Isnin, Mac 14, 2016

ROMBAKAN KABINET DALAM MASA TERDEKAT?



Semalam Mingguan Malaysia melaporkan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz disebut-sebut bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam masa terdekat.


Othman, 57, yang merupakan ahli politik kanan di Kedah, ketika ini adalah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri.

Pelantikan itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah baru-baru ini.

Ahmad Bashah pernah memegang jawatan timbalan menteri kementerian berkenaan sejak 2013.

Sementara itu, Othman ketika dihubungi memberitahu, terlalu awal untuk beliau memberi reaksi mengenai pelantikan itu.

"Saya tidak tahu mengenai pelantikan ini. Tunggu pengumuman dulu sebab saya memang tidak tahu apa-apa (pelantikan sebagai timbalan menteri)," ujarnya.

Pada 3 Februari lalu, Ahmad Bashah meletak jawatan dalam Kabinet selepas dilantik menjadi Menteri Besar baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ketika ini diterajui menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Minggu lepas sudah heboh di parlimen rombakan kabinet akan dibuat dalam masa terdekat di mana beberapa menteri akan digugurkan. Ini memandangkan hanya beberapa orang menteri sahaja yang beriya benar mempertahankan Najib Razak iaitu Nazri Aziz, Salleh Said Keruak dan Rahman Dahlan.

Manakala ramai menteri membisu dalam isu serangan pembangkang terhadap Najib terutamanya menteri-menteri  Umno. Sementara itu, sumber berkata Najib dijangka membawa masuk ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam kabinet.

Minggu lepas Najib telah menemui Ku Li setelah empat kali Najib membuat temujanji
baru dapat menemuinya. Di Gua Musang dua hari lalu Ku Li telah memberitahu pemberita beliau telah menemui Najib dan memberi nasihat kepada Najib menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

Adakah Najib menawarkan jawatan kabinet kepada Ku Li hanya dapat diketahui apabila ada rombakan kabinet nanti.