Selasa, September 01, 2009

IDRIS ANGKAT SUMPAH SENATOR


Datuk Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai senator pagi ini, dan akan melaksanakan tugas baru sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang baru diwujudkan.


Idris, 51, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng di Dewan Negara di Kuala Lumpur.


Pelantikan Idris diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.


Menyifatkan pelantikannya sebagai satu tugas khidmat negara, bekas CEO Malaysia Airlines itu berkata beliau berazam untuk melaksanakan tugas dengan tekun."


Saya amat gembira berada di sini dan saya akan buat kerja saya dengan bertungkus lumus untuk kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas upacara itu.


Beliau turut menjelaskan selaku CEO Pemandu, beliau akan melaporkan terus kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, oleh itu tidak berlaku pertindihan dalam melaksanakan tugas.


"Dalam hubungan ini, saya sebenarnya bukanlah menteri dalam kapasiti itu," katanya.


Beliau berkata keutamaannya dalam Pemandu sekarang ialah untuk mendapatkan butiran terperinci berhubung kemajuan Indeks Prestasi Utama (KPI) sehingga kini dan akan merangka lebih banyak inisiatif untuk terus menggerakkannya dalam usaha mencapai objektif nasional.


Mengenai tugas sebagai menteri, Idris berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan daripada Perdana Menteri.


"Tanggungjawab itu akan diberikan kepada saya dari semasa ke semasa oleh Perdana Menteri," katanya.


Mengenai pengganti beliau dalam MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin, Idris berkata beliau berkeyakinan penuh terhadap Azmil untuk memacu syarikat penerbangan kebangsaan itu ke arah kejayaan yang lebih gemilang.