Jumaat, Disember 19, 2008

TV3 MEMANG ADA AGENDA


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengamuk dengan TV3 kerana kononnya ada agenda menjatuhkannya. TV3 memang ada agenda sejak krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu pada Mac lalu.


Setiap malam TV3 menyerang Ahmad Said dan di saat-saat akhir berita perlantikan beliau sebagai Menteri Besar, TV3 menyiarkan kononnya seorang ADUN disiasat oleh BPR kerana isu Bandar Baru Kijal.


Oleh itu Ahmad Said ada hak untuk memarahi TV3 kerana ketika itu TV3 menyokong Datuk Seri Idris Jusoh yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Besar Terengganu.


Ahmad Said sudah menjelaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana penyelewengan. Oleh itu jika terbukti ada penyelewengan seperti dilaporkan oleh TV3, beliau akan minta BPR siasat. Beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.


Ahmad Said sudah biasa dengan fitnah rasuah ini. Ketika beliau membawa rombongan pemuda UMNO Kemaman ke Eropah pada tahun 1997 yang mana saya adalah salah seorang yang turut pergi, beliau difitnah kononnya menerima wang dari pemaju Centrepoint untuk membawa rombongan ke Eropah. Beliau disiasat oleh BPR dan akhirnya tidak ada bukti beliau ditaja oleh mana-mana pihak kerana beliau membawa ahli keluarganya dengan wangnya sendiri.


Beliau ketika itu adalah Exco Kerajaan Negeri Terengganu mendapat muka depan Utusan Malaysia. Seorang stringer Utusan yang memang anti beliau menulis berita itu. Tetapi kini stringer itu jadi penyokong kuat Ahmad Said pula. Apabila beliau berkata beliau ada bukti TV3 ada agenda, kerana ada orang kirim sms kepadanya, maka TV3 kena buat penjelasan. TV3 sepatutnya kena beri laporan yang adil kepada semua menteri besar tanpa prejudis.


Malah baru ini heboh pula kononnya ada orang menaja rombongannya menjalani ibadah umrah selepas beliau dilantik Menteri Besar. Sekali lagi Ahmad Said menafikannya. Selagi Ahmad Said berada di kerusi MB, pelbagai fitnah lagi akan dilemparkan kepada beliau. Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini.


Saya ingin berpesan kepada Ahmad Said supaya boikotlah TV3. Biarlah RTM saja beri publisiti kepada beliau. Takkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga timbalan ketua UMNO Bahagian Kemaman mahu sabotaj bossnya pula. Jadi biarlah RTM saja buat liputan majlis Menteri Besar.