Selasa, Oktober 20, 2009

13 ORANG AHLI POLITIK DISIASAT SPRM


Seramai 12 ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan satu daripada parti pembangkang disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Januari hingga Ogos tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata sebanyak tujuh tuduhan direkodkan untuk ahli politik daripada BN manakala belum ada pertuduhan setakat ini terhadap ahli politik pembangkang.

Liew menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) mengenai langkah mengembalikan keyakinan awam terhadap imej negatif SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara berikutan keraguan umum terhadap perilaku penyiasatan dan pendakwaan terpilih.

Liew berkata statistik itu menunjukkan bahawa SPRM menjalankan siasatan mengikut prosedur undang-undang dan peraturan tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang disiasat mahupun fahaman politik.

"Mekanisme tanggungjawab yang diwujudkan semasa SPRM ditubuhkan jelas membuktikan kesediaan Suruhanjaya itu untuk berperanan secara bebas, telus dan profesional dalam menjalankan penyiasatan ke atas kes-kes rasuah," katanya.

Berhubung pendakwaan terpilih yang dibangkitkan Anwar, Liew berkata pendakwaan sesuatu kes hanya akan dilakukan terhadap mana-mana orang tanpa mengambil kira kedudukan mereka sekiranya terdapat keterangan mencukupi bagi mendapatkan sabitan.

"Bagi kes-kes yang dikendalikan oleh SPRM, semua kes yang diputuskan untuk tidak dituduh perlu dilaporkan ke Panel Penilaian Operasi yang terdiri daripada individu profesional dalam bidang masing-masing serta bertindak secara bebas," katanya.