Isnin, Ogos 17, 2009

ROHAIZAT SEDIA JAWAB TUDUHAN


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sudah bersedia menghadapi pihak pembangkang sepanjang tempoh berkempen bermula hari ini.


Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah menjangka akan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan bersifat peribadi tetapi menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi ekoran kesediaannya bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.


''Saya sudah bersedia untuk menghadapi tuduhan (pembangkang) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen), saya akan menjawab apabila tiba masanya.


''Bagaimanapun, pada masa ini, saya serahkan kepada Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menjelaskannya. Satu kenyataan mengenai perkara ini akan dikeluarkan beliau petang ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini kelmarin.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa beliau disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam Malaysia.


Rohaizat bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hafarizam untuk menjelaskannya.


Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan peluang BN di Permatang Pasir, Rohaizat berkata, '' Saya tidak fikir begitu."


Tambahnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah dan menganggapnya sebagai satu isu lama yang sudah selesai dan tiada kaitan dengannya.


''Saya memang seorang peguam, tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu," kata Rohaizat sambil menambah, beliau sedar isu yang cuba hendak dibangkitkan oleh Pas itu.


Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rohaizat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calon BN yang bakal dicabar Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52 tahun.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.