Selasa, Januari 06, 2009

ISA ADA KELEBIHAN


Pada tahun 2004, Tan Sri Isa Samad selaku Menteri Wilayah Persekutuan telah memenangi kerusi Naib Presiden UMNO di samping Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.


Tapi nasib kurang menyebelahi Isa bila beliau didakwa mengamalkan politik wang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan itu pada tahun 2005 setelah memiliki jawatan itu selama lapan bulan. Apa yang beliau mampu buat dalam tempoh lapan bulan?


Hukuman selama tiga tahun berakhir pada tahun lepas. Beliau layak bertanding semula dan mendapat 27 pencalonan.


Tanpa sebarang jawatan menteri dan ahli parlimen, Isa mampu mendapat 27 pencalonan. Boleh dikatakan hebat juga kerana beliau sudah tidak ada kuasa lagi. Jadi peluangnya untuk menang tetap ada kerana trend jawatan naib presiden pernah dimenangi oleh orang yang bukan menteri.
Pada tahun 1978, 1981 dan 1984, Tun Ghafar Baba bukan menteri tetapi tetap terpilih sebagai Naib Presiden UMNO. Pak Lah pernah mencipta sejarah memenangi kerusi naib presiden tanpa sebarang jawatan menteri pada tahun 1990. Jadi dapatkah Isa menjejak langkah Ghafar dan Pak Lah pada kali ini?


Jika para perwakilan matang, dari tiga jawatan, apa salahnya satu jawatan naib presiden diberi kepada bukan menteri supaya ada check and balance. Terpulanglah kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk menentukan nasib Isa pada Mac ini.


Jika Isa menang, beliau mahu menebus kembali peluang yang tidak sempat beliau jalani sebagai naib presiden pada tahun 2004-2008 dahulu.


Kelebihan Isa jika dia dapat bersalam dengan ramai perwakilan, perwakilan akan tertarik kepada sense of humournya. Bertubuh kecil tapi orangnya cerdik. Dia menerjuni politik pada tahun 1978 secara kebetulan apabila sedang bermain sepakraga di Sekolah Datuk Abdul Razak di Seremban (SDAR). Beliau ketika itu adalah guru. Tiba-tiba Tengku Razaleigh Hamzah datang menemuinya dan menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon pilihan raya. Siapa yang mahu menolak tuah yang datang bergolek? Sejak itu beliau menjadi YB dan terus dilantik Exco Kerajaan Negeri Sembilan.


Apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ditarik ke pusat untuk bertanding kerusi parlimen pada tahun 1982, Isa dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru.
Beliau kekal menjadi Menteri Besar selama 22 tahun sehingga tahun 2004 ditarik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Walaupun beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, beliau dipilih bertanding kerusi parlimen Jempol kerana kerusi parlimen Teluk Kemang diberi kepada MIC.


Sudah tentu ada sesuatu yang menarik pada Isa yang menyebabkan beliau kekal lama sebagai menteri besar. Walaupun istana menolak namanya, tetapi di atas campurtangan Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba pada tahun 1986, beliau kekal sebagai menteri besar. Inilah kelebihan Isa.


Saya pernah berurusan dengan kawan saya di pejabat Isa ketika menjadi menteri besar pada tahun 1994. Setiap kali kawan saya jumpa Isa, Isa pelawanya datang ke pejabat. Maka kami pergilah ke pejabatnya di Seremban pada suatu pagi. Terkejut kawan saya kerana stail Isa bila jumpa dengan orang ramai, dia panggil 10 orang sekali gus. Jadi kawan saya yang ada hajat peribadi segan mahu beritahu Isa di depan orang ramai. Sepanjang perjalanan balik ke Kuala Lumpur, bukan main marah kawan saya kepada Isa.


Katanya, kalau tahu begitu tak datang dari jauh untuk jumpa Isa.


Saya difahamkan Menteri Besar Kelantan pun, Datuk Nik Aziz Nik Mat buat stail yang sama dengan Isa. Ramai yang bawa surat memohon kawasan balak tak jadi hulur surat kepada Nik Aziz bila 10 orang ada di dalam biliknya. Maka orang yang datang itu pulang dengan tangan kosong saja.


Walaupun Isa kini bukan lagi menteri, beliau tetap popular. Kenduri perkahwinan anaknya mendapat kunjungan orang ramai yang amat luar biasa walaupun beliau adalah Naib Presiden UMNO yang digantung ketika itu. Ini menunjukkan Isa ada peluang untuk menang jika perwakilan mengundi calon bukan berdasarkan ada jawatan dalam kerajaan.