Isnin, Mei 11, 2009

POLIS LAMBAT DEDAHKAN ANGKARA SMS


Meneliti kisah politik Kuala Terengganu yang berkisar di kalangan UMNO sahaja, rasanya malu pula saya dengan parti komponen lain terutama MCA dan MIC yang tidak berbunyi apa pun.


Mungkin mereka berbual sesama sendiri mengatakan ‘teruknya politik Melayu ni’. Sementara itu, PAS Terengganu pun sibuk menggumpul data untuk dijadikan bahan menyerang BN dalam pilihan raya umum akan datang atau apabila sekiranya berlaku pilihan raya kecil nanti.


Jembalang 10 yang memulakan kemelut politik di Terengganu sebenarnya merupakan satu kumpulan kecewa yang menyerupai ‘gangstar’ bertujuan mahu menjatuhkan menteri besar, Datuk Ahmad Said dengan secara tidak langsung telah membinasakan UMNO dan BN yang kini bukan sesihat yang kita lihat dengan mata kasar.


Mereka gagal melihat seruan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berusaha dengan jentera baru UMNO mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO dan BN.


Atas sifat itu, Jembalang 10 boleh dianggap sedang mengkhianati parti yang mereka anggotainya.


UMNO ada perlembagaan dan ada jawatankuasa disiplin yang sudah patut bertindak terhadap mereka yang sudah terang-terang cuba mencabuli perlembagaan parti. Mereka sudah layak dipanggil dan menunjukkan sebab masing-masing mengapa mereka begitu mengganas dan hilang setia kepada pemimpin yang sedia ada.


Mereka begitu celubar, begitu cabul dalam memberi kenyataan media dan tidak segan silu memutarbelitkan faktar dalam blog-blog yang diwujudkan untuk menyampaikan hasrat mereka dalam mengejar niat jahat mereka mengerjakan Ahmad Said yang tidak nampak sedang melakukan apa-apa kesalahan dalam mentadbir Negeri Terengganu.


Kalau tiga orang sahaja yang menerima SMS diugut tidak hadir persidangan, mengapa yang 7 lagi juga turut tidak hadir? Dengan fakta itu sahaja sudah cukup untuk disimpulkan mereka sekumpulan yang pasti ada ketuanya. Dan siapa ketuanya? Mungkinkah kita mahu kekal mempercayai Idris Jusoh ketuanya? Atau apakah ada orang lain yang berselindung disebalik kumpulan ini yang lebih bahaya?


UMNO tidak sepatutnya memandang bulu, memandang darjat atau siapa dalam soal ini kerana kalau mereka tidak ditegur, tidak diberi amaran atau tidak diambil apa-apa tindakan dari sekarang yang sudah agak lewat, mereka akan merebak dan tentunya menjejaskan kredibiliti pemimpin sedia ada seperti Ahmad Said yang mahu terus buat kerja untuk rakyat dengan tenang.


Kerja mereka sepatutnya memberi kerjasama dan menunjukkan taat setia, beri sokongan dan mendekati pemimpin mereka yang sudah menududuki tempat menteri besar supaya pemimpin UMNO di semua peringkat dilihat merapatkan jurang dan ia dengan sendirinya akan memantapkan UMNO dan BN.


Apabila Najib mengarahkan mereka hadir persidangan keesokan harinya, mereka boleh pula turuti dan tidak ada siapa pun yang kena bunuh! Mereka semua masih hidup seperti sedia kala!
Adalah satu perkara malang apabila SMS yang dikesan tersebar kepada ADUN kepada Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) telah pun menemui puncanya datang dari seorang kerani swasta dari Selangor.


Sipengirim telah ditahan dan dibawa ke Terengganu untuk disoalsiasat. Tetapi selepas tempoh reman yang dilanjutkan, tidak ada siapa pula yang dikaitkan untuk didedahkan kepada orang ramai yang terlalu ingin mengetahui siapa dan apa tujuan SMS itu dihantar.


Apabila kita kata tindakan pihak polis lambat, ada pihak yang melenting kerana pada polis, perkara ini dalam siasatan dan tidak boleh diungkit. Pada hal kita bukan mahu ungkit, tetapi mahu tahu kesinambungannya dan siapa yang polis sedang cari, apakah polis memerlukan bantuan orang ramai kalau mereka yang dicari itu sudah hilang.


Kes ini sebenarnya serius. Kita tidak boleh beri suspens lama-lama. Ia sepatutnya sudah mendedahkan lanjutan siasatan itu setelah yang direman itu tentunya sudah mengeluarkan butir-butir untuk polis menyiasat selanjutnya.


Bukan sahaja rakyat Terengganu mahu tahu, malah mereka yang mengikuti perkembangan itu mahu tahu siapa disebaliknya. Kalau gang 10 tidak terlibat pun, dedahkan supaya wasangka ini tidak berlarutan. Setakat ini semua percaya gang 10 terlibat secara langsung. Ia menimbulkan prasangka buruk yang berpanjangan.


Dalam menghadapi masalah mengacau ketenangan Terengganu, kita tidak boleh membiarkan Ahmad Said seorang sahaja yang terus menerus ditekan sedangkan tidak pihak lain yang menekan gang 10 yang memulakan angkara yang merosakkan parti, nama BN dan negara amnya.


Kumpulan yang tidak senang dengan Ahmad Said lagi bertambah gelisah mendengarkan kata Datuk Seri Hishamuddin berkata jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu akan dikembalikan kepada menteri besar sebaik sahaja kemelut politik di negeri itu selesai.


Rencana ini ditulis oleh Zakaria Bidin