Rabu, Mac 23, 2011

TAK CUKUP MUKA BARU PBB


Langkah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengemukakan sekurang-kurangnya 12 muka baru sebagai calon parti pada pilihan raya negeri Sarawak merupakan contoh transformasi politik yang baik.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata tindakan PBB itu menunjukkan kesungguhan Barisan Nasional (BN) mengecapi transformasi menyeluruh bagi memenuhi kehendak rakyat.

"Saya mengucapkan tahniah kepada PBB kerana mahu menampilkan muka baru dan mereka adalah pelapis kepada pemimpin lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Kuala Lumpur (PERKOBF-KL) ke-14 di sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Taib semalam yang mengesahkan parti itu akan melakukan perubahan besar-besaran calon parti itu berikutan permintaan wakil rakyat sedia ada yang mahu berundur bagi memberi laluan kepada muka baru.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan semalam bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 yang dijadualkan bulan depan.

Pada pilihan raya negeri lepas pada 2006, BN menguasai 63 kerusi iaitu 35 daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 12 manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Enam lagi kerusi dikuasai DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.