Ahad, Februari 08, 2009

MB HALAL DAN MB HARAM


Semalam dua Menteri Besar (MB) Perak bertugas. MB yang dianggap Pakatan Rakyat (PR) MB haram, Dr. Zamry Abdul Kadir meraikan masyarakat Cina dalam sambutan tahun baru di Kampung Simee, Ipoh manakala MB yang dianggap PR masih halal mengadakan mesyuarat exco dan meluluskan beberapa keputusan penting di rumahnya.


Lucu juga apa yang berlaku di Perak. Bila ada orang yang tidak terima hakikat bahawa dia bukan lagi MB, maka beginilah jadinya. Sampai bila krisis ini akan berterusan? Seperti kata MB BN, Dr. Zamry selagi Nizar nak duduk di rumah rasmi MB itu, duduklah. Beliau rela duduk di rumah sendiri.


Buat apa kerana apa yang berlaku tidak menurut undang-undang. Sultan Perak ada hak kerana dia adalah Sultan. Baginda bekas Ketua Hakim Negara. Maka apa yang dibuat Baginda sudah dikaji dari segi implikasi undang-undang. Walaupun tiga ADUN PR tidak menyertai BN, tetapi mereka selaku ADUN Bebas telah bersetuju menyokong BN, maka tumbanglah kerajaan PR.


Seperti kata Sayuti Omar, mungkin Nizar menunggu Laksamana Do Re Mi untuk menyelamatkan kerajaannya yang dirampas oleh Dr. Zamry. Siapakah Do, Re, Me itu. Bagi BN, tiga ADUN Bebas itulah Do, Re, Me yang telah mengembalikan semula kerajaan BN. Mungkin Nizar sedang menunggi tiga Do, Re, Me untuk melompat dari BN dengan harga yang lumayan.


Dr. Zahid Hamidi kata PAS diperalatkan DAP. Orang Melayu yang demonstrasi manakala bukan Melayu tak demonstrasi pun. Nampaknya DAP berjaya memperalatkan orang PAS. Manakala orang PKR tidak ada pun kerana bukan MB PKR yang jatuh tetapi MB PAS. Mungkin Anwar Ibrahim lebih suka Nizar jatuh kerana sukar mengawal Nizar yang dibonekakan oleh DAP.


Sultan Perak belum murka lagi. Jika Baginda murka, Nizar dan semua exco PR boleh dibuang negeri. Oleh itu berundurlah jadi MB. Terimalah hakikat bahawa Allah hanya mahu awak jadi MB untuk 11 bulan sahaja. Ikutlah nasihat abang sendiri yang mahu Nizar kembali ke pangkal jalan. Ingatlah bahawa kuasa ini hanya diberi pinjam oleh Allah. Allah yang berhak meminjamkannya dan Allah juga yang berhak menarik balik semula.


Dahulu ketika krisis perlantikan MB Terengganu, PAS sokong Raja. Kini PAS tak sokong Raja pula di Perak bila Sultan Perak tidak perkenan bubar Dewan Undangan Negeri. Tindakan Karpal Singh menyaman Sultan Perak membangkitkan kemarahan orang Melayu. Jika Kiyai Arshad masih hidup, sudah tentu Karpal Singh ditampar sekali lagi oleh arwah Kiyai Arshad.