Jumaat, Jun 05, 2009

DR RAMZI MULA DIDAKWA DI MAHKAMAH


Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), April lalu.

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh itu yang memakai suit hitam serta bertali leher merah kelihatan tenang ketika membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi, 37, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah untuk menimbulkan kegentaran kepada beliau.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit, di sini kira-kira pukul 11.21 malam, 13 April lalu.

Ketika melakukan ugutan tersebut, Ahmad Ramzi didakwa menyembunyikan nama dan tempat tinggalnya.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Ahmad Ramzi juga menghadapi tuduhan kedua dan ketiga iaitu didakwa melakukan perbuatan sama kepada ADUN Permaisuri, Abd. Halim Jusoh pada pukul 11.21 malam dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pada pukul 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia turut menghadapi tuduhan pilihan iaitu menggunakan perkhidmatan Internet melalui alamat Internet Protokol 60.53.155.148 secara sedar menghantar SMS 'Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?' yang mengancam sifatnya kepada Mohd. Ariffin, Abdul Halim dan Rosol untuk menganiayai Wan Ahamad Wan Muda pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi tuduhan pilihan ini, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Bekas calon kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac tahun lalu itu juga menghadapi tuduhan memfitnah Wan Ahamad dengan menghantar SMS mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd. Ariffin, Abd. Halim dan Rosol.

Ahmad Ramzi dituduh menghantar SMS yang sama kepada mereka melalui laman web http://ownsms biz.com/v1 menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad antara pukul 11.21 malam dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Abdul Rahman.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi yang bertugas sebagai pegawai khas kepada Idris yang kini Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan menyerahkan pasport antarabangsanya sebagai syarat jaminan.

Hakim menetapkan 19 Julai ini sebutan semula kes itu bagi membolehkan pihak pembela mendapatkan beberapa dokumen dari pihak pendakwa.