Isnin, Ogos 10, 2009

YASMIN DINOBATKAN PENGARAH TERBAIK


Arwah Yasmin Ahmad dinobatkan sebagai pengarah terbaik bagi filem Talentime pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 di Kota Kinabalu Sabtu malam.


Beliau turut memenangi anugerah lakon layar terbaik bagi filem itu yang memperuntukkan hadiah berupa trofi serta wang tunai RM15,000, dan filem Talentime itu turut memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui Mohd Shafie Naswip yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000


Selain itu filem Talentime bersama tiga lagi filem; Kami-The Movie, Histeria dan Geng: Pengembaraan Bermula turut menerima menerima Anugerah Khas Juri Utama.


Malam anugerah yang buat pertama kalinya diadakan di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah menyaksikan Trofi serta wang tunai RM20,000 hadiah bagi Pengarah Terbaik, disampaikan kepada adik perempuan Yasmin.


Yasmin, 51, meninggal dunia pada 25 Julai lepas kira-kira pukul 11.25 malam selepas diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.


FFM Ke-22 turut memberi penghormatan kepada pengarah itu dengan menayangkan klip video khas kira-kira dua minit yang memaparkan petikan-petikan dari filem serta iklan arahan Yasmin, dengan pelakon dan penyanyi Adibah Noor tampil sebagai suara latar.


Pemenang rancangan realiti Akademi Fantasia 6, Stacy, kemudiannya mempersembahkan lagu bertajuk 'Angel' bagi mengenang pemergian Yasmin.


Sementara itu, filem 'Papadom' arahan Afdlin Shauki memenangi anugerah filem terbaik dan membawa pulang trofi serta wang tunai RM50,000.


Afdlin sendiri memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik, manakala pelakon wanita terbaik dimenangi Liyana Jasmay, masing-masing menerusi filem Papadom, dan masing-masing membawa pulang trofi serta wang tunai RM15,000 bagi kategori berkenaan.


Papadom turut memenangi dua lagi anugerah iaitu cerita asal terbaik dan skor muzik asal terbaik.Sementara itu, filem Setem arahan Rashidi Ishak pula memenangi tiga anugerah iaitu sinematografi terbaik, penyunting terbaik serta penataan seni terbaik, dan filem Cicakman 2 terbitan KRU Studios memenangi anugerah penataan bunyi terbaik serta pereka busana terbaik.


Anugerah filem komedi terbaik pula dimenangi filem 'Los dan Faun' terbitan Vision Works, manakala pelakon pembantu wanita terbaik dimenangi Salina Saibi menerusi filem Bohsia, sementara James Lee dipilih sebagai pengarah harapan menerusi filem Histeria.


Sementara itu, FFM Ke-22 turut menyampaikan anugerah kepada Omar Man dan Mariani Ismail, masing-masing dinobatkan sebagai pelakon lelaki veteran terbaik dan pelakon wanita veteran terbaik, manakala S.Shamsudin dipilih sebagai seniman veteran terbaik.


Hadir pada malam anugerah tersebut ialah Yang Dipertua Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.