Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, melalui skim berkenaan golongan terbabit akan menerima elaun khas bagi tempoh tertentu sehinggalah mereka mendapat pekerjaan baru.
Beliau berkata, sumber kewangan elaun khas itu boleh diperoleh melalui caruman khas daripada pekerja, majikan dan kerajaan sebelum mereka diberhentikan.
“Apabila diberhentikan kerja, mereka akan menerima bantuan kewangan daripada skim insurans berkenaan untuk tempoh tertentu, contohnya empat bulan sahaja.
“Bantuan itu bukan untuk selama-lamanya kerana tujuannya adalah untuk membantu mereka dalam proses mendapatkan pekerjaan baru,” katanya semalam.
Beliau mengulas pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua atau bajet mini bernilai RM60 bilion oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam bajet berkenaan, kerajaan akan mewujudkan 163,000 peluang pekerjaan dan latihan dengan kos RM700 juta.
Turut dicadangkan ialah majikan yang menggajikan pekerja yang diberhentikan mulai 1 Julai 2008 diberi potongan cukai dua kali ke atas amaun gaji yang dibayar.
Khairy berkata, sekiranya skim insurans itu diperkenalkan, para pekerja di negara ini akan berasa lebih terjamin untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Katanya, selain jaminan sedia ada iaitu menerima latihan dan diserap semula, golongan pekerja boleh menarik nafas lega dari aspek kewangan.
“Saya tertarik dengan tumpuan yang diberikan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua terhadap kebajikan pekerja kerana ia berkaitan dengan generasi muda,” katanya.