Isnin, September 14, 2009

PERKASA BANGKIT SEMANGAT MELAYU


Saya baru sampai di rumah dari majlis berbuka puasa PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur petang tadi. Terima kasih kepada Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang mengadakan majlis berbuka untukmedia.

Walaupun saya sudah tidak ada media, Tok Him tak lupa menjemput saya melalui sms pagi tadi. Sudah tiga bulan Tok Him tidak hubungi saya setelah saya gagal menghadiri majlisnya diPasir Mas pada Jun lalu. Kebetulan ada kemalangan di Merapoh yang menyebabkan jalan ke Kota Bharu terputus. Jadi saya terpaksa patah balik ke Kuala Lumpur pada tengah malam itu. Sejak saya tidak hadiri majlis tersebut, hubungan saya dengan Tok Him agak renggang.

Terkejut juga bila saya terima sms beliau pagi ini setelah tiga bulan beliau tidak hubungi saya. Saya tidak lepaskan peluang untuk bertemu muka dengan Tok Him. Ramai watawan yang hadir pada malam ini termasuk Ketua Pengarang Utusan Melayu, Datuk Aziz Ishak. Datuk Ron selaku Ketua Penerangan PERKASA hadir sama. Begitu juga seorang blogger, Hussein Lempoyang.

Turut hadir ialah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Aziz Shamsuddin yang merupakan tetamu khas PERKASA. Tok Him dalam ucapannya memberi penghargaan kepada semua media yang banyak memberi liputan kepada ANGKASA. Beliau kesal dengan perwakilan MIC yang sanggup menghina Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan MIC patut mengalungkan selipar di tengkuk Dr. Mahathir. Aziz Shamsuddin yang merupakan bekas setiausaha politik Dr. Mahathir selama 20 tahun turut berucap yang mengingatkan semua orang Melayu supaya bersatu.

Katanya, bila UMNO lemah, orang India dan orang China mula tunjuk belang mereka.

"Ini adalah kerana orang Melayu berpecah maka orang bukan Melayu mula berani mempertikai hak kita," katanya.

Beliau sedih bila pemimpin bukan Melayu dari Singapura datang ke Malaysia bukan untuk jumpa Perdana Menteri tetapi jumpa isteri Perdana Menteri.

"Ini menimbulkan pelbagai spekulasi yang menunjukkan betapa lemahnya pemimpin kita," tegasnya lagi.

Pada majlis yang sama, Tok Him turut meraikan 12 orang wira yang terlibat dalam demonstrasi membantah pembinaan kuil di Shah Alam baru-baru ini. Wakilnya turut berucap untuk membangkitkan semangat Melayu di mana kaum minoriti diberi hak membina rumah ibadat di kawasan yang bukan majoriti kaumnya.

Apabila UMNO sudah lemah, orang Melayu tidak berharap kepada UMNO lagi. Adakah PERKASA sebagai NGO yang mempertahankan hak orang Melayu akan menjadi pengganti UMNO apabila UMNO berkubur kelak? Ini yang menjadi tanda-tanya kita hala tuju sebenar PERKASA.