Jumaat, Ogos 28, 2009

BELI ROKOK MAMPU, BELI BENDERA TAK MAMPU


Rakyat Malaysia masih lagi terlalu bergantung kepada sambutan Hari Kemerdekaan yang dianjurkan oleh kerajaan untuk menunjukkan semangat patriotik mereka, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.


Katanya, ramai di antara mereka yang mampu membeli sekotak rokok berharga RM6.80 tetapi berkira setiap sen untuk mendapatkan sehelai bendera kecil berharga tidak lebih daripada RM3.


"Agihan bendera sesekali bolehlah dibuat tetapi kita haruslah melatih dan mendidik masyarakat supaya mereka mencontohi rakyat Singapura dan Indonesia di mana semangat cintakan negara disemai melalui keluarga masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM700 kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Triang, Kampung Petaling dan Kampung Gagu di sini Jumaat.


Seramai 95 keluarga menerima sumbangan yang dihulurkan oleh kerajaan negeri dan daripada Rais, selaku Anggota Parlimen Jelebu.


Rais berpendapat semangat patriotik di kalangan rakyat negara ini masih belum kuat lagi.


Mengenai sambutan 31 Ogos ini yang dibuat secara sederhana akibat penularan penyakit H1N1 dan bagi menghormati Ramadan, beliau berkata sambutan detik 12 malam tetap diadakan seperti biasa.


"Cuma malam itu kita sambut melalui upacara keagamaan. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin akan bersama rakyat di masjid manakala masyarakat agama Kristian akan dikepalai oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok dalam satu upacara yang dibuat di sebuah gereja di Kuala Lumpur," katanya.


Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat akan mengetuai masyarakat Cina untuk upacara di tokong dan Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S. Subramaniam mengepalai kaum Hindu, katanya.Rais berkata ketiga-tiga kaum terbesar negara ini akan berdoa mengikut kepercayaan masing-masing supaya negara ini sejahtera dan sentiasa teguh.