Khamis, Oktober 11, 2018

APA MOTIF KADIR JASIN UNGKIT ISU SULTAN KELANTAN TARIK BALIK GELARAN DK DR MAHATHIR?



Hakikat bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah pun diperkatakan secara meluas selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menang Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei lalu.

Wan Azizah sendiri pernah mendedahkannya tidak lama selepas PRU tersebut.

Namun begitu, tindakan beliau mengulangi hal itu ketika berucap kepada rakyat Malaysia di Jakarta semalam adalah berguna kerana bukan semua orang tahu dan faham peristiwa yang terjadi pada malam 9-10 Mei itu.

Wan Azizah dilaporkan oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V membuat tawaran tersebut kerana beliau (Wan Azizah) ketika itu adalah Presiden PKR yang simbolnya digunakan oleh HARAPAN sebagai simbol tunggal untuk pilihan raya.

“Bagaimana pun saya menolak tawaran itu kerana saya memegang janji kita, iaitu Tun Dr Mahathir (Mohamad) akan menjadi perdana menteri dan saya timbalan beliau,” katanya di majlis yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Pengesahan dan ulang sebut ini penting kerana rakyat, khususnya pengundi yang memilih HARAPAN, berhak mengetahui tindak balas Yang di-Pertuan Agong terhadap keputusan mereka memilih HARAPAN.

Dalam manifesto HARAPAN dan kempen-kempennya dinyatakan dengan jelas bahawa jika parti itu menang maka yang akan menjadi perdana menteri ialah Dr Mahathir.

Di dalam manifesto yang sama dinyatakan juga bahawa selepas Dr Mahathir maka yang akan menjadi perdana menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memanglah pada waktu kemenangan HARAPAN itu ketua parti ialah Wan Azizah dan parti-parti HARAPAN memutuskan untuk mengguna lambang PKR setelah usaha mereka mendaftar dan menggunakan lambang HARAPAN digagalkan oleh Pendaftar Pertubuhan.


Secara konvensyen, ketua parti yang menang diangkat menjadi perdana menteri. Tetapi di sisi undang-undang, mana-mana ahli dewan yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat boleh dilantik menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun dalam konteks PRU ke-14, persetujuan telah pun dicapai awal-awal lagi dan dihebahkan kepada umum bahawa yang akan menjadi perdana menteri bukanlah ketua parti (PKR) tapi Dr Mahathir yang merupakan pengerusi HARAPAN.

Jadi rakyat tahu dan satu dunia juga tahu bahawa calon perdana menteri ialah Dr Mahathir dan bukan orang lain.

Cuma timbul persoalan kerana tiga bulan sebelum PRU 9 Mei, Istana Kelantan telah menarik balik gelaran Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

Gelaran itu diberikan oleh bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra. Baginda adalah ayahanda kepada Sultan Muhammad V dan masih hidup.

Penarikan balik darjah tertinggi Kelantan itu dilihat sebagai penolakan terhadap Dr Mahathir oleh Istana Kelantan. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa beberapa orang sultan secara tersurat dan tersirat “berkempen” menghalang kepulangan Dr Mahathir ke arena politik tanah air.

Saya menyokong ulang sebut Dr Wan Azizah itu kerana ia memperjelaskan dan mengesahkan apa yang menjadi tekaan orang ramai pada malam 9 dan 10 Mei 2018.

Setiap perkataan yang dikeluarkan dan gerak tubuh (body language) yang dipamerkan pada saat genting itu perlu dirakamkan secara rasmi agar menjadi panduan kepada kerajaan yang ada hari ini dan petunjuk bagi generasi akan datang.

Pada malam itu rakyat Malaysia mengubah sejarah yang tiada siapa pun boleh menghalangnya.

Alhamdulillah itulah yang terjadi.

Ulasan saya, apa motif A Kadir Jasin mengungkit isu Sultan Kelantan menarik balik gelaran DK kepada Dr Mahathir dalam posting blog beliau di atas? Adakah beliau mahu menghasut rakyat membenci Sultan Kelantan?

Mujur Menteri Komunikasi dan Multi Media, Gobind Deo Singh menjelaskan bahawa Akta Hasutan digantung maka Kadir Jasin selamat dari siasatan polis di bawah Akta Hasutan. Beliau tidak serik kerana di awal PH menang beliau mendedahkan perbelanjaan Istana Negara dalam tulisannya yang menyebabkan beliau disiasat di bawah Akta Hasutan.

Kadir Jasin anti raja tetapi yang anehnya beliau menerima gelaran Dato. Oleh itu Sultan yang menganugerahkan gelaran Dato kepada beliau patut menarik balik gelaran tersebut.

DR MAZLEE TAK TAHU SEJARAH PENUBUHAN UNISZA



KUALA TERENGGANU: Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu menyatakan rasa terkilan berhubung pelantikan pengerusi dan barisan ahli lembaga pengarah di dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri itu.

Ketua penerangannya, Zamir Ghazali berkata, pihaknya mengambil maklum pelantikan pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Pengarah di Universiti Sultan Zainal Abidin UniSZA yang dibuat baru-baru ini.

Namun katanya, mungkinkah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kurang mengenali tokoh-tokoh kelahiran Terengganu?

"Walaupun tokoh-tokoh yang dilantik itu layak memandangkan latar belakang cemerlang mereka dalam bidang masing-masing, Pemuda HARAPAN Terengganu tertanya-tanya kenapa tidak ada tokoh kelahiran Terengganu dalam radar pertimbangan menteri pendidikan?

"Terengganu tidak pernah kekurangan tokoh akademik mahu pun tokoh masyarakat untuk diangkat dalam lembaga pengarah univesiti sehingga memerlukan individu luar yang sudah pasti masa mereka tidak banyak berada di sini serta kurang memahami waqi' atau konteks negeri ini secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah UniSZA.


Selain itu, beberapa orang tokoh lain turut dilantik menganggotai lembaga pengarah termasuk tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandes sebagai wakil syarikat swasta di UniSZA.

Justeru Zamir berkata, Pemuda HARAPAN Terengganu berharap agar aspirasi anak Terengganu tidak berterusan dipinggirkan dalam pelantikan apa jua jawatan yang dibuat di mana-mana institusi di negeri itu.

"Tidakkah wajar jika pimpinan parti pemerintah iaitu HARAPAN Terengganu dirunding sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Bukankah negeri ini juga ada wakil kerajaan persekutuan yang boleh dirujuk?" soalnya.

Ulasan saya, nampaknya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee tak tahu sejarah penubuhan Unisza. Ia bermula dengan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang mana KUSZA dijadikan universiti pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh jadi Menteri Besar Terengganu (2004-2008).

Pada mulanya diberi nama Universiti Darul Iman  tetapi atas cadangan Sultan Terengganu maka ia ditukar kepada nama Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza). Hubungan Idris dengan istana dikatakan mulai retak apabila KUSZA diberi nama universiti lain yang langsung tiada nama Sultan Zainal Abidin moyang Sultan Mizan.

Apabila Kusza ditukarkan menjadi Unisza, sepatutnya Kusza dikekalkan manakala Unisza menjadi entiti yang baharu. Sebaliknya Kusza dihapuskan terus. Ini yang merugikan Kusza kerana Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dijadikan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) tetapi KTAR tetap wujud dengan UTAR entiti yang berbeza.

Jika Dr Maszlee faham sejarah penubuhan Unisza, sepatutnya beliau mengadap Sultan Mizan dan bertanya siapa pilihan tuanku untuk mengetuai lembaga pengarah Unisza. Melantik orang luar seperti Dr Mohd Noor Manuty seolah olah Terengganu ketandusan ahli akademik yang hebat.

Oleh itu saya berharap Dr Maszlee lantiklah orang Terengganu ganti Dr Mohd Noor Manuty.

Dr Mazlee orang cerdik dalam akademik tapi tak cerdik politik dalam mengambil hati rakyat Terengganu. Inilah kualiti menteri Pakatan Harapan yang tidak peduli dengan cita rasa masyarakat setempat.