Isnin, Ogos 19, 2013

SUKARNYA MENJUAL BARANG BERKHADAM

Kisah misteri yang dipaparkan ini adalah kisah benar. Tetapi nama-nama watak telah ditukar untuk tidak menyinggung perasaan orang berkenaan. Tujuan saya menulis kisah ini adalah untuk pengajaran kepada kita supaya tidak terlibat dengan perbuatan karut seperti ini. Ali adalah seorang broker barang-barang mistik. Sebagai broker, Ali mencari pembeli kepada orang yang mahu menjual batu delima merah, rantai babi, besi kuning dan pelbagai barang mistik yang lain. Barang-barang ini dikatakan kebal umum. Maknanya jika memakai barang berkenaan maka orang itu kebal, tidak lut ditembak dan sebagainya. Biasanya barang kebal umum diuji dengan memotong rambut. Apabila pembeli pegang barang tersebut, tester akan menguji barang itu sama ada kebal atau tidak dengan memotong rambut pembeli menggunakan razor blade. Jika rambut itu putus, maknanya barang itu tidak kebal. Sebaliknya jika rambut tidak putus, ini bermakna barang itu memang kebal. Kenapa barang-barang ini jadi kebal? Ia adalah kerana barang-barang ini ada khadam. Khadamlah yang menyebabkan tuan punyanya menjadi kebal. Harga barang kebal umum seperti batu delima merah, rantai babi dan besi kuning biasanya mencecah sampai RM5 juta. Ramai broker yang jadi jutawan menjual barang-barang mistik ini kerana penjual tidak tahu harga pasaran. Kalau penjual bersetuju menjual RM1 juta, ini bermakna broker yang kenyang kerana RM4 juta akan dibahagi sama rata di kalangan broker terlibat. Ali dahulu seorang pegawai kerajaan di sebuah bandar di Johor. Tetapi dia meletakkan jawatan kerana mahu menjadi kontraktor kelas F. Oleh kerana di daerahnya ramai sangat kontraktor kelas F, maka peluangnya untuk mendapat projek agak terhad. Entah macam mana akhirnya dia terlibat menjadi broker barang-barang mistik. Ali gembira apabila Pak Wan, tuan punya batu delima menghubunginya untuk menjual barang tersebut. “Datang ke FELDA Cherul. Bawa pembeli, Saya mahu RM3 juta sahaja,” kata Pak Wan melalui handphone. “Okay saya akan bawa Datuk Munir ke rumah,” jawab Ali. Barang kebal Dari Muar, Ali naik bas ke Kuala Lumpur untuk menemui kawannya Latif yang mana dia yang ada hubungan terus dengan Datuk Munir yang suka membeli barang-barang kebal. “Kamu pergi Cherul dulu tengok barangnya dan test delima itu. Jika confirm rambut tak putus, saya akan bawa duit RM5 juta ke rumah Pak Wan,” kata Datuk Munir kepada Latif dalam handphone. Ali yang ada di sisi Latif senyum kerana mereka berdua akan dapat RM1 juta seorang. Esok mereka akan ke FELDA Cherul untuk melihat barang Pak Wan. Esoknya, sebelum bertolak ke Kemaman dengan kereta buruk Latif, Ali ajak Latif singgah di sebuah kedai menjual kereta Mercedes Benz di Kampung Baru. “Ini I punya, itu U punya,” kata Ali sambil memegang Mercedez Benz model terbaru berwarna biru manakala Latif memegang kereta warna merah. “Esok balik dari Kemaman, dapat kami beli kereta ini,” kata Latif sambil memberitahu jurujualnya bahawa esok mereka datang beli kereta tersebut. Mereka terus bertolak ke FELDA Cherul melalui Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Jerangau-Jabor. Empat jam kemudian mereka tiba di rumah Pak Wan. “Ini Ali ke?” tanya Pak Wan. “Ya saya Ali, Pak Wan. Ini Latif, partner saya,” kata Ali. Malam itu Pak Wan ajak mereka berdua tidur di rumahnya. Mereka nak tidur di hotel bajet di Kuantan tetapi Pak Wan kata nak pergi ke sana, jauh juga, jadi lebih baik tidur di rumahnya. Lagi pun di rumah itu tiada orang hanya Pak Wan dan Mak Wan saja. Tiga orang anak mereka sudah berumah tangga dan duduk berasingan. Malam itu Latif test batu delima Pak Wan. Ali berikan razor blade baru kepada Latif yang bersedia memotong rambut Pak Wan. Ternyata rambut Pak Wan tidak putus. Seronok Ali dan Latif melihat hasil test tersebut. Pagi esoknya, Datuk Munir tiba di rumah Pak Wan membawa sebuah van Securicor yang membawa wang tunai sebanyak RM5 juta. Dua orang pengawal keselamatan bersenjata turut datang bersama van tersebut. “Pak Wan, ini pembelinya, Datuk Munir,” kata Latif memperkenalkan Datuk Munir kepada Pak Wan. Teratak buruk “Sila masuk Datuk ke teratak buruk saya,” ujar Pak Wan sambil merendah diri. “Buruk apa. Saya kira rumah ini yang paling besar di FELDA Cherul ini,” jawab Datuk Munir. Selepas berbual sekejap, maka Pak Wan pun panggil Datuk Munir untuk menyerahkan batu delima merah itu. Oleh kerana Latif sudah menjalankan test malam tadi, maka Datuk Munir tidak mahu memotong rambut sekali lagi. “Saya serah delima merah ini kepada Datuk,” kata Pak Wan. Tiba-tiba tubuh Pak Wan menggigil dan matanya sudah naik putih. Rupa-rupanya khadam delima merah itu tidak mahu dipindahmilik. Khadam itu sudah sebati dengan Pak Wan. Dia tidak nak dipindahmilikkan kepada Datuk Munir. Puas Pak Wak memujuk khadamnya untuk pergi ke tuan baru, tetapi khadamnya berdegil sehingga mata Pak Wan naik putih. Maka urusan jual beli itu tidak dapat diteruskan. Datuk Munir pulang hampa kerana dia tidak dapat membeli delima merah itu. Yang paling hampa sudah tentu Ali dan Latif yang sudah pegang kereta Mercedez Benz di Kuala Lumpur semalam. “Memang susah jual barang berkhadam,” kata Latif memujuk Ali yang kecewa. “Tak ada rezekilah tu,” jawab Ali dan mereka terus pulang ke Kuala Lumpur selepas satu jam Datuk Munir membawa balik van Securicor itu. Peristiwa itu tidak mematahkan semangat Ali dan Latif. Mereka terus urus jual barang-barang kebal walaupun tidak pernah berhasil kerana khadam tak mahu beri kerjasama. Di hadapan kita memang khadam tunjuk keindahan dengan membuatkan rambut tidak putus tetapi di hadapan pembeli khadam sengaja buat rambut putus supaya ia tidak berpindah ke tuan baru. (freemalaysiatoday.com)

TARIK DUIT

Selepas banyak kali gagal menjual barang berkhadam, Latif berhenti membuat kerja tak berfaedah itu. Tetapi Ali masih tidak putus asa. Dia terus menjadi broker barang mistik. Kali ini saya mahu ceritakan pengalaman Ali terlibat dalam tarik duit. Mungkin anda pernah mendengar kisah ini. Selepas Latif berhenti, Ali mengenali Zaki. Zaki yang mempunyai anak bini di Perak menyewa sebuah bilik di Kepong. Ali menumpang tidur di bilik Zaki. Zaki tidak ada kerja tetap. Maka dia tertarik dengan cara Ali mencari makan dengan menjadi broker barang mistik. Oleh kerana Ali pernah berjaya dalam kes tarik duit, ia merangsang minat Zaki untuk bekerja bersama Ali. Harapan Zaki bila semua dealnya dengan Ali berjaya, dapat dia bayar hutang. Malah bilik sewaannya itu sudah empat bulan tidak dibayar. Cina taukeh bengkel di tingkat bawah biliknya sudah bising kerana gagal dapat RM1,000 yang mana sewa bulanannya ialah RM250. Zaki terpesona mendengar cerita Ali yang pernah terlibat dalam tarik duit. Ali pernah berjaya. Dengan rakan-rakannya menggunakan batu kebal kulit. Tetapi tarik duit yang dilakukan oleh Ustaz Mahri itu tak banyak dapat. Dapatlah RM22,000 seorang. Ustaz Mahri menggunakan Surah al-Waqiah. Maka muncullah duit di bawah sejadah. Laju duit itu masuk di bawah sejadah. Bunyinya macam mesin teller di bank mengira duit. Itulah kali pertama Ali berjaya dalam tarik duit yang istilahnya dipanggil “proses”. Mereka tak kata Ustaz, tolong tarik duit. Sebaliknya mereka akan kata, Ustaz tolong proses. Itulah kali pertama Ali berjaya. Lepas itu banyak kali dia gagal dalam tarik duit. Tapi Ali tetap bersemangat. Ada peluang tarik duit dia tetap pergi. Keris bergerak Pernah berlaku tarik duit dibuat dengan keris bergerak. Bila keris bergerak, maka duit pun muncul. Nampak sudah tinggi duit not RM100 muncul dalam rumah itu di hadapan semua ahli jemaah. Agaknya ratusan juta. Ahli jemaah seramai 10 orang berzikir sepanjang Ustaz Zahir prosesnya. Tiba-tiba Ustaz Zahir suruh tuan punya keris yang duduk di hadapan baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Tuan punya keris panik dan mulutnya terkumat-kamit tak dapat baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Maka duit yang sudah tinggi itu semakin lama semakin turun dan hilang. Maka selesailah proses tarik duit tersebut. Ustaz Zahir diam. Dia pun kecewa juga kerana dia sudah sedaya upaya proses keris itu menarik duit. Ahli-ahli jemaah menyumpah tuan punya keris kerana tak tahu baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Kalau dari awal mereka tahu, mereka suruh orang yang hafal kedua-dua surah itu duduk di hadapan Ustaz Zahir. Impian mereka untuk jadi jutawan hancur berkecai. Apatah lagi mereka keluar modal RM100 seorang untuk memanggil Ustaz datang ke rumah tuan keris. Ustaz Zahir dapat RM1,000 kosnya datang ke Batu Pahat dari Kuala Lumpur. Bila proses selesai, jika dapat RM10 juta, Ustaz Zahir tak boleh ambil duit itu. Sebaliknya 10 jemaah akan dapat RM1 juta seorang. Dengan duit RM1,000 itu Ustaz Zahir buat belanja, isi minyak keretanya dan makan minum sepanjang perjalanan. Zaki teruja mendengar pengalaman Ali dalam tarik duit. Maka dia mahu ikut Zaki. Manalah tahu ada rezeki dia jadi jutawan. Hari yang ditunggu pun tiba. Kebetulan Zaki kenal Ustaz Mahmud. Zaki memperkenalkan Ali kepada Ustaz Mahmud yang duduk di Kepong juga. Besi kuning “Ustaz malam esok ada orang nak bawa besi kuning untuk proses di rumah ustaz,” kata Ali. “Datanglah jam 9 malam,” kata Ustaz Mahmud. Malam esoknya tuan punya besi kuning, Dollah datang lapan orang dengan dua buah kereta dari Kuantan. Ali yang kenali Dollah memperkenalkan Dollah kepada Ustaz Mahmud. Ustaz Mahmud pun pegang besi kuning Dolah. Lama Ustaz Mahmud memegang besi kuning itu. Sebelum proses, ustaz akan uji besi kuning terlebih dahulu. Potong rambut tak putus, baru boleh diproses. Zaki dan Ali siang tadi telah membeli persiapan untuk proses. Mereka beli tiga jenis pisang, pisang tanduk, pisang raja dan pisang emas; tujuh jenis bunga dan sebiji kelapa muda. “Khadam ada tapi dia ada di bawah. Tak naik. Enta pergi panggil khadam masuk,” kata Ustaz Mahmud. Dollah turun ke bawah. Rumah Ustaz Mahmud di tingkat empat rumah kedai itu. Dollah puas memujuk khadamnya tetapi khadam enggan masuk ke rumah Ustaz Mahmud. Maka proses tarik duit tak dapat dilakukan. “Pisang ini macam mana Ustaz?” tanya Zaki. “Kita makanlah,” kata Ustaz Mahmud sambil disambut ketawa ahli-ahli jemaah. Dalam ketawa, ahli-ahli jemaah kecewa kerana mereka tak dapat duit tarik malam itu. Apatah lagi mereka datang dari jauh.

TOYOL UNTUK DISEWA

Ali dan Zaki walaupun gagal dalam kes tarik duit tapi mereka berdua masih lagi terlibat dalam urusan mistik itu. Sudah banyak duit yang dikeluarkan tetapi kejayaan tetap tidak kunjung tiba lagi. Tetapi mereka berdua tetap tidak putus asa. Sudah banyak Ali pinjam duit kawan-kawannya di Johor tetapi semuanya tidak game. Zaki pula ramai kenalan perempuan dalam facebook. Maka Ali gunakan perempuan yang berada untuk pinjam duit. Banyak juga duit mereka Zaki pinjam untuk terlibat dalam urusan jual-beli barang mistik ini. “Bilalah kita nak berjaya Ali?” soal Zaki. “Entahlah. Belum ada rezeki kita,” jawab Ali. “Kawan-kawan perempuan I tak nak beri pinjam duit lagi,” Zaki mengadu. “Susah kita macam ini nak makan minum pun susah,” kata Ali. “Kita kena fikirkan sesuatu,” kata Zaki. “I ada idea. Kita pergi ke Tanjung Karang sewa toyol. I kenal Haji Zamri,” cadang Ali. “Sewa toyol? Biar betul Ali. I tak pernah dengar pun toyol boleh disewa. Ali pun ceritakan hal Haji Zamri. Dia kenali Haji Zamri melalui Haji Meon orang Muar. Haji Meon memang rapat dengan Haji Zamri. Dia bela beberapa ekor toyol dikebunnya di Tanjung Karang. Curi duit Kerja Toyol mencuri duit orang tetapi kalau orang tu ada RM10 dalam poket seluar, toyol curi RM8 sahaja. Toyol tak curi semua. RM2 tetap dia tinggalkan untuk orang berkenaan. Paling tinggi toyol dapat mencuri RM70 ribu satu hari. “Berapa sekali sewa?” soal Zaki. “Kita rundinglah dengan Haji Zamri,” kata Ali. “Kalau kita sewa seminggu, kita dapat RM490 ribu. Setengah juta tu,” kata Zaki. “Tapi kena cari perempuan untuk diberi darahnya kepada toyol. Ada ke perempuan yang sanggup jarinya dihisap sebelum toyol buat kerja mencuri?” tanya Ali. Zaki teringat kepada Ani girl friend Ismail. Ismail juga terlibat dalam urusan barang mistik. Setiap kali menemui Zaki, Ismail selalu membawa Ani sekali seorang janda anak dua berumur 34 tahun. Tubuh Ani memang solid. Entah macam mana bila Ani tangkap Ismail ada skandal dengan perempuan lain, maka Ani mencurangi Ismail dengan berpaling tadah kepada Zaki pula. Zaki pula macam orang mengantuk disarung bantal, peluang yang diberi Ani diambil sepuasnya. Maka banyak kali Zaki dapat menikmati tubuh Ani tanpa pengetahuan Ismail. Zaki terus sms kepada Ani supaya menjadi ibu angkat kepada toyol. Ani bersetuju kerana Zaki berjanji nak beri RM5,000 kepada Ani. Ani sanggup memberi darahnya kepada toyol. Apabila Ani sudah setuju, maka Ali pun menghubungi Haji Zamri di Tanjung Karang. Anak angkat “Assalamualaikum Tuan Haji Zamri. Esok Tuan Haji ada di Tanjung Karang?” tanya Ali. “Siapa ni?” soal Haji Zamri. “Ali Muar kawan Haji Meon,” jawab Ali. “Ada apa?” soal Haji Zamri. “Esok saya nak datang rumah. Kalau boleh nak ambil anak angkat. Nak sewa seminggu,” kata Ali menyebut toyol sebagai anak angkat. “Sampai di Tanjung Karang call saya,” jawab Haji Zamri. Malam itu sebelum tidur Zaki berangan dalam satu minggu mereka dapat RM490 ribu berdasarkan hasil curian totol RM70 ribu satu hari. “Kaya kita,” kata Zaki kepada Ali. Pagi esok jam 7 mereka sudah menunggu bas ke Kuala Selangor di Kepong. Dua jam kemudian mereka sampai di Kuala Selangor. Dari situ mereka naik teksi ke Tanjung Karang. Jam 10 mereka sudah sampai di stesen bas Tanjung Karang kerana Haji Zamri berjanji nak jemput mereka di situ. “Tak payah call Haji Zamri lagi, kita minum dulu,” kata Zaki. Ali pun order teh o ais minuman kegemarannya. Tidak jawab Lepas minum pagi, Ali pun call Haji Zamri. “Apa hal pulak Haji Zamri tak angkat. Dia yang suruh datang,” kata Ali. “Sabar,” kata Zaki. Hampir satu jam Ali call Haji Zamri, Haji Zamri masih tak angkat call . Entah sudah banyak missed call dalam handphone Haji Zamri. Malah sms pun dia hantar. Tapi tiada jawapan. Satu jam kemudian isteri Haji Zamri angkat call. “Haji Zamri pergi ke Sungai Besar. Dia tertinggal handphonenya,” kata isterinya. “Bila Tuan Haji balik?” soal Ali. “Petang nanti baliklah,” jawab isteri Haji Zamri. “Kita nak balik Kuala Lumpur bila?” soal Zaki. “Alang alang mandi biar basah. Alang alang dah sampai di Tanjung Karang, kita tunggu sampai jumpa Haji Zamri,” jawab Ali. Tidur “Kalau begitu kita tidur di sini malam ini,” kata Zaki. “Kita tidur di surau di hospital,” cadang Ali. “Okaylah. Asalkan kita dapat sewa toyol. Hahaha,” kata Zaki sambil ketawa. Malam itu selepas solat Isyak di masjid Tanjung Karang, Ali call Haji Zamri lagi. Tapi Haji Zamri tetap tak angkat call Ali. Sampai jam 11 malam Ali tetap call Haji Zamri, tapi tiada jawapan. Malam itu mereka tumpang tidur di surau di hospital di pekan tersebut. Pagi esok mereka call lagi Haji Zamri. Sampai jam 10 pagi Haji Zamri tetap tak angkat call Ali. “Kita baliklah,”kata Zaki. “Yang peliknya dia yang suruh datang. Bila kita datang, dia tak angkat call pulak. Agaknya toyol-toyol belaannya dah bunuh dia kot,” kata Ali. “Hahaha,” kata Zaki ketawa. Mereka pulang ke Kuala Lumpur dengan penuh hampa kerana tidak dapat menyewa toyol Haji Zamri. Ani pun kecewa kerana tidak dapat duit RM5 ribu sebagai upah menjadi ibu angkat kepada toyol Haji Zamri.

BOMOH EKOR

Balik dari Tanjung Karang, Ali merenung nasibnya yang selalu malang. Dia tertanya dalam hati kenapa setiap dealnya tidak berjaya. Adakah dia melanggar pantang larang selama ini? Walaupun Ali tak tinggal solat lima waktu, tetapi dia suka beli nombor ekor. Dia memang peminat KTM. KTM bukan Keretapi Tanah Melayu tetapi Kuda, Toto, Magnum. Biasanya setiap hari Rabu, Sabtu dan Ahad dia akan membeli KTM. Zaki pelik dengan perangai Ali yang solat tapi kuat beli KTM. “Tak payah berjudi Ali, tak baik,” nasihat Zaki. Tapi nasihat itu sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan sahaja. “Buang duit aja. Bukannya menang pun. Lagipun bukan kita ada duit nak beli KTM. Mujur kawan u selalu masuk duit RM30 satu hari untuk makan,” kata Zaki lagi. “Kalau begitu mari kita jumpa bomoh ekor,” kata Ali. Ali menceritakan pengalaman kawannya Mansor yang pernah menemui tok guru yang menjaga Gunung Panti. Mansor berlima mendaki gunung itu untuk mencari tok guru yang pandai buat nombor ekor. “Ada apa cucu datang ke mari?” tanya Tok Guru yang berjanggut putih serta panjang sampai ke tanah. “Kami nak nombor ekor Tok,” jawab Mansor. “Masya Allah. Tak ada benda lain ke kamu nak minta?” marah Tok Guru. Bayar hutang “Kami susah Tok. Tolonglah Tok beri kami nombor. Kami nak bayar hutang dan beli harta,” kata Mansor ikhlas. “Oleh kerana kamu minta nombor, kamu pergi ke Kota Bharu tempat banjir bawak duit RM2,356 beri bantuan kepada mereka,” kata Tok Guru. Mansor terfikir mana nak cari duit sebanyak itu sedangkan yang ada dalam poket hanya RM50 sahaja. Mansor pun ajak kawan-kawannya pulang. Esok keluar nombor 2356 dalam keputusan Magnum. Naik hadiah pertama. Terkejut Mansor dan kawan-kawannya. Rupa-rupanya Tok Guru beri nombor secara tidak langsung. Semua garu kepala kerana mereka tak beli nombor itu. Zaki terpegun mendengar cerita Ali. Zaki yang tak pernah main nombor ekor ingin mengikut Ali pergi ke Sungai Besar menemui Wak Kamarul. “Kita pergi pasar borong Selayang cari pisang kembar ke, nangka kembar ke. Wak Kamarul suruh cari barang kembar,” kata Ali. Mereka pergi ke pasar borong itu dan mereka bernasib baik dapat beli pisang kembar. Esoknya mereka tumpang Datuk Rejab ke Sungai Besar menemui Wak Kamarul. Datuk Rejab yang tahu di mana letaknya rumah Wak Kamarul. “Lama tak jumpa Wak,” kata Datuk Rejab. “Yalah. Datuk kan sibuk. Apa hal Datuk?” tanya Wak Kamarul yang tidak berbaju. Dia cuma pakai seluar jeans. Pisang kembar “Ini kawan saya Ali nak minta nombor. Ali ada bawa pisang kembar,” kata Datuk Rejab. “Mana pisang tu. Biar Wak tengok,” kata Wak Kamarul sambil meminta Ali beri pisang kembar kepadanya. Wak Kamarul pun ambil pisang. Dia tutup pisang itu dengan bendera Barisan Nasional. Datuk Rejab yang kuat PKR ketawa melihat Wak Kamarul menutup pisang dengan bendera BN. Ali tarik bendera BN, maka nombor 6739 timbul di atas kertas putih. “Ada lagi yang nak buat nombor? Keluarkan apa yang ada dalam poket baju,” kata Wak Kamarul. Zaki yang ada di sebelah Ali bawa keluar duit siling 10 sen. Wak Kamarul pun bungkus duit siling itu dengan bendera BN. Lima minit kemudian keluar nombor 3825. Datuk Rejab tidak ketinggalan keluarkan al Quran kecil untuk buat nombor ekor. Wak Kamarul pun bungkus kitab kecil itu dengan bendera BN. Lima minit kemudian keluar nombor 4173. Selepas memberi bayaran RM30 seorang kepada Wak Kamarul, mereka bertiga pulang ke Kuala Lumpur. Sampai di kedai Magnum di Sekinchan terus mereka beli nombor yang diberi Wak Kamarul. Pagi esok mereka tengok keputusan Magnum yang tersiar dalam akhbar The Sun. Pusing nombor “Tak keluar pun nombor I,”kata Ali. “Yang keluar 6749,” kata Zaki. “You punya macam mana?” tanya Ali. “Hadiah pertama 8523, “jawab Zaki hampa. “Nombor you 3825, yang keluar 8523. Kenapa you tak pusing nombor atau beli i-box? Kalau u beli i-box dapat RM2,000 hari ini,” kata Ali. “Manalah I tahu boleh pusing. Ni kali pertama I beli ekor,” kata Zaki. “Nampaknya bawak pisang kembar nombor tak naik, yang naik nombor u yang guna duit siling tapi tak buat i-box pula” kata Ali. “Melepas I RM2,000 hari ini,” kata Zaki dalam nada kesal. “Nombor Datuk Rejab naik?” tanya Ali. “Dia dah call tadi. Nombornya pun tak naik. Buang duit kita pergi Sungai Besar,” Kata Zaki lagi.

CEK BUNIAN

Pada hari Sabtu lepas, seramai 3,210 orang sudah baca kisah yang saya tulis, Bomoh Ekor. Saya terkejut kerana ramai yang membaca kisah benar itu. Ada yang mengatakan ia adalah cerita karut tetapi ia adalah pengalaman benar Ali dan Zaki. Minggu ini saya akan tulis pengalaman mereka tentang cek bunian. Biasanya kita tengok cek bank CIMB atau Maybank atau lain-lain bank komersial, tapi kali ini saya mahu ceritakan tentang cek bunian yang dikeluarkan oleh kerajaan bunian. Tentu pelik bagi kita mendengarnya. Sebenarnya alam bunian memang wujud. Orang bunian dikatakan berasal dari jin Islam.Tetapi manusia tidak dapat melihatnya. Mereka dikatakan tinggal di hutan belantara. Malah mereka suka kalau anak gadis mereka dinikahkan dengan manusia kerana mereka mahu zuriat daripada manusia. Ali mengenali Haji Amin yang duduk di Senai, Johor. Haji Amin pernah disekat orang gila pada tahun 70an ketika mahu pergi ke masjid pada hari Jumaat. Orang gila itu berkata, tak payah pergi ke masjid, jom ikut saya. “Nak ke mana?” tanya Haji Amin. “Ikut sajalah. Pegang bahu saya dan pejamkan mata,” kata orang gila itu. Haji Amin pegang bahu orang gila itu dan pejamkan mata. 10 minit kemudian bila Haji Amin celikkan mata, dia terkejut dia berada di Mekah. Rupa-rupanya tadi bukan orang gila yang menyekatnya. Dia adalah wali Allah yang membawa Haji Amin ke Mekah. “Kita solat di masjidil haram ini. Tunggu saya di pintu ini bila selesai solat nanti,” pesan wali itu. Selesai solat Haji Amin tunggu wali di pintu yang dijanjikan. Maka mereka pulang semula ke tanah air sekelip mata. Haji Amin tidak cerita kepada kawan-kawannya tentang kejadian aneh ini. Sejak itu dia mempunyai kelebihan berubat orang sakit. Pelbagai penyakit yang boleh diubatinya termasuk penyakit gila. Sekembalinya dari Mekah, Haji Amin diberi kelebihan untuk berinteraksi dengan orang bunian. Haji Amin sering kali masuk ke perkampungan bunian yang terdapat di sebuah gunung di Pulai. “Zahid ini ada cek bunian, Zaki,” kata Ali kepada Zaki ketika mereka bertemu dengan Zahid di sebuah restoran mamak di Kepong. “Berapa nilainya?” soal Zaki yang ingin tahu. Inilah kali pertama Zaki melihat cek bunian yang tiada tulisan. Tetapi bila kertas putih itu disuluh dengan lampu picit terdapat tulisan jawi yang menulis nilai wang itu. “RM5 juta,” kata Zahid. “Banyaknya,” kata Zaki terkejut. “You ada orang yang boleh tukar cek ini?” tanya Zahid kepada Ali. “Saya kenal Haji Amin di Senai. Dia selalu masuk ke alam bunian. Mungkin dia boleh tukarkan cek ini,” kata Ali. “Bagus tu. Bila kita nak ke Senai?” tanya Zahid. “Anytime boleh pergi. Tapi kami tiada duit,” kata Ali. “Kita collect duit dari ahli jemaahlah,” kata Zahid. “Berapa orang kita semua?” tanya Zaki. “Saya ada lima orang. You punya berapa orang?” tanya Zahid. “I berempat dengan Zaki,Hisham dan Cikgu Lazim,” jawab Ali. Maka mereka pakat kumpul duit RM50 seorang untuk beli minyak kereta. Mereka sembilan orang pergi dengan dua kereta ke sana. Sampai di rumah Haji Amin, Ali sampaikan hajat Zaki untuk menukar cek bunian. “Mana kamu dapat cek ini?” tanya Haji Amin. “Cek ini diberi kepada orang tua saya sebagai pemegang amanah. Orang tua sudah uzur, Umur hampir 90 tahun. Dia lumpuh di rumah. Jadi dia suruh saya tukarkan cek ini,” kata Zahid. Haji Amin setuju untuk bawa cek ke perkampungan bunian. Zahid dan Ali ikut sama, Manakala Zaki dan lain lain menunggu mereka di rumah Haji Amin. Pagi itu Haji Amin bertiga sudah pergi ke sebuah gunung di Pulai. Mereka masuk ke perkampungan alam bunian. Dari kampung itu ketua kampung Syed Alwi yang mengenali Haji Amin membawa mereka ke bandar bunian pula. Zahid kagum dengan keindahan bandar bunian itu. Keadaan sama dengan bandar kita yang penuh dengan pembangunan. Malah kereta mewah seperti Mercedes Benz pun ada di bandar tersebut. Banyak bank yang terdapat di bandar itu. Maka Syed Alwi bawa Haji Amin, Zahid dan Ali menunggu di bilik pengurus bank di sebuah bank komersial di bandar bunian itu. Cek sebanyak RM5 juta sudah ditunaikan. Zahid lega kerana sudah lama dia berhasrat menukarkan cek itu akhirnya menjadi kenyataan. Sudah sampai mereka bertiga berpisah dengan Syed Alwi di sempadan kampung. Entah macam mana timbul perasaan tamak di hati Zahid. Daripada aku bahagi RM5 juta kepada 10 orang termasuk Haji Amin, lebih baik aku sapu sorang. Sampai di sebuah stesen minyak di Senai, Zahid terus tinggalkan Haji Amin dengan Ali di situ. Zahid terus memandu keretanya ke Kuala Lumpur dengan wang tunai RM5 juta. Haji Amin terpinga-pinga dengan ketamakan Zahid. Ali terlopong kerana dia sudah kehilangan RM500,000. Sudah tentu Zaki dan kawan-kawan lain yang menunggu di rumah Haji Amin akan terkejut juga mendengar berita ini. “Orang tamak selalunya rugi. Zahid takkan selamat di dunia. Percayalah cakap saya Ali,” kata Haji Amin. Mulut orang yang tidak tinggal solat tahajud memang masin. Dua jam kemudian mereka mendapat berita Zahid mati kemalangan berhampiran dengan persimpangan Tangkak. Kereta Proton Wiranya terbabas dan terbakar serta wang RM5 juta hangus dalam kemalangan tersebut.

JENGLOT

Anda tentu pernah mendengar cerita tentang jenglot. Banyak dari kita yang bahkan belum mengetahui apakah jenglot itu. Menurut cerita yang beredar dari mulut ke mulut, hantu jenglot adalah mumia dengan bentuk menyerupai manusia. Mumia ini berukuran kecil. Dari beragam versi jenglot yang ditemukan (menurut pemiliknya, mereka menemukan jenglot itu), jenglot terkecil berukuran 10 sentimeter dan jenglot terbesar berukuran lebih kurang 17 sentimeter. Secara umum, jenglot memiliki bentuk seperti manusia, lengkap dengan dua kaki serta panjang rambut yang bahkan melebihi panjang tubuhnya sendiri. Desas-desus mengatakan bahawa rambut itu tidak berhenti tumbuh meskipun si hantu jenglot itu telah mati. Mumia hantu jenglot ini memiliki tekstur kulit yang kasar dengan warna gelap, khasnya mumia. Bentuk muka hantu jenglot ini menyerupai tengkorak dilengkapi dengan taring mencuat. Pemilik jenglot percaya bahawa jenglot yang mereka miliki adalah mumia dari jenglot hidup. Berdasarkan cerita yang beredar mengenai jenglot, banyak orang menyatakan bahwa mereka pernah mendapati jenglot hidup di beberapa daerah di Indonesia. Di daerah Jawa Timur misalnya, pernah seorang mendakwa melihat secara langsung jenglot hidup. Orang tersebut menyatakan bahawa pada saat itu, setidaknya ada 8 jenglot hidup sedang berada di pinggir pantai di daerah Jember tersebut. Ali tahu bahawa jenglot boleh diproses (dibuat tarik duit). Tapi biasanya selepas proses, jenglot itu akan disempurnakan (dibunuh). Jika tidak jenglot itu akan mengganggu semua ahli jemaah tarik duit tersebut. Malah jenglot juga boleh dijual dengan harga RM5 juta jika ia boleh angkat kotak rokok. Lebih mahal lagi kalau jenglot itu boleh angkat kereta atau tong gas. Proses “Ada orang nak jual jenglot. Ada buyer? ” kata Hisham kepada Ali. “Buyer ada tapi lebih baik kita proses,”” jawab Ali. “Nanti saya tanya tuan jenglot sama ada dia nak jual atau proses,” kata Hisham. “Kalau jual setakat RM5 juta saja. Tapi kalau proses, lebih banyak kita dapat. Jenglot ini ada di mana?” tanya Ali. “Ada di Taiping. Kawan saya, Eric yang kenali tuannya, Pak Mail,” jawab Hisham. Hisham terus call Eric yang mengenali tuan jenglot Pak Mail. Pak Mail serah kepada Eric sama ada mahu jual atau proses Jenglot itu. Eric setuju jenglot itu diproses. “U dah tengok ke jenglot tu dapat angkat kotak rokok?” tanya Ali yang turut bercakap dengan Eric. “I tak sempat tengok. Tapi Pak Mail kata kereta pun dia boleh angkat,” jelas Eric orang Iban Sarawak yang duduk di Taiping selepas kahwin dengan orang Cina Taiping. “U tahu selepas proses, kita kena bunuh jenglot itu?” soal Ali. “Ya ke? Kenapa?” tanya Eric. Jemaah “Kalau tidak semua jemaah kita akan dibunuh,” jelas Ali. “Ustaz Yahya pandai ke bunuh jenglot?” soal Eric. “Itu memang kerja Ustaz Yahya. Dia yang lebih arif. Bila u nak datang KL?” soal Ali. “Ada masalah sikit. Saya pun tak ada duit nak isi minyak dan bayar tol nak ke Kuala Lumpur. Kita kongsi dengan ahli jemaahlah,” cadang Eric. “Okay kita semua lima orang keluar duit RM100 seorang untuk isi minyak, tol dan makan minum kalian,” Ali beri jaminan. Petang itu bila Zaki balik kerja, Ali beritahu projek barunya itu untuk proses jenglot dengan Ustaz Yahya. “Betul ke jenglot tu boleh angkat kereta?” tanya Zaki. “Eric kata Pak Mail cakap macam tu. Entahlah kot kot kereta mainan. Hahaha,” kata Ali. Petang Jumaat Pak Mail tiba di Kepong dengan Eric. Hisham yang mengenali Eric menyambut mereka sementara menunggu Ali dan Zaki sampai. Di kedai mamak itu. Malam itu terus mereka pergi ke rumah Ustaz Yahya. “Mana jenglotnya?” tanya Ustaz Yahya. “Dalam kotak ini,” kata Pak Mail sambil membuka kotak itu. Ustaz Yahya memerhati jenglot itu. “Minta maaf ya Pak Mail. Jenglot ini mati. Bukannya hidup. Kalau hidup boleh buat proses,” beritahu Ustaz Yahya dengan jujur. “Mati? Kata ia boleh angkat kereta?” tanya Ali. “Entahlah. Pak Mail yang cakap macam itu,” kata Eric. “Nampaknya terbang lagi duit aku,” kata Zaki. Mereka semua kecewa kerana jenglot yang dibawa Pak Mail bukannya hidup. Angan-angan mereka nak jadi jutawan pada malam itu gagal lagi. (dipetik dari freemalaysiatoday.com)

UMNO SABAH AKAN BERKOMUNIKASI DENGAN UMNO SEMENANJUNG

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan “berkomunikasi” dengan rakan Umno di Semenanjung berhubung kewajaran mencalonkan Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman bertanding satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini. “Sebagai pemimpin dari Sabah, kami mempunyai alasan kukuh dan kami berpendapat mereka dapat diyakinkan dan bersetuju dengan kami bahawa Musa pilihan terbaik untuk mengisi satu daripada tiga jawatan naib presiden,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubugan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, di sini hari ini. Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Yahya Hussin baru-baru ini bahawa Umno Sbah sudah bersedia menggerakkan jenteranya sekiranya Musa memutuskan bertanding jawatan itu. Yahya juga dipetik sebagai berkata setakat ini lebih 20 Bahagian Umno telah mengikrarkan sokongan padu kepada Musa, dan menambah Ketua Menteri ialah antara tiga calon teratas bagi jawatan Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti bagi dua penggal berturut-turut. “Sokongan padu daripada lebih 20 Bahagian itu atas keyakinan mereka terhadap keupayaan dan kapasiti Datuk Seri Musa sebagai pemimpin parti,” kata Timbalan Ketua Menteri. Salleh berkata kejayaan Musa menerajui Barisan Nasional (BN) Sabah mengekalkan kuasa di negeri ini dengan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, telah membuktikan komitmen, kerja keras dan kesetiaan beliau kepada parti. BN negeri juga memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah untuk menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN di peringkat persekutuan. Salleh juga melahirkan keyakinan Musa akan mampu, bersama-sama dengan pemimpin yang lain, memperkukuhkan Umno untuk menang selesa dalam pilihan raya umum akan datang. 9dipetik dari freemalaysiatoday.com)
-Bernama