Baru satu tahun lima bulan pilihan raya umum 2008 berlalu tetapi di kawasan parlimen Permatang Pauh, pengundinya berpeluang menghadapi pilihan raya kecil sebanyak tiga kali dalam tempoh 17 bulan. Ia adalah satu rekod yang pertama kali dalam sejarah satu kawasan parlimen.
Selepas Dr. Wan Azizah menangi kerusi Permatang Pauh pada 8 Mac tahun lalu dengan majoriti 13,398 undi mengalahkan Pirdaus Haji Ismail dari BN, beliau letakkan jawatan untuk beri laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim aktif semula dalam politik.
Maka pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan pada 26 Ogos 2008 selepas lima bulan pilihan raya umum. Anwar menang dengan majoriti yang lebih besar dari majoriti yang diperolehi isterinya. Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi manakala calon BN, Arif Shah Omar Shah dapat 15,524 undi, lebih kecil dari undi yang dipungut oleh Pirdaus, 16, 950 undi. Anwar dapat peningkatan undi sebanyak 31,195 undi berbanding dengan isterinya yang dapat 30,348 undi.
Kemenangan besar Anwar menandakan Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR. Sebab itu apabila ADUN Penanti, Mohamad Fairus meletakkan jawatan atas sebab-sebab peribadi pada 16 April lalu, BN tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei lalu.
BN tidak bertanding atas alasan pilihanraya kecil itu diadakan bukan kerana mengisi kekosongan akibat kematian wakil rakyat. Maka BN rasakan ia adalah satu pembaziran. Maka calon PKR, Dr. Mansor Othman menang dengan majoriti 5558 undi lebih besar dari majoriti Mohamad Fairus yang dapat majoriti 2219 undi mengalahkan calon BN, Jalil Abdul majid.
Dr. Mansor yang dapat 6052 undi mengalahkan tiga calon Bebas, Aminah Abdullah yang dapat 392 undi, Nai Khan Ari yang dapat 494 undi dan Kamarul Ramizu idris yang dapat 56 undi. Undi yang dipungut Dr. Mansor sebanyak 6052 undi bagaimanapun lebih rendah dari undi yang dipungut oleh Mohamad Fairus pada tahun lalu sebanyak 7,346 undi.
Sekali lagi pilihanraya kecil terpaksa diadakan di kawasan parlimen Permatang Pauh apabila wakil rakyat tunggal PAS, ADUN Permatang Pasir, Mohd. Hamdan Abdullah meninggal dunia pada bulan lepas.
SPR telah menetapkan hari pembuangan undi pada 25 Ogos ini. Pada tahun lepas, Hamdan menang dengan majoriti 5433 undi mengalahkan calon BN Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5571 undi. Hamdan dapat 11,004 undi.
PAS akan mempertahankan kerusi Permatang Pasir dan BN akan bertanding kerana ia diadakan akibat kematian wakil rakyat. Oleh itu BN akan berhempas pulas untuk merampas kerusi PAS ini.
Sudah dua pilihanmraya kecil diadakan di dalam kawasan parlimen Permatang Pauh di DUN Penanti dan DUN Permatang Pasir. Kita harap selepas ini tidak ada pula pilihanraya kecil di satu lagi DUN dalam Permatang pauh, DUN Seberang jaya yanmg dimenangi calon BN, Raja Arif Shah selepas ini. Jika tidak, para pengundi dalam parlimen Permatang pauh kena keluar mengundi lagi.
Pilihan raya kecil ini amat menarik kerana ia adalah satu ujian kepada Pengerusi baru Badan perhubungan UMNO Pulau Pinang, Dr. Ahmad Zahid Hamidi.