Rabu, April 06, 2011

KERAJAAN SELANGOR DIDESAK GANTUNG TUGAS ANWAR


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak supaya menggantung tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri sehingga siasatan berhubung penerbitan sebuah video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang selesai.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, ini kerana Anwar dilihat begitu tertekan berikutan pelaku yang terlibat dalam video seks tersebut dikatakan mirip dirinya dan fokusnya kepada tugas mungkin terganggu.

Beliau berkata, penggantungan itu juga dapat menjaga imej kerajaan negeri daripada tercemar kerana Anwar sebelum ini menghadapi pelbagai tuduhan berkaitan moral.

"Mustahil Anwar boleh melaksanakan tugasnya dengan baik ketika beliau sedang menghadapi pelbagai tuduhan kesalahan moral termasuk tuduhan meliwat yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

"Untuk itu, kami menggesa supaya kerajaan negeri menggantung tugasnya supaya beliau (Anwar) boleh memberi tumpuan untuk membuktikan yang dirinya tidak bersalah terhadap segala tuduhan yang dihadapinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran sebahagian daripada video aksi seks didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang yang dimuat naik ke laman YouTube semalam.

Ia didakwa merupakan video sama yang dipertontonkan kepada sekumpulan pengamal media di hotel Seri Carcosa, Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Selain itu, tambah Abdul Shukor, Anwar juga dilihat gagal untuk melaksanakan tugasnya dengan baik sejak beliau dilantik memegang jawatan tersebut.

"Ini dapat dibuktikan lagi apabila ada laporan yang mendakwa anak syarikat kerajaan negeri berbelanja dengan boros tanpa memikirkan kepentingannya kepada rakyat," tegasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang.

TAIB TAK GENTAR LAWAN SALLEH


Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau tidak gentar dan sedia berdepan bekas Timbalan Menteri Pelajaran di peringkat persekutuan Datuk Salleh Jafaruddin di kawasan DUN Balingian dalam pilihan raya negeri 16 April ini.

Beliau berkata, memandangkan Sarawak sebuah negeri yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja termasuk Salleh, yang mempunyai pertalian dua pupu dengannya, berhak untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Negara ini besar, dan rakyat tahu terdapat banyak jenis calon. Rakyat tahu dan boleh menilai sendiri jenis perwatakan beliau,” kata Taib kepada media ketika ditanya mengenai pengumuman Salleh untuk bertanding menentang beliau.

Taib ditemui selepas merasmikan Kem Bina Negara Sampadi di sini. - Bernama