Sabtu, November 08, 2008

RM8 RIBU BIASALAH


Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menyiasat dakwaan sebuah akhbar milik pembangkang bahawa angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha telah memperoleh pendapatan hampir RM1.2 juta hasil siri ceramah yang dilakukannya di seluruh negara sejak tahun lalu.


Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan itu dan menyifatkan tindakan angkasawan berkenaan sebagai 'tidak patut' sekiranya spekulasi itu terbukti benar.
"Bagaimanapun, dalam hal ini, saya terpaksa menyiasat perkara ini terlebih dulu memandangkan berita itu datangnya daripada akhbar pembangkang," katanya hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar yang mendakwa Sheikh Muszaphar mengenakan bayaran sebanyak RM8,000 untuk satu jam berceramah.


Menurut laporan akhbar berkenaan, angkasawan itu telah menjana pendapatan sebanyak RM1.2 juta secara purata daripada 150 badan korporat sejak kembali dari Stesen Angkasa Antarabangsa pada Oktober 2007.


"Jika benar, ia tak patut berlaku sebab Sheikh Muszaphar merupakan ikon negara dan dia merupakan tiket dan lambang kepada kejayaan negara.


"Dia dilahirkan untuk memberi inspirasi dan menyemai minat dalam bidang sains dan teknologi kepada remaja dan belia Malaysia.


"Oleh itu, dia perlu lebih rasional dalam membuat sebarang keputusan, dia juga perlu jaga imej baiknya... memang tak patutlah (merujuk kepada spekulasi)'' ujarnya.


Bagaimanapun, menurut Fadillah, memandangkan kontrak yang dimeterai oleh angkasawan itu sebagai duta MOSTI sudah pun berakhir baru-baru ini, tiada tindakan khusus boleh dikenakan kepadanya.


"Selepas kontrak beliau tamat dengan kita, dia secara automatik mempunyai hak dan bebas melakukan apa yang dia suka.

\
"Namun, apa yang ingin saya katakan, walau nak buat ceramah sekali pun pada masa akan datang, mintalah bayaran yang berpada-pada dan jangan sesekali mengenakan caj yang tinggi,'' katanya.


Jelas beliau, dalam pengetahuannya, Sheikh Muszaphar hanya memberi ceramah secara percuma di mana-mana organisasi semasa masih bersama MOSTI.


Projek angkasawan adalah projek Dr. Mahathir tetapi dilaksanakan di zaman Pak Lah. Selepas Dr. Jamaluddin Jarjis tak jadi menteri, projek itu entah tak tahu apa jadinya. MOSTI pun tak ada program untuk Dr. Sheikh Muzhaphar. Jadi dia caj yang mahal untuk korporat apa salahnya kerana dia uruskan sendiri ceramahnya. Itu biasalah rate penceramah seperti Dr. Fazilah Kamsah.