Selasa, September 08, 2009

LETAK ORANG BARU PUN MENANG


Barisan Nasional (BN) akan memastikan calonnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang nanti adalah orang yang layak dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut.


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam hal ini soal sama ada yang terpilih sebagai calon itu wanita atau lelaki adalah tidak penting sebaliknya penilaian berdasarkan siapa yang paling layak dan sesuai.


"Ini kita akan timbang berdasarkan pada beberapa cadangan yang dikemukakan oleh UMNO bahagian dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.


"Kita akan meneliti bila sudah dikemukakan nama itu, kita akan lihat. Tak kira dia lelaki atau wanita, yang paling penting ialah calon yang layak dan sesuai," katanya.


Timbalan Perdana Menteri bercakap pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara di sini semalam.


Muhyiddin diminta mengulas saranan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim supaya calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dipilih daripada kalangan pemimpin wanita selepas kesemua pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum lalu menampilkan calon lelaki.


Kerusi DUN Bagan Pinang yang terletak dalam Parlimen Telok Kemang, Negeri Sembilan, kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.


Azman, 54, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan bermesyuarat Isnin depan bagi mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil kawasan itu.


Oleh kerana BN menang besar pada pilihanraya umum lalu, BN tak perlu letak Ketua UMNO Bahagian bertanding, Tan Sri Isa Samad. Kecuali BN menang kecil dapatlah letak Isa untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.
Jadi apa salahnya BN letak orang baru sama ada calon pemuda atau wanita atau ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang ada rekod bersih. Rekod Isa sudah tercalar kerana terlibat dengan politik wang. Sedikit sebanyak ia menjejaskan kempen BN seperti kes pecah amanah calon BN Permatang Pasir baru-baru ini.


Saya yakin jika BN letak orang baru pun, BN tetap menang kerana undi pos yang menyelamatkan DUN Bagan Pinang walaupun undi pos itu mengalahkan kerusi parlimen Teluk Kemang yang ditandingi oleh calon MIC.