Khamis, Julai 16, 2020

KHUSAIRI TALIB DALAM KENANGAN

Terkejut juga saya dengar berita kematian ADUN Slim, Dato KhusairiTalib semalam di Bentong, Pahang. Beliau sahabat saya ketika bekerja di akhbar Watan pada tahun 1987 di Kumpulan Karangkraf. Selepas akhbar Watan pimpinan Khairune Mohd Alli diharamkan oleh kerajaan bersama The Star dan Sin Chew Jit Poh pada akhir 1987, Khusairi berhijrah ke Sabah bekerja dengan ADUN PBS, Datuk Zaki Gusmiah yang juga Pengerusi Ko Nelayan.

Pada akhir tahun 1989 saya ditukarkan ke Sabah sebagai wakil akhbar Watan di Sabah. Maka bertambah rapatlah saya dgna arwah setelah dua tahun berpisah. Sebagai akhbar bebas yang tidak berpihak kepada mana mana parti politik saya selalu bertelagah dengan boss arwah Datuk Zaki, tapi kami tetap berkawan. Arwah yang jadi ahli parti PBS seumur hidup menulis buku PBS KELUAR BN MEMBELA MARUAH.

Dalam sidang akhbar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad saya tanya pendapat Tun tentang buku tersebut yang baru diterbitkan. Tun kata itu biasalah propaganda PBS. Malam itu arwah datang ke rumah saya beri rm200 kerana komen Tun itu menyebabkan orang Sabah tercari cari buku itu.

"Terimaksih Zabidi kerana promosi buku aku," kata arwah.

Saya balik ke Kuala Lumpur pada Mei 1991 selepas PRK Usukan tetapi arwah masih di Sabah dengan Datuk Zaki. Apabila BN menjadi kerajaan di Sabah pada tahun 1994 beliau balik ke Tanjung Malim bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian.

Jurugambar Karangkraf, arwah Man Toba orang Tanjung Malim bantu Kushairi maka menang beliau mengalahkan seorang doktor. Rezeki arwah jadi YB  kerana dia balik kampung sewaktu arwah Datuk Yunus Wahid dah hilang pengaruh setelah jadi YB Slim selama empat penggal.

Kushairi jadi YB sudah tiga penggal dan pernah jadi Setiausaha Perhubungan Umno Perak walaupun tak dapat jadi Exco di zaman BN. Tetapi kawan lamanya Datuk Salleh Said Keruak yang jadi Menteri Komunikasi pada tahun 2016 melantik beliau sebagai Pengerusi FINAS.

Saya pernah berurusan dengan arwah ketika beliau jadi Pengerusi FINAS tetapi tak sempat kami dapat projek FINAS BN kalah pada PRU 2018. Al fatihah buat arwah.