Ahad, Oktober 19, 2008

PAK LAH KENA SOKONG KU LI


Bukan main marah Pak Lah kepada Dr. Mahathir Mohamad kerana kononnya beliau menjadi pengarah pemilihan UMNO kali ini.

Kata Pak Lah, buat apa orang yang dah keluar dari UMNO sibuk-sibuk menyusun pemimpin dalam UMNO.

Dr. Mahathir memang keluar dari UMNO tetapi jiwanya tetap pada UMNO. Seperti kata pepatah, once UMNO, forever UMNO. Dia keluar dari UMNO kerana marahkan Pak Lah sahaja. Bila Najib jadi PM nanti, Dr. Mahathir akan masuk UMNO semula.

Memang ketara calon-calon yang disokong oleh Dr. Mahathir jauh meninggalkan calon-calon lain seperti Najib, Muhyiddin, Hishamuddin, Shafie Afdal dan Dr. Ahmad Zahidi Hamidi. Mereka berlima ini disokong oleh Dr. Mahathir. Ini yang menimbulkan kemarahan kepada Pak Lah kerana Dr. Mahathir menyuruh Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib menarik diri dan memberi laluan kepada Muhyiddin.

Biarpun Dr. Mahathir sudah tiada dalam UMNO, tetapi aura Mahathir masih kuat. Anaknya, Mukhriz jauh meninggalkan Khairy dalam pencalonan Ketua Pemuda. Khairy masih belum cukup kuota.

Inilah politik UMNO. Pak Lah belum berhenti tetapi ramai yang dah lari. Kalau Pak Lah jadi bertanding dan kekal Perdana Menteri untuk penggal akan datang, sudah tentu perwakilan pemuda lebih mudah mencalonkan menantu Pak Lah itu.

Hari ini masuk minggu kedua pencalonan. Tinggal dua minggu lagi. Masih sempat jika Pak Lah mahu menonjolkan calon-calonnya pula dengan mengarahkan ketua-ketua bahagian mencalonkan Ku Li untuk menentang Najib kerana Najib adalah calon pilihan Dr. Mahathir.

Saya percaya dengan campurtangan Pak Lah, Ku Li akan mudah dapat pencalonan terutamanya dari Pulau Pinang. Orang Pulau Pinang khabarnya amat marah kepada Muhyiddin. Mereka akan calonkan Ali untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Jika mahu benar lihat pertandingan proksi antara Dr. Mahathir dengan Pak Lah, maka Pak Lah kena arahkan orang-orang yang setianya untuk mencalonkan Ku Li untuk Presiden, Ali untuk Timbalan Presiden, Khaled Nordin, Syed Hamid Albar dan Isa Samad untuk jawatan Naib Presiden dan Khairy untuk Ketua Pemuda.

Alang-alang mandi biar basah. Alang-alang marah kepada Dr. Mahathir, sudah sampai masanya Pak Lah arahkan ketua-ketua bahagian yang setianya mencalonkan Ku Li, Ali, Khaled, Syed Hamid, Isa dan Khairy.