Ahad, Mac 03, 2019

MASALAH DALAMAN PUNCA PH KALAH DI SEMENYIH




SEMENYIH: Banyak faktor yang menyebabkan PH kalah pada PRK Semenyih semalam. Pertama, PKR dikatakan sabotaj calon PH, Aiman Zainali kerana pada PRU 2013 kerusi Semenyih adalah milik PKR tetapi ia diberi kepada Bersatu pada PRU 2018. PKR nafi keluarkan surat jangan sokong calon PH tetapi penafian itu sudah terlambat.

Jika PKR yang bertanding pada PRK Semenyih peluang PH untuk menang adalah cerah kerana DAP dikatakan lebih menyenangi calon PKR daripada calon Bersatu kerana Bersatu menerima bekas ahli parlimen Umno yang dianggap sebagai sampah.

Walaupun pengundi Cina tetap memangkah PH tetapi kekalahan Bersatu menggembirakan DAP supaya Bersatu tidak ghairah menerima sampah Umno.

Faktor kedua, calon PH kelihatan tidak matang dan tidak pandai berkomunikasi. Walaupun Aiman adalah menantu bekas wakil rakyat Semenyih tetapi ia tidak "carry weight" dan Bersatu dikatakan salah pilih calon yang menyebabkan para pemimpin Bersatu kawasan Semenyih tidak sepakat menerima Aiman.

Pada PRU 2018, PH dapat 23,428 undi tetapi Aiman dapat 17,866 undi. Ke mana perginya 5,562 orang pengundi PH? Adakah mereka mengundi BN atau mereka tidak keluar mengundi? Ini yang perlu dipostmortem oleh Bersatu mengapa pengundi mereka semakin berkurangan.

Faktor ketiga, kerjasama PAS dengan Umno kali ini menjadi selepas PRK Cameron Highlands. Sepatutnya calon BN, Zakaria Hanafi dapat 21,430 undi jika undi BN 2018 dan undi PAS dicampurkan tetapi Zakaria dapat 19,780 undi sahaja kurang 1,650 undi yang mana mungkin mereka tidak keluar mengundi.

Jika PAS terus membantu BN di PRK Rantau ini bermakna BN akan menang lagi buat kali ketiga berturut-turut siri PRK selepas Cameron Highlands dan Semenyih.

Faktor keempat, kegagalan PH menunaikan janji manifesto menyebabkan pengundi Semenyih memberi mesej yang jelas kepada kerajaan mandul. Walaupun Perdana Menteri turun berkempen di Semenyih PH tetap kalah menunjukkan orang Melayu marah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang tunduk kepada DAP. Orang Melayu dikatakan terancam dengan kerajaan PH maka mesej ini amat jelas ditujukan kepada PH yang mungkin menjadi kerajaan sepenggal sahaja.

Faktor kelima, kempen bossku Datuk Seri Najib Tun Razak kali ini amat berkesan. Ke mana mana beliau pergi beliau diberi sambutan hangat. Mungkin pengundi rindukan zaman BN yang penuh dengan bantuan sedangkan kerajaan PH memotong bantuan kepada rakyat.

Walaupun kemenangan BN tidak merubah kedudukan kerajaan Selangor tetapi sekurang-kurangnya PH kena sedar bahawa rakyat boleh merubah kedudukan mereka dalam masa sembilan bulan. Apa lagi jika PH gagal menunaikan janji mereka dalam masa empat tahun akan datang.

Semalam  Zakaria Hanafi (Barisan Nasional) mendapat  19,780 undi manakala Muhammad Aiman Zainali (Pakatan Harapan) mendapat  17,866 undi. Calon Bebas, Kuan Chee Heng  mendapat 725 undi dan  Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia)  mendapat 847 undi. BN menang dengan majoriti  1,914  undi.