Jumaat, Februari 13, 2009

CALON TEMPATAN UNTUK BUKIT GANTANG


Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti beberapa nama calon Barisan Nasional (BN) terdiri daripada orang tempatan bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.


Katanya, para pemimpin komponen BN khususnya UMNO bahagian Bukit Gantang amat kuat mendesak agar pucuk pimpinan tidak meletakkan calon luar pada pilihan raya kecil tersebut.


''Kita sedang mengenal pasti dan menganalisis beberapa nama calon BN tempatan, kita sedang mendapatkan maklum balas daripada banyak pihak.


''Nama mereka akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan apabila tiba masanya. Apa yang pasti asas calon itu mestilah orang yang disukai dan diterima masyarakat," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama pemimpin UMNO pelbagai peringkat di Bangunan UMNO Bukit Gantang di sini semalam.


Di antara nama yang disebut-sebut ialah anak tempatan Kamarulai Suleiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang. Beliau adalah bekas ketua penyelidikan dan penerbitan di Kolej Islam Darul Ridhuan.


Meletakkan semula Pengerusi BSN, Abdul Azim Mohd. Zabidi sebagai calon BN tidak menjamin kemenangan. Apatah lagi kekalahannya dahulu dikaitkan dengan sabotaj ahlli UMNO sendiri. Walaupun Abdul Azim orang Ipoh tetapi beliau dianggap orang luar kerana tapak politiknya di Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan. Justru itu BN kena letak calon tempatan yang sudah mesra rakyat yang boleh diterima oleh semua kaum.


Tidak semestinya calon seorang ahli jawatan kuasa bahagian. Jika ada calon luar yang popular apa salahnya letakkan orang itu sebagai calon. Kalau menang, BN dapat bonus. Kalau kalah, tidak mengapa kerana ia memang kerusi PAS. PAS mungkin meletakkan Nizar Jamaluddin untuk meraih undi simpati.


Setelah menerima dua kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, BN perlu menang untuk menebus maruahnya kembali. Jika tidak, jangan harap BN dapat tawan semula Perak pada pilihan raya umum 2012.