Isnin, April 20, 2009

BN TERENGGANU DI AMBANG KEHANCURAN


Hairan juga kenapa selepas Najib Razak jadi Perdana Menteri tiba-tiba krisis politik Terengganu meletup? Apa motif 10 orang pemberontak ini yang kononnya enggan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri minggu lalu kerana diugut nyawa mereka melalui SMS?


Yang peliknya tiga ADUN yang diugut nyawa tetapi tujuh ADUN lain pula bersekongkol sekali mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel pada hari tersebut. Jadi apa sebenarnya yang berlaku?


Nampaknya 10 pemberontak ini tidak belajar dari sejarah kekalahan BN pada tahun 1999. Kekalahan BN Terengganu pada tahun 1999 kerana wujudnya kem Wan Mokhtar dan kem Yusof Noor. Kebetulan mereka adalah Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Ketua UMNO Bahagian Besut.


Sejarah berulang. Kini wujud pula kem Ahmad Said dan kem Idris Jusoh yang juga mereka berdua Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Ketua UMNO Bahagian Besut. Nampaknya orang Kemaman dan Besut dari era Wan Mokhtar lagi tetap bermusuh dalam politik.


Peteh keting antara penyokong Wan Mokhtar dan Yusof Noor menyebabkan BN kalah teruk pada tahun 1999. Nampaknya pada pilihanraya umum akan datang, 2012, BN Terengganu akan menerima nasib yang sama apabila penyokong Ahmad Said dan penyokong Idris Jusoh terus bertelagah.


Siapa rugi bila 10 pemberontak ini berterusan mempertikai kepimpinan Ahmad Said. Sudah tentu rakyat yang rugi kerana 10 orang pemberontak ini sudah kaya raya. Mereka semua ada rumah besar, kereta mewah. Yang menderita adalah rakyat yang tidak dapat cari makan akibat tindakan mereka yang menyebabkan politik Terengganu tidak setabil.
Menurut seorang rakan yang duduk serumah tetapi jarang datang dari Kuala Terengganu, Abdul Mubin Ismail, punca kemarahan 10 pemberontak ini ialah kerana dua orang sahaja. Satu, mereka marah kepada Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu, Rosli Mat Hassan yang menyebabkan mereka tidak dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras DUN walaupun mereka adalah ADUN. Dua, mereka marah kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahmad. Wan Ahmad terlalu berkuasa menyebabkan TCS marah kepada Ahmad said.


Jika dua orang ini punca kepimpinan Ahmad Said dimarahi rakyat Terengganu, maka Ahmad Said kena tukar mereka berdua dengan orang lain. Bertindak segera sebelum terlambat. Jika Ahmad Said tidak gantikan mereka, silap-silap BN Terengganu akan kecundang dalam pilihan raya umum akan datang.


Yang boleh menurunkan Ahmad Said ialah Sultan Terengganu yang juga Yang Dipertuan Agong. Ahmad Said tidak pernah bermimpi mahu menjadi Menteri Besar tetapi oleh kerana Yang Dipertuan Agong tidak mahu Idris Jusoh, maka Baginda tidak ada pilihan lain selain dari melantik Ahmad sebagai pengganti Idris Jusoh. Itulah yang dikatakan rezeki Ahmad Said sedangkan pada mulanya namanya turut digugurkan sebagai calon BN di DUN Kijal.


Oleh kerana Yang Dipertuan Agong yang melantik Ahmad Said maka Baginda juga yang dapat menurunkan beliau jika benar dalam masa setahun ini tindak-tanduk beliau menimbulkan kemarahan rakyat Terengganu. Tidak ada sebab rakyat mahu marah kepada Ahmad kerana beliau dapat mengembalikan semula royalti minyak ke pangkuan negeri Terengganu. Yang marah kerana 10 pemberontak ini adalah orang yang kecewa, tidak dapat projek dan tidak dapat jadi pengerusi anak syarikat kerajaan negeri.


Mereka ini sudah ditolak oleh ahli UMNO di peringkat bahagian masing-masing. Rosol Wahid kalah mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian Hulu Terengganu. Beliau sendiri penakut lawan Ketua UMNO Bahagian, Tengku Putera Tengku Awang.


Din Adam kalah kepada Rosli Mat Hassan di Dungun. Zakaria kalah di tangan Zaabar di Dungun bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Mereka ini tidak ada niat lain selain untuk memalukan Ahmad Said dengan harapan Najib menukar Ahmad Said dengan orang lain sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.


Sejauh mana Ahmad Said bertahan sebagai menteri besar banyak bergantung kepada Yang Dipertuan Agung. Najib sendiri tidak berani campur. Kononnya Najib hantar nama Idris sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada Yang Dipertuan Agong dan Baginda tidak perkenan Idris dilantik menteri, maka Ahmad Shabery Cheek dikekalkan sebagai menteri dalam kabinet Najib heboh diperkatakan orang. Takkan Najib sebodoh itu mahu hantar nama Idris sedangkan Najib tahu nama Idris sudah ditolak oleh Baginda sebagai Menteri Besar Terengganu. Takkan Najib mahu cari nahas dengan Yang Dipertuan Agong.


Justru itu jika Baginda masih mahu Ahmad Said sebagai menteri besar, 10 orang pemberontak ini hendaklah akur. Janganlah tindak-tanduk anda merugikan UMNO pada pilihan raya umum akan datang. Jika Ahmad Said terus dikekalkan sebagai menteri besar, maka beliau perlu tukar Rosli Mat Hassan dan Wan Ahmad secepat mungkin. Jika tidak BN Terengganu di ambang kehancuran!


Kumpulan 10 ini jika Najib masih mengekalkan Menteri Besar dan pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, maka terimalah Ahmad said. Jika tidak letak jawatanlah sebagai ADUN. Dahulu Rosol kata beliau mahu letak jawatan ADUN Ajil, maka inilah masa yang sesuai untuk letak jawatan walauoun beliau tidak boleh bertanding semula dalam tempoh lima tahun. ternyata tindakan 10 orang pemberontak ini menguntungkan PAS pada pilihan raya umum akan datang.