Selasa, November 11, 2014

JATUHKAH TOK NAN?

Sesiapa yang mendokong kuat integriti, tidak akan melatah dan emosional terhadap pendedahan media. Sebab itu Awang hairan mengapa menteri besar Pahang, Adnan Yaakob mahu menghina dan memperlekehkan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhubung isu Cameron Highlands. Beliau ternyata marah dengan laporan khas Utusan tentang kebanjiran 30,000 warga asing terutama Bangladesh di daerah tersebut. Seperti biasa, Adnan mengaitkannya dengan agenda media untuk menjatuhkan pemimpin selain mahu melariskan akhbar bagi mengelakkan syarikat akhbar rugi dan tutup. Inilah antara cabaran media dalam memperjuangkan integriti – penyakit pemimpin politik. Awang seperti tidak percaya ada pemimpin bertaraf menteri besar yang berfikir seperti itu. Inilah masalahnya kalau sudah lama sangat sandang jawatan dan terleka dalam zon selesa sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri. Ulat pun disangka ular. Beliau sepatutnya belajar dengan menteri besar lain yang mengambil positif dan menjadikan laporan media sebagai peluang untuk menangani sesuatu isu dengan lebih berkesan. Ada laporan lebih panas melibatkan negeri lain tetapi menteri besarnya tidak melatah. Agenda media dalam isu di Cameron Highlands adalah untuk keselamatan negara dan dan rakyat, tidak lebih daripada itu. Tiada sebarang agenda lain. Apakah kerana Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mahu mengutamakan agenda ini, akhbar tersebut menjadi mangsa dan sasaran tohmahan Adnan? Bukan kali pertama, Adnan rakus menuding jari terhadap media. Awang selalu mendapat maklum balas termasuk daripada wartawan banyak organisasi media tentang cara beliau yang kelihatan angkuh. Tidak boleh menerima teguran – mudah melenting. Memandangkan keangkuhannya, Awang bagi pihak Utusan ada hak untuk menyanggah beliau. Menggunakan kuasa politik untuk membuli media, tidak boleh dibiarkan. Di Pahang, pelbagai pihak termasuk media lebih senang berurusan dengan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota, Tengku Abdullah yang lebih tahu menghormati dan menjaga aib orang lain. Benar-benar berjiwa rakyat. Bukan itu sahaja baginda berdua bersikap budiman, terbuka dan bijak mengurus kritikan. Sayangnya, ia tidak terzahir kepada menteri besar. Persoalannya hebat sangatkah Adnan sehingga kerap kali menghina dan tidak menjaga adab tutur kata sebagai seorang pemimpin? Rakyat Pahang boleh menilai. Walaupun Adnan berjasa kepada negeri itu tetapi ramai merasakan Pahang tidaklah sehebat mana di bawah pentadbirannya sejak 1999. Tiada faktor 'wow' yang boleh menjadi kebanggaan negeri. Isu kelemahan dan kepincangan tertentu di bawah pentadbiran beliau, juga jadi bahan bualan. Ingatlah kebanyakan kita ada pekung. Mengata orang tetapi gagal cermin prestasi sendiri. Lihatlah kes penerokaan haram di hutan simpan dan tanah kerajaan di Cameron Highlands (dan banyak lagi daerah) yang sudah lama berlarutan, yang kerap mengakibatkan banjir tetapi apa yang Adnan buat selain asyik memberi alasan. Gaya kepimpinannya juga tidak lagi sesuai meskipun bagi penyokong Adnan, beliau masih diperlukan atas hujah karismanya yang mampu mengawal politik Pahang yang unik. Lain pula di akar umbi, yang mahukan perubahan kepimpinan. Negeri lain sudah berubah menteri besar, Pahang masih orang sama yang rating dan popularitinya jatuh. Desas-desus menteri besar bakal diganti sudah lama berlegar. Walaupun Adnan tentu tidak senang dengan hal tersebut tetapi Awang yakin beliau bukanlah jenis yang tidak boleh menerima realiti. Lagipun Adnan pasti sudah puas duduk di kerusi menteri besar. Sebagai pemimpin politik, sesiapa pun termasuk beliau seharusnya boleh menerima sebarang kemungkinan naik, turun dalam karier politik kerana ia lumrah. Sebagai pemimpin yang bijaksana, beliau sepatutnya sudah boleh membaca dan memahami isyarat termasuk implikasi kepada politik negeri jika tiada perubahan menteri besar. Jangan biar diri menjadi liabiliti kepada parti dan negeri. Walaupun khabarnya, Adnan dikatakan bergantung kepada Sultan Pahang untuk survival politiknya namun dalam soal menjaga kepentingan rakyat Pahang, baginda akan mengambil pendirian terbaik. Lagipun yang akan mengundi atas nama demokrasi pada pilihan raya nanti ialah rakyat. Pada pilihan raya umum lepas, faktor Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak memainkan peranan besar kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu. Rakyat Pahang lebih menghargai Najib, yang merupakan Ahli Parlimen Pekan. Tanpa mahu menafikan peranan dan kerja keras Adnan, ramai berpendapat Pahang boleh menang lebih besar jika beliau umumkan berundur selepas PRU-13. Setakat ini, tiada tanda Adnan mahu bersara secara sukarela, seolah-olah tiada pemimpin lain di Pahang yang layak. Maka eloklah Awang peringatkan ungkapan bahasa Inggeris, Don't overstay your welcome, yang beliau lebih arif maksudnya. (PETIKAN DARI AWANG SELAMAT, MINGGUAN MALAYSIA, 9 NOVEMBER LALU)