Calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu sudah diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Walaupun pelbagai nama telah dispekulasikan sebagai calon, akhirnya BN memilih Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon.
BN sudah belajar dari pengalaman pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu. UMNO Bahagian Permatang Pauh sebulat suara memilih ketuanya, Datuk Jalil sebagai calon tetapi BN pusat memilih orang lain sebagai calon yang menyebabkan jentera bahagian mensabotaj calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah.
Belajar dari kekalahan ini maka BN pusat memilih nama Wan Farid sebagai calon kerana beliau adalah nama tunggal yang dihantar oleh bahagian kepada perhubungan yang dimajukan kepada Pengerusi BN Malaysia untuk diluluskan. Pak Lah tidak ada masalah untuk menerima nama Wan Farid sebagai calon kerana beliau adalah bekas setiausaha politiknya.
Oleh kerana PAS memenangi tiga dari empat kerusi DUN yang terdapat dalam parlimen Kuala Terengganu itu, maka BN perlu kerja kuat untuk pastikan Wan Farid menang dengan majoriti yang lebih tinggi dari calon BN dahulu, arwah Datuk Razali Ismail.
Inilah kali pertama Wan Farid, 46, bertanding dalam pilihan raya. Pada tahun 1999, Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memilih beliau yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebagai calon BN bagi kawasan parlimen Kemaman menggantikan Dr. Ramli Taib. Tetapi hasrat Wan Mokhtar itu dibantah oleh ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman yang mahu Wan Mokhtar memilih salah seorang AJK Bahagian sebagai calon. Akhirnya Wan Mokhtar memilih Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda, seorang kontraktor terkenal sebagai calon tetapi kalah.Maka Wan Farid tak jadi bertanding pada tahun tersebut.
Pada tahun 2004, sebagai timbalan ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri (Pak Lah) tidak dipilih sebagai calon. Pada tahun 2008, Datuk Seri Idris Jusoh tidak memilih beliau sebagai calon walaupun beliau adalah ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebaliknya Idris sebagai Menteri Besar mengekalkan abangnya, Datuk Wan Hisham sebagai calon bagi DUN Ladang. Idris bimbang jika Wan Farid jadi calon dan menang, Wan Farid akan jadi MB Terengganu yang baru.
Oleh kerana tiga kerusi DUN, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang dimenangi oleh PAS pada pilihan raya umum Mac lalu, maka Wan Farid perlu bekerja kuat untuk meraih kemenangan. Jika tidak beliau akan kehilangan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang disandangnya melalui kerusi senator.
Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyambung semula perkhidmatan Senator beliau baru-baru ini, maka Wan Farid dilihat sebagai bukan calon BN. Tetapi oleh kerana beliau belum angkat sumpah lagi Senator buat penggal kedua, maka tidak jadi masalah bagi beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Nampaknya DUN terpaksa mencalonkan orang lain untuk mengisi kekosongan jawatan Senator yang ditinggalkan oleh beliau.
Untuk menang, semua bekas calon yang kalah di tiga DUN mesti kerja kuat untuk membantu Wan Farid iaitu Othman Awang (Wakaf Mempelam), Nordiana Shafiee (Batu Buruk) dan Wan Hisham (Ladang). Oleh kerana calon BN ialah Wan Farid, maka Wan Hisham dinasihati agar tidak turun berkempen kerana ramai pengundi Ladang marah kepada beliau yang menyebabkan BN kalah di Ladang.
Oleh itu Wan Hisham perlu bercuti dan jangan ganggu Wan Farid. Tanpa gangguan Wan Hisham, Wan Farid dijangka menang dengan majoriti yang kecil. Jika tidak kerusi Kuala Terengganu akan terlepas ke tangan PAS kerana tindak-tanduk Wan Hisham sepanjang menjadi Exco Kerajaan Negeri yang menyebabkan BN tewas di Ladang.
Wan Farid adalah seorang orator dan boleh buat kerja. Beliau banyak membantu saya sewaktu beliau menjadi timbalan menteri dan permit akhbar WATAN dapat dipohon semula di atas pertolongan Wan Farid yang merekomennya kepada bossnya, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Sedikit sebanyak saya terhutang budi kepada kawan lama ini yang pernah bersama saya dalam Biro Penerangan Pemuda UMNO Terengganu dari tahun 1995 hingga 1998. Ketika itu Wan Farid adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kuala Terengganu manakala saya adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kemaman. Malah ketika beliau menjadi setiausaha politik Menteri Dalam Negeri, dia ada juga membantu saya.
Pada pilihan raya umum lalu, namanya turut disebut sebagai calon di DUN Ladang menggantikan abangnya, Wan Hisham tetapi Idris takut jika Wan Farid menang sudah tentu Wan Farid jadi MB Terengganu dan bukannya Ahmad Said. Oleh kerana semua ADUN senior telah dikerat oleh Idris, maka Sultan Terengganu tidak ada pilihan terpaksa memilih ADUN Kijal, Ahmad Said sebagai MB baru menggantikan Idris Jusoh. Wan Farid mudah ditemui untuk mendapatkan surat sokongan berbanding dengan menteri atau timbalan menteri yang lain.
Oleh kerana Wan Farid sudah terlepas jadi MB, maka diharapkan Wan Farid dapat diterima oleh para pengundi Kuala Terengganu pada 17 Januari depan sebagai ahli parlimen. Jika dia menang, dia kekal Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya jika dia kalah, dia akan kehilangan jawatan Senator dan timbalan menteri. Tetapi oleh kerana beliau belum angkat sumpah jawatan Senator buat penggal kedua, jika dia kalah, dia tetap boleh jadi Senator kerana namanya sudah dihantar oleh DUN Terengganu.