Jumaat, Oktober 02, 2009

DR MAHATHIR TETAP JADI TUMPUAN


Baru-baru ini saya berpeluang meliputi majlis Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di INTAN Bukit Kiara untuk majalah saya, Business Kini. Beliau merasmikan persidangan tahunan ke 14 perkhidmatan awam yang dihadiri oleh 600 orang peserta termasuk dari luar negara.

Muhyiddin telah menyampaikan ucaptamanya yang bertemakan merubah negara, membina masa depan dan melabur kemakmuran selama satu jam setengah.

Selepas ucaptama itu sepatutnya wartawan pelbagai akhbar balik ke pejabat masing-masing tetapi mereka tidak jadi balik kerana menurut program pada jam 12 tengahari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucapannya berjudul Wawasan 2020: Apa Yang Perlu Dilakukan Seterusnya?

Bagi wartawan, bukan mudah mahu bertemu dengan Dr Mahathir. Jadi inilah peluang mereka untuk menemu ramah beliau walaupun terpaksa menunggu satu jam setengah selepas ucaptama Muhyiddin selesai.

Dalam ucapannya itu Dr Mahathir mengakui bahawa Wawasan 2020 tidak akan tercapai jika strategi sekarang digunakan oleh kerajaan. Oleh itu, katanya, kerajaan kena tukar strateginya. Beliau mengakui jika cadangan gilannya itu diterima pakai oleh kerajaan, pada tahun 2020 akan menjadi negara maju dengan acuannya yang tersendiri.

Beliau secara sinis menyelar pegawai kerajaan yang tidak suka pergi ke pejabat kerana kononnya boleh buat kerja dari rumah dengan menggunakan lap top. Arahan kepada pegawai bawahan boleh dibuat melalui e mail,sms, facebook dan sms.

"Saya sebagai pesara jika tidak masuk pejabat, saya akan sakit. Saya tak boleh duduk diam di rumah. Sebab itu saya tetap masuk pejabat selain menyiapkan kerka dapat bertemu dengan orang ramai, " katanya.

Sambil berseloroh beliau berkata," If I don't work, I will die".

Dr Mahathir walaupun sudah enam tahun bersara tetapi tetap menjadi tumpuan orang ramai. Apa lagi ucapannya di kalangan kakitangan kerajaan memberi makna yang tersendiri untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Kebetulan hari itu saya berpeluang menemui Dr Mahathir sebanyak dua kali. Selepas bertemu di INTAN Bukit Kiara, sebelah petang pula pada jam 6, saya terserempak dengannya di The Mall. Dr Mahathir bersama pemandu dan pengawal peribadinya pergi membeli barang di The Mall. Sekali lagi orang ramai berebut mahu bersalam dengan beliau.