Selasa, Ogos 18, 2009

PADAN MUKA UNDI PAKATAN RAKYAT


''Kami tidak akan undi pakatan pembangkang lagi.'' Itu adalah luahan perasaan marah penduduk Islam di Seksyen 23 di Shah Alam semalam setelah kecewa dengan keputusan kerajaan negeri membina kuil berhampiran kawasan kediaman mereka.


Menurut penduduk, keputusan itu tidak wajar kerana majoriti penduduk kawasan itu beragama Islam manakala penganut Hindu hanya berjumlah 40 orang.


Tegas mereka, sekiranya kerajaan negeri berkeras untuk membina kuil di tanah seluas 0.2 hektar itu, ia jelas menunjukkan pimpinan pakatan pembangkang tidak peka dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam di kawasan itu.


Berikutan itu, penduduk menyerahkan memorandum membantah pembinaan kuil itu ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang terletak berhampiran tapak kuil itu.


Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Persatuan Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf kepada Pegawai Khas kepada Rodziah, Naim Yusri.


Ketika ditemui selepas itu, Ahmad Mahyuddin berkata, keputusan kerajaan negeri itu jelas bertentangan dengan janji pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu yang kononnya akan menghormati sensitiviti semua kaum dan agama dalam dasar pentadbiran mereka.


Jelasnya, penduduk kesal dengan keputusan itu kerana pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memutuskan tiada sebarang pembinaan dilakukan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu.


Malah, cadangan pembinaan kuil itu telah dipindahkan ke Seksyen 22 yang mempunyai ramai penganut Hindu selaras dengan keputusan kerajaan negeri ketika itu.


''Kita bertegas tidak mahu kuil Hindu dibina di kawasan ini kerana tidak kena pada tempatnya. Malah ketika keputusan pembinaan kuil ini dibuat, kerajaan negeri tidak mengadakan perbincangan dengan penduduk terlebih dahulu,'' ujarnya.


Ahmad Mahyuddin turut menyalahkan Rodziah serta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kerana bersikap seolah-olah 'tutup mata' dan membiarkan sahaja keputusan kerajaan negeri itu sedangkan mereka boleh memberi pandangan dalam isu itu.


Malah jelasnya, kedua-dua pemimpin itu gagal memberikan sebarang jawapan atau tindakan walaupun surat bantahan telah dikemukakan kepada mereka pada 26 Mei lalu.


Sebaliknya, Exco kerajaan negeri, Xavier Jayakumar telah mengumumkan pembinaan kuil di kawasan itu yang disiarkan oleh akhbar pada 11 Ogos lalu.


Seorang lagi wakil penduduk, Ramzi Abdul Rahman, 40, pula memberitahu, bantahan penduduk dibuat berasaskan kepada masalah dan kehendak majoriti penduduk di kawasan itu, bukannya didorong oleh mana-mana parti politik termasuk BN.


Beliau meminta kerajaan negeri tidak terus menuduh tindakan penduduk itu bermotifkan politik dan dipengaruhi mana-mana parti.


''Bantahan ini datang dari hati penduduk. Kita tidak mahu kerajaan negeri berikan alasan politik dalam hal ini tetapi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.


''Kita tidak ada niat untuk bersifat perkauman atau menghalang kaum lain mengamalkan agama mereka, tetapi kita mahu mereka turut menghormati umat Islam di kawasan ini,'' ujarnya.