan akan melaksanakan sistem pengurusan subsidi minyak pada awal tahun depan menggunakan MyKad dan infrastruktur sedia ada.