Sabtu, November 15, 2008

RAMASAMY TAK ADA MODAL


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy bahawa UMNO sebagai punca berlakunya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam merupakan tuduhan melulu.


Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut memandangkan CUEPACS sebelum ini pernah membuat kajian mengenai masalah itu dan mendapati ia bukan berpunca daripada parti pemerintah atau pun UMNO sendiri.


Katanya, masalah tersebut berlaku disebabkan sektor kerajaan hanya mampu menawarkan pembayaran gaji yang rendah berbanding sektor swasta.


''Kita tidak bersetuju UMNO dipersalahkan, ini kerana berdasarkan tinjauan CUEPACS mendapati orang bukan Melayu lebih berminat bekerja dengan sektor swasta atau pun berniaga sendiri kerana pendapatannya lebih lumayan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Kelmarin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ramasamy mengatakan bahawa ketidakseimbangan pekerja perkhidmatan awam di Pulau Pinang adalah berpunca dari rejim lama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dasar yang diamalkan UMNO.


Bagaimanapun, Ramasamy tidak menafikan ada banyak punca lain menyebabkan perkara itu berlaku, namun faktor dominan yang menentukan arah tuju politik negara didominasi oleh parti itu.


Dalam pada itu, Omar turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana individu mengenai surat permohonan bukan Melayu telah dikoyak oleh ketua jabatan.


Beliau berkata, proses permohonan dan pengambilan pekerja di dalam sektor awam diurus dengan baik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.


''JPA merupakan satu badan bebas yang bertanggungjawab melakukan penilaian sama ada pemohon benar-benar layak untuk mengisi jawatan yang dipohon atau pun sebaliknya.


''Malah setakat ini, CUEPACS tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak yang mendakwa borang permohonan mereka dikoyak,'' tegasnya.


Beliau memberitahu, pihaknya mendapati setelah kerajaan memutuskan untuk menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu, ada berlaku sedikit peningkatan terhadap bilangan pemohon bukan Melayu.


Namun begitu, katanya, jumlah permohonan daripada bukan Melayu masih lagi kecil jika dibandingkan dengan orang Melayu walaupun terdapat peningkatan dari segi bilangannya.