Sabtu, Mac 14, 2009

CALON TOLAK PENGUNDIAN KOMPUTER


Semalam semua wakil calon yang bertanding pada perhimpunan agung UMNO 26 Mac ini dipanggil oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO yang diketuai oleh bekas KSN, Tan Sri Shamsuddin Osman untuk mendengar taklimat mengenai sistem pengundian yang akan dijalankan pada hari tersebut.


Semua calon diwakili oleh wakil calon kecuali seorang calon majlis tertinggi, Datuk Lajim Okin yang hadir sendiri. Yang menariknya wakil calon kepada Datuk Seri Idris Jusoh, Zahari Said telah membangkitkan soal undi komputer. Beliau menolak sistem pengundian komputer yang mungkin lebih terdedah kepada penipuan.


Semua wakil-wakil calon bersetuju dengan pandangan Zahari itu. Ini bermakna cadangan UMNO untuk menggunakan pengundian melalui komputer telah dibantah oleh semua calon. Malah Samsuddin selaku pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO disuruh duduk oleh para hadirin kerana mereka tidak puas hati dengan penjelasan Shamsuddin.


Shamsuddin akan membawa bantahan ini kepada pengurusan UMNO. Tidak pasti sama ada pengurusan UMNO akan menerima bantahan ini.