Selasa, Ogos 25, 2015

TAJUDDIN BERANI BERSUARA

Nampaknya satu-satunya ahli majlis tertinggi Umno yang berani bersuara ialah Tajuddin Rahman. Beliau yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani adalah bekas exco pemuda Umno di zaman Anwar Ibrahim. ketika itu Najib Razak adalah naib ketua pemuda.

Pada tahun 1987, ketika Najib mengetuai pemuda, beliau ditahan di bawah ISA bersama Ibrahim Ali, Fahmi Ibrahim selepas perhimpunan pemuda di Stadium TPCA. Tajudin mendapat jolokan six million dollar man apabila digantung keahliannya sebagai ahli Umno kerana dikatakan terlibat dalam politik wang menentang ketua bahagiannya, Ramli Ngah Talib yang juga MB Perak.

Najib pernah menyifatkan Tajudin seorang tokoh yang hebat. Ditekan di zaman Ramli Ngah Talib, akhirnya beliau berjaya menjadi ahli parlimen Pasir Salak. Itulah kelebihan Tajuddin. Pada tahun 2009, beliau memenangi ahli majlis tertinggi Umno ketika Najib menjadi Presiden Umno yang baharu.

beliau mengamuk dalam mesyuarat majlis tertingggi Umno apabila najib tidak melantiknya sebagai timbalan menteri sedangkan beliau menang ahli majlis tertinggi Umno. Untuk mendiamkan beliau, najib melantiknya sebagai pengerusi FELCRA yang menyebabkan ketua pegawai eksekutif FELCRA gerun kepadanya.

Selepas PRU 2013, baharulah Tajuddin dilantik timbalan menteri pertanian dan industri asas tani. Itulah sejarah tajuddin jatuh bangun dalam Umno. Apabila Tajuddin menegur Najib bahawa beliau dikelilingi punahsihat sudah tentu kenyataan Tajuddin ini menggemparkan kerana orang menganggapnya sebagai orang Najib.

Sekurang-kurangnya Tajuddin berani bersuara supaya Najib insaf bahawa beliau dikelilingi oleh punahsihat bukannya penasihat. Siapa yang dimaksudkannya tidak pasti. Tetapi sudah tentu setiausaha politik najib yang ditujukannya.

Kita lihat pada PRU2013 semua setiausaha politik najib ghairah mahu bertanding dalam PRU. Sepatutnya mereka bekerja untuk menonjolkan boss mereka, sebaliknya mereka menonjolkan diri sendiri. Akhirnya semua tewas, Fatmi kalah di parlimen Kota Bharu; Shahlan Ismail kalah di parlimen Pokok Sena; Shafie Abdullah tewas di parlimen Wangsa Maju.Yang menang setiausaha sulit kanan Najib di kementerian kewangan, Sheikh Fauzi di DUN di parlimen Pekan.

Saya pernah berurusan dengan Shafie ketika beliau setiausaha politik Menteri Kewangan. Saya bawa kawan saya yang bawa satu proposal untuk najib. Belum baca proposal itu, dia sudah tolak. Dia kata Najib tak minat benda begini. Kawan saya tidak berputus asa mencari orang lain untuk menemui najib. Beliau dapat cari orang yang rapat dengan Sheikh Fauzi. Sheikh Fauzi terus atur pertemuan dengan najib dan Najib arahkannya menemui Pengerusi FELDA, Isa Samad dan FELDA melaksanakan proposal itu yang bukan sahaja buat FELDA untung malah kawan saya untung dapat jadi jutawan. Tak ada rezeki saya untuk jadi jutawan. Inilah kebodohan punahsihat macam Shafie kerana proposal itu menguntungkan agensi yang melaksanakannya. Kini KWSP turut melaksanakan proposal tersebut untuk menambah dana agensi berkenaaan.

Kenyataan Tajuddin bahawa najib kena menyingkirkan penasihat yang jadi punahsihat perlu diberi perhatian. Tajuddin mendakwa punahsihat itu seperti watak Mahmud Jun dalam filem Lanchang Kuning yang ambil kesempatan untuk kepentingan diri.

"Punahsihat perdana menteri ini kena buang. Sesetengah mereka ini dikenali pun. Masalahnya, kadang-kadang kita tak berani, kita takut nak tegur," kata beliau.
"Saya tahu dua tiga orang itu. Dia bukan kira Umno dan parti menang ke kalah (dalam pilihan raya)," kata Tajuddin seperti dilapor oleh akhbar Sinar Harian.
Kalau benar seperti kata Tajuddin, Najib kena bertindak memecat punahsihatnya. kalau Najib berani menyingkirkan Muhyiddin yasin dan Shafie Apdal, masakan beliau tidak berani memecat punahsihatnya.
Janganlah pulak punahsihat Najib menghasut Najib memecat Tajuddin dari jawatannya pula. Jika ia berlaku, tunggulah kehancuran Umno pada PRU akan datang.