Sabtu, Jun 09, 2018

BERSABARLAH ANWAR



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengamanahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kuasa untuk mengawasi beberapa syarikat terbesar negara yang secara kolektif bernilai lebih RM1 trilion, menurut akhbar Singapura, The Straits Times.

Menurut laporan itu, langkah terkini memberi kuasa kepada Azmin boleh mencetuskan persaingan dalam parti komponen HARAPAN dan membolehkan Mahathir mendapat kelebihan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber yang mengatakan syarikat-syarikat yang diletakkan di bawah pengawasan kementerian akan merangkumi gergasi minyak negara Petronas, dana pelaburan negara Khazanah Nasional dan pengurus hartanah Perbadanan Nasional Berhad.

Selain itu, bidang kuasa menteri hal ehwal ekonomi juga meliputi agensi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Melayu-Islam seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji serta unit dan jabatan kerajaan yang membantu usahawan Melayu.

Felda dan Tabung Haji yang dicemari pelbagai skandal berprofil tinggi semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Bidang kuasa ini begitu luas yang merancang untuk menempatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah menteri hal ehwal ekonomi kemungkinan akan dibatalkan," kata sumber yang biasa dengan penstrukturan semula berkenaan.

Laporan itu menyebut bahawa Mahathir telah membuat "isyarat besar" untuk melantik Azmin kerana pemindahan Petronas, Khazanah dan lebih daripada 60 syarikat lain - sebelum mengambil kira mana-mana subsidiari (anak syarikat)- akan menjadi satu proses rumit yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang serta kelulusan parlimen.

Laporan itu mendakwa tindakan Mahathir itu sebagai satu lagi strategi "dasar pecah dan perintah" selain berkata ini kerana partinya BERSATU hanya menang 13 kerusi parlimen manakala PKR mendapat 49 kerusi - kerusi paling banyak di antara parti komponen HARAPAN.

Laporan itu berkata Azmin dilantik jawatan menteri utama walaupun cubaan PKR untuk mendapatkan satu daripada empat portfolio utama - kewangan, kementerian dalam negeri, pertahanan atau pendidikan - ditolak semasa peringkat awal rundingan.

Menurut laporan itu lagi, langkah Mahathir memberi kuasa kepada Azmin telah mencetuskan kerisauan di kalangan penyokong Anwar.

Ulasan saya, hari ini 9 Jun genap sebulan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pusat. Usaha untuk melaga-lagakan di antara  Dr Mahathir dengan  Anwar nampaknya berterusan selepas Anwar keluar dari penjara. Ia menggambarkan seolah-olah Anwar tidak sabar jadi PM kelapan.

Kita harus ingat jika bukan Mahathir ketuai PH pada PRU14 bulan lepas, belum tentu PH menang. Ia adalah kerana aura Dr Mahathir yang menyebabkan pengundi muda mengundi PH. Terbukti Anwar sudah ketuai Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 tetapi Anwar gagal menumbangkan BN.

Anwar kena terima hakikat faktor Dr Mahathir yang berjaya menumbangkan BN. Oleh itu beliau jangan gopoh seperti pada tahun 1998. Biarlah Dr Mahathir memulihkan negara dalam masa dua tahun ini. Seperti kata Tun Dr Siti Hasmah, kesian kepada Dr Mahathir yang tidur lewat membaca segala dokumen untuk membetulkan Malaysia. 

Dengan umur 93 tahun apa lagi Dr Mahathir mahu. Tetapi demi negara beliau sanggup korbankan dirinya demi mengembalikan semula imej Malaysia. Oleh itu Anwar jangan bimbang. Peralihan kuasa akan tetap berlaku kepada beliau dan bukannya kepada Azmin Ali.

Rafizi Ramli pun janganlah hentam Dr Mahathir. Dr Mahathir sedar Parti Bersatu hanya ada 12 kerusi tetapi Dr Mahathir menjadi PM kerana ehsan PKR dan DAP.  Sebab itu beliau panggil Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bubarkan Umno dan semua ahli parlimen Umno menyertai Bersatu supaya Bersatu menjadi parti dominan mengatasi PKR dan DAP.

Zahid enggan membubarkan Umno kerana beliau dikatakan lebih suka bekerjasama dengan Anwar. Selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno selepas BN tumbang, Zahid pernah berkata kalau berlaku rundingan dengan mana mana pihak ia hendaklah secara en bloc dan bukannya berunding secara individu untuk menentukan masa depan Umno.

Berapa lamakah PH dapat  bertahan? Ada yang ramalkan tidak sampai 100 hari. Oleh itu jika mahu PH mahu kekal lama, penyokong Anwar hendaklah menerima Dr Mahathir sebagai PM sepenuhnya. Jangan depan cakap lain belakang cakap lain. Beri peluang kepada Dr Mahathir susun semula negara.  Beliau sedar beliau tidak lama di situ. Maka tak perlulah buang masa untuk adakan pilihanraya kecil untuk Anwar sekarang. Tunggulah dua tahun lagi Anwar jadi ahli parlimen.

Jumaat, Jun 08, 2018

HISHAMUDDIN TAK YAKIN KALAHKAN ZAHID PUNCA BELIAU TIDAK BERTANDING SEBARANG JAWATAN

JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan pada pemilihan parti kali ini.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau bekerja lebih keras membantu membangunkan semula UMNO bermula dari Johor selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

"Karier politik saya tidak akan berakhir, saya telah terlibat dalam politik sepanjang hidup saya dan saya tidak akan keluar parti.

"Saya harap ini (langkah tidak bertanding) disedari yang lain-lain bahawa jawatan bukan perkara penting dalam perjuangan kita untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu, beliau telah menyuarakan keputusan tersebut kepada Pemangku Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kedua-duanya memahami serta menghormati keputusan beliau.

Ulasan saya, nampaknya Hishamuddin tidak yakin dapat mengalahkan Datuk Seri Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden Umno yang menyebabkan beliau tidak bertanding sebarang jawatan.

Dalam suasana ahli Umno mahu perubahan, beliau juga enggan bertanding jawatan timbalan presiden Umno malah mempertahankan jawatan naib presiden Umno.

Biarlah beliau berehat sepenggal kerana pemilihan 2021 lebih penting dari pemilihan 2018. Berundur setapak ke belakang bukan bermakna beliau pengecut tetapi beliau akan buat comeback pada pemilihan 2021 nanti.

Khamis, Jun 07, 2018

KADIR JASIN PATUT MINTA AMPUN KEPADA YANG DIPERTUAN AGONG



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap tokoh wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berhubung pendedahan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebanyak RM256.9 juta dalam tempoh 16 bulan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Beliau berkata kertas siasatan berkenaan dibuka selepas polis menerima tiga laporan berhubung kes itu yang melibatkan Kadir.

“Polis terima hanya tiga laporan setakat ini dan mungkin ada banyak lagi laporan polis yang akan dibuat berhubung kes ini serta siasatan lanjut sedang dibuat.

“Oleh yang demikian, siasatan kes berkenaan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyiasat dakwaan yang dibuat Kadir menerusi blog peribadinya.

Di dalam blog itu, Kadir mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, lembaran terperinci perbelanjaan itu juga turut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Facebook Friends of Istana Negara kecewa dengan blog yang menyebarkan tentang perbelanjaan Yang Di-Pertuan Agong seolah-olah menimbulkan syak wasangka mengenai pentadbiran dan perbelanjaan Istana Negara.

Bekas ketua editor NST menyebut perbelanjaan adalah melebihi RM250 juta sebaliknya perbelanjaan rasmi dari 16 Disember 2016 sehingga 30 April 2018 adalah sebanyak RM79,284,717.50. Ini adalah kos sebenar  yang disahkan oleh kakitangan istana.

Ternyata angka yang diberi Kadir Jasin amat jauh berbeza. Maka beliau patut minta ampun kepada Yang Di-Pertuan Agong. Oleh itu teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau amat wajar kerana tulisan beliau boleh menghasut rakyat untuk membenci institusi Raja berpelembagaan di negara kita.



Rabu, Jun 06, 2018

KKMM DIMINTA AMBIL TINDAKAN KEPADA NETIZEN YANG KRITIK YANG DIPERTUAN AGONG



ALOR SETAR 6 Jun - Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pengguna media sosial yang tidak menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong berikutan isu pelantikan peguam negara baru-baru ini.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebebasan bersuara melalui pelbagai medium dan platform yang perlulah dipraktikan secara berhemah.


"Perkara itu bersesuaian dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan yang menjadi amalan kita bersama selama ini.

"Sebagai rakyat yang menyatakan taat dan setia kepada raja dan negara, kita perlu yakin dengan kebijaksanaan baginda dan Majlis Raja-Raja dalam seiap proses serta keputusan melibatkan kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, segelintir pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati mereka seolah-olah mengkritik peranan Yang di-Pertuan Agong kerana mencampuri urusan berkenaan.

Melalui komen-komen di media sosial, para penyokong terbabit meluahkan rasa tidak puas hati mereka seolah-oleh mengkritik peranan Yang di-Pertuan Agong kerana dikatakan mencampuri urusan berkaitan pelantikan peguam negara.

Keadaan itu menimbulkan polemik dalam kalangan netizen dengan ada dalam kalangan mereka menganggap sebahagian daripada kritikan dilemparkan itu bersifat melampau.


KHAIRUDDIN DAKWA UMNO YANG LAGAKAN DR MAHATHIR DENGAN ANWAR



PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, hubungan sesama pemimpin Pakatan Harapan (PH) akrab dan tiada perebutan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau   mendakwa Umno melancarkan perang psikologi dengan memberi gambaran negatif mengenai hubungan Dr Mahathir serta Anwar untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PH supaya rakyat hilang keyakinan kepada kepimpinan negara.

“Namun, kita harus bersyukur kerana perpaduan sesama pemimpin di dalam PH pada realitinya amat akrab serta tulen.

“Keseluruhan rakyat Malaysia dapat lihat sendiri kemesraan serta keakraban Dr Mahathir dengan Anwar ketika makan malam bersama di kediaman peribadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak dibebaskan 16 Mei lalu selepas 3 tahun dipenjarakan, Anwar menemui Agong, empat sultan dan kerabat diraja Johor, Pahang, Perak dan Selangor.

Bagaimanapun, ada khabar angin mendakwa ketua umum PH itu membelakangkan perdana menteri dan sengaja mendekati istana yang tidak mempunyai hubungan mesra dengan Dr Mahathir.

Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak merahsiakan apa-apa daripada Dr Mahathir mengenai pertemuannya dengan sultan dan kunjungan itu atas jemputan istana yang tidak patut disalah tafsir sebagai langkah politik untuk menggugat pengerusi PH itu.

“Semua saya lapor kepada Tun Mahathir. Dia harus tahu saya menghadap Agong.

“Sebelum ke Johor, saya maklumkan kepada Tun Mahathir. Sebelum menghadap Sultan Nazrin (Perak), juga saya maklum Tun Mahathir. Yang lain sibuk apasal?” soalnya Isnin lalu.

Anwar sebelum ini turut menggesa penyokongnya memaafkan kesalahan lampau Dr Mahathir dan memberi kepercayaan kepada pengerusi PPBM itu untuk membina semula negara.

Katanya, beliau sendiri memaafkan Dr Mahathir yang pernah memenjarakannya selepas menyaksikan keikhlasan mahu memulihkan negara dan menghapuskan rasuah.

Khairuddin berkata, tindakan Umno itu tidak akan berjaya kerana Anwar memainkan peranan proaktif dengan cara sendiri untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan PH demi masa depan negara.

Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, Anwar dan Dr Mahathir hanya mementingkan agenda membangunkan semula Malaysia, bukannya agenda politik peribadi.

“Gandingan kali kedua Dr Mahathir dan Anwar adalah lambang kejayaan Malaysia Baru. Insya Allah.

“Rakyat Malaysia boleh sandarkan harapan kepada kerajaan PH yang amat tulen membela kesejahteraan masa depan keseluruhan masyarakat tanpa kira kaum ataupun agama.”

Selasa, Jun 05, 2018

ZAM DAN JOHAN, DAHULU MASA HANG KETUAI UTUSAN PUN HANG RASIS


KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Dua bekas editor Utusan Malaysia hari ini menyatakan rasa kesal bahawa akhbar yang pernah mereka pimpin masih terperangkap dalam "kepompong sempit dan penuh dengan prasangka".

Dalam satu kenyataan keras hari ini, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Johan Jaaffar berkata akhbar itu menampakkan pendirian rasis dengan memainkan sentimen perkauman yang berbahaya untuk sebuah negara pelabagai kaum seperti Malaysia.

Memetik isu terkini mengenai pelantikan Peguam Negara yang baru, mereka mengatakan adalah tidak dapat diterima apabila Utusan Malaysia bermain api dengan cuba menyemarakkan sentimen kebencian dan keresahan orang Melayu dan orang Islam terhadap pelantikan seorang bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan itu.

Cara Utusan Malaysia, menurut mereka, memberikan gambaran seolah-olah agama Islam dan kepentingan Melayu akan terjejas dengan pelantikan peguam kanan Tommy Thomas.

Zainuddin dan Johan menegaskan bahawa prinsip pelantikan sepatutnya adalah 'integriti di atas segala-galanya- tanpa mengira kaum dan agama.'

"Kami bersyukur satu lagi kemungkinan krisis dapat dielakkan apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Isnin, Jun 04, 2018

MEREKA DAHULU PEMBANGKANG SEBAB ITU KENYATAAN MEREKA MASIH SEPERTI PEMBANGKANG



KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin meminta rakyat Malaysia memberi sedikit masa kepada pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mereka menyesuaikan diri dengan peranan baru mentadbir kerajaan persekutuan.

"Kita perlu beri mereka peluang dan masa. Mereka adalah pembangkang sebelum ini. Sebab itu mereka banyak buat kenyataan seperti mereka masih menjadi pembangkang.

"Jadi sila bersabar. Mereka cepat belajar, mereka orang-orang cerdik. Lebih penting, mereka orang-orang yang jujur dalam berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada The Star.

Berhubung pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Daim, yang sebelum ini pernah memegang jawatan itu berkata, ia memberi kesan yang baik kepada negara kerana pelantikannya berdasarkan kebolehan dan bukannya kaum.

Daim turut menyorot bahawa setiausaha agung DAP itu berjaya menguruskan kewangan Pulau Pinang ketika menjadi ketua menteri.

"Pelantikan itu menghapuskan amalan mempolitikkan jawatan menteri kewangan, yang merupakan perkembangan yang baik kerana jawatan itu sebelum ini sering dijadikan habuan kepada penyokong setia Umno.

"Kini amalan itu sudah dihentikan," tambahnya.

Daim turut menjelaskan bahawa Lim bukan pemimpin Cina pertama yang dilantik sebagai menteri kewangan.

"Pelantikan itu dibuat berdasarkan rundingan dengan pelbagai pihak. Rakyat Malaysia secara umumnya perlu menerima pelantikan itu berdasarkan pengalaman luas Lim dan bukannya latar belakang kaum," katanya.

Ahad, Jun 03, 2018

AZWAN BRO, DR ASYRAF WAJDI DAN JAMAL BAJU MERAH TANDING KETUA PEMUDA





KUALA LUMPUR  -- Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti akan datang.

Ini dinyatakan beliau dalam kenyataan pada 1 Jun lalu.

"Saya yakin dengan peluang yang ada selaku Senator dan pengalaman sebagai Naib Ketua Pemuda dan sokongan akar umbi seluruh negara, kita akan berjaya membawa agenda pembaharuan (kepada UMNO)," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil keputusan menawar diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.


Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, keputusan itu dilakukan kerana Pemuda Umno perlukan perubahan dan diterapkan dengan nilai-nilai Islam.

“Perubahan dalam Umno harus bermula dengan pembangunan generasi muda pewaris perjuangan.

“Pemuda perlu disuntik dengan idealisme, ruh dan semangat pengorbanan berteraskan prinsip Islam sejati, sebagaimana mendasari perjuangan Umno sejak awal penubuhannya,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Beliau berkata, ada lima agenda harus diberi keutamaan iaitu pengkaderan, pentarbiayahan, pemantapan ilmu, pengukuhan jati diri dan pemerkasaan rohani.

“Berpandukan lima agenda inilah, dengan penuh rasa keinsafan, amanah dan tanggungjawab saya menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno.

“Percayalah kita mampu bangkit kembali! Insya-ALLAH. #BangkitKembali,” katanya.

Menurutnya, keputusan bertanding jawatan Pemuda Umno bukanlah bertujuan untuk merebut jawatan sebaliknya mahu meneruskan sisa-sisa perjuangan bersama Umno.

“Ujian yang melanda Umno kini merupakan satu isyarat ALLAH agar setiap pendokong parti benar-benar menjiwai makna perjuangan sejati.

“Sekiranya perjuangan untuk mengejar pangkat dan kebendaan, hakikatnya pangkat dan kebendaan sudah tiada. Yang tinggal hari ini hanyalah sisa-sisa perjuangan yang menagih kesetiaan dan keikhlasan setiap warga untuk melakukan perubahan dalam parti,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang gagal dikesan sejak menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, sembilan hari lalu dilaporkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang.

Selain jawatan peringkat sayap itu, Jamal turut menawarkan diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Umno bagi merebut jawatan terbabit.

Jamal berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima pandangan dan sokongan serta nasihat rakan-rakan seperjuangan.

“Saya Jamal Md Yunos menawarkan diri bertanding sebagai calon untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Ahli Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2018-2021,” katanya.

Kenyataan Jamal itu dikongsi seorang rakan beliau yang memuat naik status kenyataan Jamal itu di Facebook.

Jamal dalam status itu turut mengulas, tujuan beliau menawarkan diri untuk bina kembali semangat perjuangan kepada semua ahli Umno di seluruh negara.

“Marilah kita bersama-sama bangkit demi semangat perjuangan suci untuk membantu mendapatkan kembali sokongan dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Jamal sebelum ini dilaporkan menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, 25 Mei lalu.

Beliau didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital terbabit pada jam 10.45 pagi.

Difahamkan kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.

Sabtu, Jun 02, 2018

RAFIDAH DAKWA KETUANAN MELAYU SUDAH TIDAK SESUAI LAGI

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz berkata sudah tiba masanya konsep ketuanan Melayu digantikan dengan konsep yang lebih terangkum iaitu 'ketuanan Malaysia'.

Katanya, konsep ketuanan Melayu sudah tidak sesuai digunakan dalam masyarakat hari ini dan keutamaan sepatutnya diberikan kepada negara.

Dalam wawancara eksklusif bersama portal berita Malaysiakini, beliau berkata: "Kini, konsep yang lebih sesuai adalah ketuanan Malaysia...negara ini mesti didahulukan.

"Kenapa kita mahu bersaing sesama kita? Kita sepatutnya bersaing dengan yang terhebat di rantau ini, yang terbaik di dunia. Janganlah lagakan antara warisan Melayu dengan warisan Cina. Kita rakyat Malaysia. Kita mahu negara ini menjadi tuan di rantau ini."

Dalam laporan itu, Rafidah seterusnya berkata golongan muda di negara ini perlu memainkan peranan dan berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Menurutnya, golongan muda yang malas dan tidak berdaya saing bererti mereka tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia.

DATUK SYED AHMAD DALAM KENANGAN

MELAKA: Petang semalam jam 4.30 saya terima whatsapp dari kawan saya, Tengku Azman Tengku Hashim bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syarikat Air Terengganu (SATU), Datuk Syed Ahmad Syed Kassim, 70, meninggal dunia pada waktu pagi semalam.

Isteri beliau, Toh Puan Fauziah wasap saya beritahu tak sempat datang dah Zabidi kerana arwah sedang dikebumikan di Bukit Piatu, Melaka selepas waktu asar. Anaknya, Datuk Syed Fariq yang rapat dengan saya tak sempat beritahu saya kematian ayahnya di waktu pagi kerana sibuk uruskan jenazah ayahnya di Hospital Melaka.

Kalau saya dapat tahu berita kematiannya dari pagi memang sempat saya sampai di Melaka kerana jaraknya dua jam dari Semenyih. Sebagai bekas pegawai tadbir Terengganu (TCS), Syed Ahmad yang juga Pengerusi Belia 4B Terengganu amat berjasa besar kepada belia kampung saya, Pasir Gajah.

Ketika itu Pengerusi 4B Pasir Gajah, arwah Azmi Sidek telah memohon 100 ekar tanah berkelompok untuk 100 orang belia kampung kami. Syed Ahmad selaku Ketua Pentadbir Tanah Daerah Kemaman telah meluluskan permohonan tersebut. Itulah jasa beliau kepada penduduk Pasir Gajah yang tak pernah kami lupakan.

Saya tak sempat bekerja di bawah Syed Ahmad tetapi pada 31 Disember 1996 saya dijemput ke pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) kerana ada majlis rasmi walaupun saya sepatutnya melaporkan diri sebagai penolong pengarah YPK pada hari esoknya 1 Januari 1997.

Saya dibawa oleh seorang staff YPK menemui Syed Ahmad yang juga Timbalan Pengarah YPK. Hari itu adalah hari terakhir beliau di YPK kerana esoknya beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan).

Selepas saya memperkenalkan diri sebagai Zabidi orang Pasir Gajah, saya masih ingat soalan pertamanya, u masuk ke sini melalui siapa. Saya jawab melalui MB, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Dia pun berkata nak masuk YPK kena melalui dua YB sahaja sama ada Wan Mokhtar atau Datuk Tengku Mahmud Mansor. Sokongan YB lain tak laku di YPK katanya lagi.

Hari itu hari pertama dan terakhir saya bersama arwah di YPK. Selepas itu beliau berpindah ke pejabat SUK sebagai Timbalan SUK dan akhirnya beliau berpindah ke SATU sebagai CEO. Beliau pencen pada tahun 2003 ketika berusia 55 tahun.

Oleh kerana beliau orang kuat 4B Malaysia, maka Tan Sri Ali Rustam yang menjadi Ketua Menteri Melaka mengajaknya bekerja dengan beliau di Melaka. Beliau yang berasal dari Chabang Tiga, Kuala Terengganu akhirnya berhijrah ke Melaka sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Melaka dan disemadikan jenazahnya di negeri tersebut.

Arwah amat rapat dengan kawan saya Kisfi Zainal. Setiap kali beliau datang ke Kuala Lumpur arwah akan hubungi Kisfi untuk berbual politik. Apabila arwah jatuh sakit tahun lepas, saya dan Tengku Azman menziarahi beliau di Hospital Melaka pada 7 Oktober 2017.  Malah apabila bekas MB, Datuk Seri Razif Abdul Rahman ada tugas rasmi di Melaka saya whatsapp MB suruh ziarahi Syed Ahmad seorang pegawai TCS yang terbilang. Razif pergi ke rumah arwah kerana ketika itu arwah sudah keluar dari Hospital Melaka.

Apabila berita kematiannya diketahui petang semalam, saya beritahu penduduk kampung saya. Mereka mengucapkan takziah kepada keluarga arwah kerana jasa arwah kepada penduduk Pasir Gajah tetap tidak dilupakan. Al fatihah buat arwah Syed Ahmad.

RATING TERTINGGI BAGI BULAN MEI 2018

Rating tertinggi bagi blog catatanzabidi untuk bulan Mei dimenangi posting "Khairy bergandinglah dengan Zahid dan Hishamuddin pulihkan Umno" dengan 428 hits. 10 rating tertinggi adalah seperti mana berikut:-

1. Khairy bergandinglah dengan Zahid dan Hishamuddin pulihkan Umno (14 Mei) - 428 hits
2. Datuk Nordin sambut baik kerajaan PH mahu ganti duit cukai tambahan (16 Mei)
3. Kedegilan Najib berundur sebabkan BN tewas (10 Mei)
4. Apabila BN bukan lagi kerajaan pusat (12 Mei)
5. LGE sindir Mahathir bila kata BN buat silap selama 61 tahun sedangkan Mahathir pimpin BN selama 22 tahun (15 Mei)
6. Jasamu tetap dikenang Najib (13 Mei)
7. Idris bangga dengan kontraktor anak Besut (2 Mei)
8. Hishamuddin lawan Zahid? (22 Mei)
9. Azmin hadapi laluan sukar di Gombak (8 Mei)
10. Ustaz Ismail Dagang dalam kenangan (20 Mei)

Jumaat, Jun 01, 2018

IIM BERHARAP AKTA DERMA POLITIK DAPAT DIBENTANG DI PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Institut Integriti Malaysia (IIM) berharap draf Akta Derma dan Perbelanjaan Politik dapat dibentang di Parlimen dengan secepat mungkin berikutan pembentukan kerajaan persekutuan baharu oleh Pakatan Harapan.

Ketua Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik Amerul Muner Mohammad berkata sebuah sekretariat yang ditubuhkan pada 2016 telah menggubal 32 syor, tetapi belum dapat mengemukakan kepada Parlimen.

"Bagaimanapun, kami berharap kerajaan baharu akan mempercepatkan urusan ini kerana isu politik sangat penting di bawah sistem baharu politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) di sini, hari ini.

Daripada beberapa badan penting, Kabinet melantik IIM sebagai sekretariat bagi urusan penyediaan draf Akta itu sejak 2016, dan antara perkara yang disyorkan ialah keperluan menubuhkan sebuah badan bebas untuk memantau pembiayaan politik di negara ini bagi mengelak berlaku penyalahgunaan dana yang disalur melalui pembiayaan seperti itu.

Amerul Muner berkata sekretariat itu juga telah mengemukakan semua syor berkenaan kepada IRC dengan harapan jawatankausa itu dapat menyemak serta menghalusinya dan menjadikannya undang-undang baharu.

Khamis, Mei 31, 2018

AHLI PARLIMEN PUN BOLEH JADI MB PERLIS?



KANGAR 30 Mei - Barisan Nasional (BN) negeri akan mempersembahkan nama 11 orang wakil rakyat parti itu sebagai calon Menteri Besar yang baharu semasa menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dijangka minggu depan.



ZAHIDI ZAINUL ABIDIN


Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tarikh untuk sembah menghadap bagi mempersembahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen itu bergantung kepada kesesuaian masa yang akan diperkenankan baginda.


Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sekiranya Tuanku Syed Sirajuddin menolak nama-nama dikemukakan itu sebaliknya kekal dengan pendirian baginda melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

“Kita berharap dapat sembah menghadap Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin) pada minggu depan dan mempersembahkan 11 nama (calon Menteri Besar) kepada baginda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga ADUN Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Sehingga kini, kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Berdasarkan perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis



Rabu, Mei 30, 2018

PDRM NAFI TARIK SEMUA PEGAWAI KESELAMATAN NAJIB

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan telah menarik balik kesemua pegawai keselamatan kecuali seorang pegawai Aide De Camp (ADC) yang ditugaskan untuk beliau dan keluarganya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak menarik balik kawalan keselamatan yang diberikan terhadap Najib sebaliknya hanya mengurangkan jumlah anggota yang ditugaskan itu.

"Setiap bekas perdana menteri mempunyai kelayakan tertentu namun, jumlah anggota yang bertugas tidak sama seperti sebelumnya. Kita hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Bagaimanapun anggota yang bertugas seperti ADC, pemandu serta pengawal peribadi masih ditempatkan bagi mengawal keselamatan beliau dan Datin Seri (Rosmah Mansor)," katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Warga PDRM dan agensi Kementerian Dalam Negeri di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Menerusi laman sosialnya hari ini, Najib memuat naik kenyataan yang mendakwa kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan, yang ditugaskan kepadanya telah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC, sejak beberapa minggu lepas.

Selasa, Mei 29, 2018

KHAIRUDDIN DAKWA PAS SENTIASA BERDOLAK DALIK



KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengajak rakyat melihat pada wadah perjuangan PAS yang senantiasa cuba ambil kesempatan dari titik peluh Pakatan Harapan.

Katanya,mereka senantiasa memikir cara untuk ambil kesempatan dari daya usaha orang lain saja.

"Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah selaku Naib Presiden PAS mengakui mereka pun tidak mampu untuk nak selesaikan hutang negara yang amat membebankan yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokrasi yang pernah dipimpin oleh perdana menteri paling korup iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam posting terbaharu Facebooknya.

Katanya lagi, secara tidak langsung, kenyataan Nik Mohd Amar turut mengakui bahawa parti PAS tiada wawasan dan mereka tidak mempunyai kebolehan untuk hendak selesaikan permasalahan negara sepertimana pada hari ini.

"PAS mahukan kerajaan Pakatan Harapan selesaikan semua hutang-hutang negara yang terlalu besar yang tidak mampu untuk diurus oleh parti mereka terlebih dahulu; selepas itu baru sanggup rampas putrajaya," tambahnya lagi.

Katanya lagi, kenyataan Nik Mohd Amar ini bernada cukup 'bacul' yang melambangkan jatidiri hipokrasi pemimpin-pemimpin PAS.

"Setelah selesai semua permasalahan hutang-hutang negara barulah mereka berhajat hendak tawan putrajaya," jelasnya.

Beliau mendakwa Naib presiden PAS itu sedang memberitahu 32 juta rakyat Malaysia bahawa mereka tidak mempunyai kebolehan untuk memimpin negara di saat yang paling mencabar sepertimana pada hari ini

Beliau yang juga bekas calon PKR bagi parlimen Jasin berkata kerajaan Pakatan Harapan secara jujur dan ikhlas sanggup berjuang untuk ambil alih tampuk pemerintahan negara di saat Malaysia berada di ambang kehancuran dan selesaikan semua permasalahan melalui kepimpinan unggul pemimpin-pemimpin yang berkualiti demi kesejahteraan masa depan anak cucu kita.


"Kerajaan Pakatan Harapan amat tulen. Bukan hanya pandai beretorik macam pemimpin-pemimpin PAS," tegasnya.

Tambahnya, inilah bedanya perjuangan hipokrit PAS dengan Pakatan Harapan

"Saya amat yakin Tuhan pun tidak akan berkati 'angan-angan mat jenin' parti PAS yang senantiasa cuba menunggang di atas kebolehan orang lain," ujarnya.

Beliau mendakwa PAS terlalu kuat berangan-angan. Sebab itu pada pru14 yang lalu mereka tersalah pilih kuda. Tokoh-tokoh pemimpin PAS yang tidak berwawasan ini telah pilih 'kuda lumba' yang tempang

Katanya lagi, sebelum ini pemimpin-pemimpin PAS kata keadaan ekonomi serta pentadbiran negara di bawah kepimpinan Najib tidak ada masalah.

"Sebab itu PAS sanggup bersekongkol denganUumno dan BN yang pada hakikatnya sudah pun dikategorikan sebagai 'kuda lumba tempang," ujarnya.

Khairuddin menambah dulu PAS puji Perdana Menteri paling korup Najib tetapi kini PAS mengakui pula hutang negara terlalu besar khususnya hutang syarikat 1MDB yang mana mereka pun tak mampu untuk selesaikannya.

Tegasnya lagi, Arul Kanda selaku Ketua Eksekutif syarikat 1MDB pun mampu memperbodohkan Presiden PAS dengan pemimpin-pemimpin kanan yang lain

Secara sinis beliau berkata mengapa tidak lantik Arul Kanda saja jadi Presiden PAS kerana dia ini 'kaki putar alam' yang mampu memperbodohkan PAS

"Bagi saya Arul Kanda layak jadi presiden PAS," katanya lagi.

Katanya, inilah sebabnya kita tidak boleh percaya pada parti PAS yang senantiasa berdolak-dalik. Mereka ini semua orang politik yang senantiasa bersandiwara.

"Perjuangan PAS kini sudah tersimpang jauh dari wadah perjuangannya yang asal," tegasnya lagi.

Ahad, Mei 27, 2018

KERAJAAN NEGERI BN DISERU BEKERJASAMA DENGAN KERAJAAN PH

TEMERLOH, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) diseru bekerjasama dengan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan mereka terus menerima bantuan untuk membangunkan negeri ini.

Anggota Parlimen Temerloh Anuar Tahir berkata menjadi pembangkang untuk kali menyebabkan BN dalam keadaan tersepit dalam mendapatkan dana bagi mentadbir negeri terutama menjelaskan hutang yang mencecah berbilion ringgit.

"Kerajaan negeri berhutang lebih satu bilion...kalau nak hutang lagi nak kena bincanglah, kerajaan PH tidak akan menganiaya rakyat, sebagai wakil rakyat PH saya sendiri bekerjasama dengan kerajaan negeri BN."

"Kita akan mencari titik temu di mana boleh bekerjasama...kalau mereka sudi bekerjasama ia lagi baik," katanya pada sidang media selepas mengadakan program bertemu pengundi di Pekan Sehari Temerloh di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Anuar berkata beliau mengalu-alukan lebih ramai penduduk Temerloh untuk tampil menyatakan pendapat tentang pembangunan yang diperlukan di kawasan itu.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dan pendapat yang diterima setakat ini, ramai penduduk Temerloh mahukan sebuah institusi pengajian tinggi yang berlainan daripada daerah lain di negeri ini..

Sabtu, Mei 26, 2018

ANWAR INGATKAN SEMUA WAKIL RAKYAT PH TUNJUK KESEDERHANAAN

BUKIT MERTAJAM, 25 Mei (Bernama) -- Semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) diminta jangan bersikap membalas dendam terhadap musuh politik, sebaliknya, menunjukkan kesederhanaan dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PH mempunyai tanggungjawab yang besar selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu dan menggalas amanah yang diberi dengan sebaik mungkin.

Beliau mengingatkan wakil rakyat PH supaya menunjukkan kesederhanaan dan elak daripada kegiatan boros dan rasuah yang sebelum ini digunakan untuk menyerang pemerintah semasa berada di pihak pembangkang.

"Kita dah menang tak perlu lagi menyerang lawan. Kita tidak boleh bergerak atas dasar dendam. Dendam itu penyakit hati," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Perdana di Yayasan An-Nahdhoh, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar menyampaikan tazkirah sebelum menunaikan solat Maghrib dan diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama penduduk Permatang Pauh, di sini.

Menyifatkan kini adalah zaman kebebasan media, Anwar berkata setiap wakil rakyat sentiasa akan dipantau oleh rakyat dan mereka perlu menunjukkan komitmen sebagai tanda terima kasih kepada rakyat kerana terus setia menyokong serta memberi kepercayaan kepada PKR dan PH.

"Oleh itu, mereka (wakil rakyat) perlu tahu, rakyat kini yang lebih sedar akan menilai prestasi kita, tidak seperti regim sebelum ini yang semunya dikawal, sekarang ini semua lebih terbuka," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas kembali ke kampung halaman, Anwar berkata beliau sangat bersyukur dan terubat sedikit kerinduan kepada kawan-kawan dan keluarga serta penduduk di Permatang Pauh.

"Alhamdulillah saya syukur nampak kawan-kawan dan keluarga. Semangat dan kesetiaan mereka cukup kuat. Permatang Pauh ini luar biasa, sambutannya...kasih sayangnya. Saya sangat terharu," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan pulang ke Permatang Pauh pada Aidilfitri ini, Anwar berkata: "Saya akan pulang ke kampung halaman tapi kena ikut jadual Timbalan Perdana Menteri (isterinya) (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)".

-- BERNAMA

Jumaat, Mei 25, 2018

PELAN INDUK PELANCONGAN ISLAMIK UNTUK TINGKATKAN SEKTOR PELANCONGAN

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan Terengganu pimpinan PAS sedang menyiapkan pelan induk untuk menjadikan Terengganu hab pelancongan berciri Islamik, kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya ia menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke Terengganu terutama dari Timur Tengah, China dan Barat.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri yang baharu tidak akan melakukan perubahan drastik terhadap apa-apa program pelancongan yang telah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu malah ia akan ditambah baik.

"Sebelum ini ramai pelancong asing termasuk dari Timur Tengah dan negara-negara Barat datang ke negara ini tetapi tidak ramai dari kalangan mereka yang berkunjung ke Terengganu.

"Sedangkan jika mereka mahu melihat kebudayaan masyarakat Melayu Islam di sini, keindahan pantai, pulau-pulau kita yang menarik, Terengganu sepatutnya menjadi pilihan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama para penggiat industri pelancongan negeri di sini, malam tadi.

LEBIH BAIK SHAHIDAN CADANGKAN 9 ADUN MASUK PARTI BERSATU


ARAU, 24 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong Datuk Seri Azlan Man hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB)  Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tanpa kehadiran sembilan lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Beliau mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada upacara yang berlangsung di Istana Arau di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Semua ADUN PH dan PAS menghadiri majlis itu.

Azlan ketika ditemui selepas itu berkata beliau komited untuk menjalankan tugas sebagai MB dengan cara terbaik dan berharap mendapat sokongan penuh daripada wakil-wakil rakyat yang lain khususnya daripada BN bagi merealisasikan agenda pembangunan di Perlis.

"Saya tahu kerajaan negeri kini sudah jadi pembangkang dan ini tidak menjadikan tugas ini lebih ringan tapi lebih berat, tapi ini adalah cabaran yang harus kerajaan negeri hadapi dan saya akan berusaha sebaik mungkin.

"Saya akan berbincang dengan Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) (yang juga Pemangku Presiden UMNO) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO) untuk dapatkan pandangan dan panduan mereka mengenai apakah formula terbaik untuk bolehkan pelantikan barisan exco yang akan bentuk kerajaan negeri," kata Azlan.

Beliau berkata pihaknya juga akur dengan sebarang perubahan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan pusat dan yakin rakyat di Perlis tidak akan dianak tirikan.

Azlan berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi Setiausaha Bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum pada 2013.

Perlantikan Azlan diboikot oleh sembilan ADUN BN yang menyebabkan Raja Perlis murka. Raja Perlis tolak nama adik Datuk Seri Shahidan Kassim kerana tidak mahu Ismail Kassim menjadi MB boneka. Sebaliknya Ismail berkata beliau enggan menjadi MB mencadangkan Raja Perlis lantik salah seorang dari lapan orang ADUN BN asalkan bukan Azlan Man.

Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati kesal apa yang berlaku di negeri kecil seperti Perlis yang ada 10 ADUN tidak dapat bermuafakat.

"Disebabkan sikap berebut kuasa yang tak pernah habis, Perlis sekadar negeri contoh mengapa anak muda meluat dengan Umno," katanya.

Pengerusi BN Perlis, Shahidan Kassim mencadangkan Umno memecat Azlan Man dari ahli Umno. Maka Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar menasihati 9 ADUN BN menghormati pilihan Raja Perlis kerana ia adalah bidang kuasa Raja untuk melantik MB.

Tunggulah sidang Dewan Undangan Negeri yang boleh membuat undi tidak percaya kepada Azlan, Jika Azlan diundi tidak percaya maka Raja Perlis bolehlah lantik orang lain sebagai MB baharu.

Apa yang berlaku di Perlis amat memalukan. Dahlah BN bukan lagi kerajaan pusat, negeri Perlis yang miskin ini hendak ambil duit dari mana untuk bangunkan Perlis. Azlan Man pun bukannya mahu menjadi MB lagi tetapi oleh kerana Raja Perlis melantiknya maka beliau terima perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab.

Lebih baik Shahidan mencadangkan 9 ADUN itu menyertai Parti Bersatu supaya MB baru dapat dipilih semula kerana apabila kerajaan negeri kerajaan PH ini memudahkan kerajaan pusat membantu Perlis.


Khamis, Mei 24, 2018

SURI RUMAH AKAN DAPAT KWSP JUGA?

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dicadangkan melibatkan dua peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata beliau akan bertemu dengan KWSP minggu depan berhubung pelan tindakan caruman KWSP suri rumah itu.

Beliau berkata antara perkara yang perlu dibincangkan dengan KWSP ialah mengenai mekanisme caruman KWSP untuk suri rumah, siapa yang layak dan kaedah pemberian.

"Kita juga kena fikir caruman untuk isteri pertama dan kedua kalau untuk orang Islam," katanya dalam sidang media untuk memulakan tugas di Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata caruman KWSP untuk suri rumah itu merupakan antara keutamaan untuk dilakukannya dalam masa terdekat memandangkan ia merupakan satu daripada manifesto 100 hari Pakatan Harapan.