Rabu, Ogos 05, 2009

UMNO TAK PERLU TAKUT DENGAN ANWAR


UMNO tidak pernah takut berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengkhianat bangsa itu sememangnya bertanggungjawab kepada perpecahan perpaduan orang Melayu, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.


“Siapa dia Anwar ? Pengkhianat bangsa Melayu yang mengamalkan dasar pecah belah dan memperalatkan orang Melayu untuk memuaskan nafsu politik peribadinya,” jelasnya.


Menurut beliau, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah banyak menyusahkan rakyat dan kestabilan negara menerusi gerakan politik jalanan termasuk berdemontrasi.


Syed Ali menegaskan, parti pembangkang termasuk Anwar hanya menggunakan isu ‘saman’ apabila terdesak.


“Pemimpin UMNO bukan pengecut dan kita akan tentang mana-mana pihak termasuk Anwar yang cuba menghancurkan perpaduan dan kepentingan orang Melayu,” tegasnya.


Katanya, semalam Anwar telah memfailkan saman berjuta ringgit ke atas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa beliau sebagai pengkhianat bangsa.


“Memang dia pengkhianat bangsa Melayu, saya harap semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian akan menggelarkan Anwar sebagai pengkhianat kerana perlakuan politiknya telah memecahbelahkan perpaduan umat,” tegasnya


Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak perlu takut dengan ancaman saman yang akan dilakukan oleh Anwar kerana majoriti rakyat di negara ini sudah meluat dengan putarbelit beliau.


Syed Ali menegaskan demikian ketika berucap di majlis penutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, yang disempurnakan Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, malam tadi.


Hadir sama di majlis tersebut Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wiayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Zainal Abiddin, Ketua-Ketua UMNO Bahagian serta ketiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan.


Menurut Syed Ali lagi, Anwar sengaja mendalangi demontrasi jalanan memansuhkan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur Sabtu lalu kerana ada agenda tertentu.


Katanya, Anwar sengaja mencetuskan kekecohan dan galakkan segelintir pengikutnya berhimpun secara haram supaya beliau ditangkap dan ditahan dengan harapan kes liwatnya akan ditunda.


“Inilah taktik beliau, kes liwatnya sudah tentu akan ditunda entah keberapa kali dan akhirnya kes itu semakin hilang daripada perhatian rakyat,” katanya.


Beliau juga melahirkan rasa hairan kenapa Mahkamah Tinggi asyik tunda kes Anwar sehingga rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kredibiliti sistem perundangan.


Dalam nada kecewa, Syed Ali sekali lagi mendesak Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein supaya tegas dan menahan mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram di bawah akta ISA.


“Saya kecewa kementerian berkenaan hanya keluarkan amaran demi amaran, tetapi bertindaknya tidak, sepatutnya tahan pemimpin mereka di bawah ISA kerana mendalangi demontrasi baru-baru ini,” tegasnya.


(dipetik dari blog umno bahagian cheras)