Jumaat, September 04, 2009

BAGAN PINANG ANGKAT MARUAH BN


Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari berikutan kematian ADUNnya, Azman Mohd. Noor. Selama ini BN asyik kalah dalam pilihanraya kecil kecuali Batang Ai di Sarawak, maka Bagan Pinang di Negeri Sembilan dijangka mengangkat maruah BN.


Ini adalah kerana BN menang besar pada pilihanraya umum lalu mengalahkan calon PAS dengan majoriti 2,333 undi. Oleh itu agak sukar bagi PAS mahu menumbangkan BN kecuali PAS meletakkan calon heavyweight yang sudah dikenali umum.


Azman Mohammad Noor, 54, meninggal dunia di Hospital Pakar Seremban di sini pada pukul 2.30 petang hari ini.


Anak lelakinya Hairol Asfani, 22, berkata bapanya meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah.Allahyarham yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang di Port Dickson memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Azman mendapat 6,430 undi manakala Ramli mendapat 4,097 undi.


DUN Bagan Pinang merupakan satu daripada lima DUN di kawasan Parlimen Teluk Kemang. Empat lagi DUN ialah Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.


Ekoran kekosongan kerusi itu, satu pilihan raya kecil dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari untuk memilih wakil rakyat baru.BN menguasai 21 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.


Pada pilihan raya lepas, DAP menang 10 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (4) dan PAS (1)


Allahyarham meninggalkan seorang isteri Normah Zainal Abidin, 49, dan lima orang anak iaitu Mohd Khusairi, 23, Hairol Asfani, 22, Norsyazila, 19, Norsyafikah, 16, dan Norsyafitra, 13.


Hairol Asfani yang ditemui pemberita di hospital itu berkata bapanya dimasukkan ke hospital pada pukul 3.30 pagi tadi akibat demam dan tidak boleh berjalan.


"Ayah mengadu demam sebelum ini tapi boleh berjalan tetapi lepas berbuka (puasa) petang semalam ayah tidak boleh berjalan," katanya.


Beliau berkata semua anggota keluarga berada di sisi bapanya semasa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 2.30 petang.


Hairol Asfani berkata bapanya pernah menjalani pembedahan pintasan koronari pada Mei lepas.


Turut hadir di hospital ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Besar yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.


"Allahyarham merupakan kawan lama saya dalam Umno, tambahan pula beliau adalah Naib Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan telah berkhidmat dengan baik. Saya berharap keluarga allahyarham dapat bersabar menerima dugaan ini dengan tabah," kata Mohamad.


Mohd Isa pula berkata pemergian allahyarham adalah kehilangan seorang tokoh Umno Bahagian Telok Kemang dan Negeri Sembilan.


Katanya allahyarham adalah seorang yang taat kepada parti dan komited dalam tugasan yang diberikan kepadanya.Jenazah allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan kariah Bagan Pinang malam Jumaat.