Sabtu, Ogos 25, 2018

PERTIMBANG SEMULA PERATURAN PEMILIHAN PKR

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos (Bernama) -- Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menimbang semula peraturan yang diperkenalkan pada pemilihan parti kali ini agar lebih realistik demi kepentingan semua calon yang bertanding.

Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata adalah sukar jika peraturan baharu yang diperkenalkan oleh JPP tidak pratikal kerana pemilihan PKR sangat mencabar berikutan ia melibatkan 800,000 anggota di seluruh negara.

"Ya, saya tahu ada beberapa calon yang bertanding dalam pemilihan PKR kali ini menyuarakan pandangan dan ada yang tidak setuju dengan beberapa peraturan baharu oleh JPP yang dilihat tidak realistik dan pratikal.

"Saya sendiri juga melihat perkara itu (peraturan baharu) tidak sesuai dan sepatutnya JPP mengambil kira beberapa perkara sebelum buat peraturan tersebut kerana pemilihan PKR adalah satu-satunya parti yang menjalankan undi terus dari semua anggota parti yang mendaftar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Kesyukuran dan Korban Perdana anjuran pertubuhan bukan kerajaan Yayasan MyPrihatin di Guar Perahu di sini hari ini yang turut menyaksikan yayasan tersebut menyerahkan dua ekor lembu untuk dikorbankan dan dan dimasak dalam kenduri untuk penduduk Permatang Pauh tersebut