Selasa, April 23, 2019

PERGINYA SEORANG SAHABAT BERNAMA YUSOF FORENSIK

KUALA LUMPUR: Pagi semalam saya terkejut menerima berita kematian Haji Yusof Yaacob yang kami lebih kenali sebagai Yusof Forensik. Beliau adalah di antara sahabat Nagas kami yang amat baik.

Saya amat rapat dengan beliau kerana beliau selalu join meja kami sama ada di restoran Nagas atau restoran Arif Maju atau di Sepiring Sunway Putra Mall. Kadang kadang kami bertemu di lounge Seri Pacific Hotel di depan Sunway Putra Mall.

Bukan semua orang beliau berkawan. Beliau amat pemilih orangnya. Tetapi dia selalu join meja saya bila nampak saya keseorangan menunggu Hidayat Fansuri. Beliau tidak ngam dengan Datuk Zaharin Mohd Yassin. Apabila Zaharin nampak saya bersama Yusof Forensik, Zaharin tak akan join meja kami. Saya tak tahu kenapa mereka bergaduh kerana dari dahulu Yusof tak suka dengan Zaharin.

Saya amat rapat dengan beliau kerana beliau suruh saya tulis banyak berita. Saya tak tahu dari mana beliau dapat sumber tetapi berita yang saya suruh tulis dapat rating yang tinggi. Katanya dia dapat info dari Bukit Aman. Dia tak pernah upah saya tulis tetapi dia selalu belanja saya makan apabila berita yang dia mahu keluar dalam blog saya.

Dia pun kata bossnya puji berita yang saya tulis itu. Saya pun tak tanya siapa bossnya. Arwah rapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Arwah selalu ke rumah Najib di Taman Duta. Saya pernah suruh dia bawa kawan saya ke rumah Najib. Tetapi sebagai bekas pegawai forensik arwah nasihati saya jangan berkawan dengan orang itu kerana orang itu tak jujur.

Beliau bekerja sebagai pegawai forensik di HUSM Kota Bharu dan sudah lama bersara.Walaupun beliau bukan orang Kelantan tetapi beliau ada di rumah di Kota Bharu. Beliau selalu balik ke sana.Bila dia hilang, saya tanya Haji pergi mana. Dia jawab baru balik dari Kota Bharu.

Beliau cerita bagaimana kumpulannya terlibat dalam penubuhan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu. Ketika itu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tak nak ia dibuka di Kelantan kerana BN kalah di Kelantan.

Mereka gunakan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Hussein Serama untuk jumpa Dr Mahathir. Mereka dapat temui Perdana Menteri dan yakinkan Dr Mahathir kenapa perlu tubuh Hospital USM di Kota Bharu memandangkan kematian bayi amat tinggi di Kelantan. Dr Mahathir akhirnya menerima alasan kumpulan Yusof dan beliau bersetuju HUSM dibuka di Kota Bharu.

Beliau berkhidmat di HUSM Kota Bharu sehinggalah bersara. Sebagai orang yang terlibat dengan forensik beliau lebih mengenali telatah manusia dari raut mukanya. Sebab itu arwah selalu menasihati saya jangan berkawan dengan orang itu dan orang ini. Saya banyak belajar tentang kehidupan dengan arwah.

Beliau banyak buat kerja politik di belakang tabir. Saya tak tahu dia buat kerja untuk siapa kerana beliau tak pernah beritahu siapa bossnya. Sebelum PRU 14, beliau sudah jangka BN akan kalah. Banyak info yang beliau beri tapi ketika itu semua orang tak percaya BN akan kalah di peringkat parlimen.

Selepas PRU tahun lepas,  saya tak pernah jumpa dengannya. Saya whatsapp beliau tak pernah jawab. Biasanya saya nampak beliau berada di Restoran Arif Maju tetapi sudah 11 bulan saya tidak temuinya.Saya whatsapp arwah beritahu saya kena serangan jantung pada 25 Disember 2018, beliau tak jawab whatsapp saya.  Saya jemput arwah ke majlis perkahwinan anak saya  pada 7 April lalu pun  beliau tidak hadir. Rumah terbuka aidilfitri saya dua tahun lepas beliau hadir walaupun beliau kata jauh sungguh rumahmu Zabidi.

Saya amat menyenangi berkawan dengan arwah kerana sebagai orang tua beliau banyak menasihati kami. Hangpa tak tahu sejarah ini semua, kata arwah apabila menasihati rakan saya Hidayat Fansuri yang masih baru mengenali dunia politik. Saya amat terasa kehilangannya. Al Fatihah buat beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat.