Ahad, Jun 26, 2016

KELAB ALUMNI KARANGKRAF DILANCAR



SHAH ALAM: Semalam secara rasmi terlancarnya Kelab Alumni Karangkraf (KAK) setelah selesai mengadakan mesyuarat agongnya yang pertama di pejabat Karangkraf di sini.
.

Pengerusi KAK, Rodli Fadly berkata, pada awalnya kelab ini ditubuh hanya untuk merapatkan kembali silaturahim antara bekas bekas karyawan Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) dari era 1980-an sehingga kini.

Menurutnya, banyak perjumpaan dan majlis ramah mesra diadakan sebelum ini bagi menemukan kembali bekas karyawan Karangkraf yang rata-ratanya kini berjaya dalam bidang masing-masing.

“Namun, desakan daripada Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub agar kelab ini ditubuh secara rasmi supaya semua bekas karyawan dapat disatukan kembali akhirnya membawa kejayaan yang dapat kita lihat hari ini.

“Kita semua dapat kembali bertemu sebagai sebuah keluarga besar Karangkraf yang begitu dekat di hati di mana kebanyakan dari alumni ‘membesar’ atau mencipta tapak kerjaya bermula dengan Karangkraf sebagai ‘institusi pendidikan’ pertama masing-masing,” katanya

Hussamuddin yang turut menyampaikan ucapan perasmian pada majlis berkenaan berharap agar KAK terus aktif di atas tiga matlamat utama penubuhannya iaitu sebagai medan mengeratkan silaturahim, menjaga kebajikan serta rekreasi dan riadah.

“Saya gembira, bersyukur dan ingin mengucapkan tahniah dengan penubuhan KAK yang ingin saya lihat sejak beberapa tahun lalu. Ia berjaya direalisasikan dengan kesungguhan ahli jawatankuasa penaja (sebelum ini) sekali gus mendekatkan hubungan di antara satu sama lain.

“Karangkraf berdiri teguh lebih 40 tahun dan bagi saya ia adalah kerana ALLAH SWT telah mengirimkan individu istimewa yang memberi sumbangan terbaik kepada Karangkraf,” katanya.

Menurutnya, kewujudan KAK juga memberi peluang kepada Karangkraf untuk bersama-sama memberi sumbangan dan bantuan kepada bekas karyawan yang memerlukan sekali gus dapat berkongsi kenangan dan masa depan.

Majlis berakhir dengan kesemua ahli alumni bersama keluarga masing-masing menyertai majlis berbuka puasa di Karangkraf.



PERKASA RAYU PM PUJUK ABU KASSIM





KUALA LUMPUR: PERKASA merayu Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri memujuk Ketua Pesuruhaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohammed.

Malah presidennya, Datuk Ibrahim Ali juga merayu kepada Abu Kassim supaya menarik balik keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan sebagai pesuruhjaya pada Ogos depan.

"PERKASA ingin membuat rayuan terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri supaya memujuk dan menyambung khidmat Tan Sri Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

"Saya juga nak merayu pada Abu Kassim supaya beliau tarik balik hasrat letak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM. Yang di-pertuan Agong patut panggil balik Abu Kassim menghadap, perdana menteri pun nasihat supaya jangan berhenti.

"Jika tidak, kita akan kehilangan modal insan yang besar, tokoh berpengalaman, diakui di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara semalam.

Khamis lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa memberitahu bahawa Abu Kassim dilaporkan tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini seperti dipohonnya.




SPRM dalam kenyataan medianya pula memberitahu, ia merupakan kali ketiga Abu Kassim memohon bagi mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018.

“Tiada tekanan dibuat oleh mana-mana pihak terhadap keputusan Tan Sri Abu Kassim bagi memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018.

“Permohonan kali ketiga ini dibuat selepas Tan Sri Abu Kassim menerima tawaran daripada International Anti Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan di universiti pencegahan rasuah pertama di dunia,” katanya kenyataan tersebut.

MAJLIS BUKE POSE MEMANG MENAKJUBKAN

Memang menakjubkan seramai 15 ribu anak Terengganu di Kuala Lumpur menghadiri  majlis Anak Tranung Buke Pose bersama MB di Tasik Titiwangsa semalam. MB, Razif Abdul Rahman terkejut dengan kehadiran yang ramai itu kerana biasanya setiap tahun Pesat buat majlis seperti ini tidak ramai yang hadir.







Kali ini Pesat bersama 10 NGO anak Terengganu bergabung dalam majlis anjuran kerajaan negeri.Selepas berbuka puasa mereka solat maghrib, isyak dan terawih yang diimamkan oleh imam dari Mesir, Sheikh Abdul Rahman.

Turut diadakan majlis penyampaian dana remaja, dana hari raya dan dana penyakit kronik kepada pemohon perantau. Majlis diserikan lagi dengan acara cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa motorsikal, tv, handphone dan pelbagai lagi.

 Razif berkata program seperti ini akan diadakan sebagai acara tahunan.

"Sebelum ini kerajaan negeri telah mengadakan majlis sebegini tapi hanya jumlah yang kecil sahaja. Kita akan jadikan program ini sebagai program tahunan," katanya pada sidang media petang semalam.

Semoga 15 ribu pengundi luar ini dapat merampas kembali 15 kerusi BN pada PRU yang akan datang. Oleh itu setiap ADUN dan PPD hendaklah menjaga hati para pengundi luar. Apabila mereka sanggup datang secara sukarela ke majlis anjuran kerajaan negeri, ini bermakna mereka menerima kepimpinan Razif . Justru itu seharusnya mereka terjemahkan sokongan itu dalam bentuk undi pada PRU akan datang.

Seperti kata kawan saya, Suhaimi orang Negeri Sembilan yang pernah duduk di Kuala Terengganu selama dua tahun semasa beliau kecil, hanya kerajaan Terengganu yang buat majlis buka puasa dengan anak perantau. Syabas Razif dan semua NGO yang terlibat menjayakan program ini.

ZAABA TIDAK SETUJU ISMAIL MEMANGKU UMNO BAHAGIAN PAGOH



KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pagoh, Datuk Zaaba Haji Aman meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan pelantikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed sebagai pemangku jawatan Ketua Umno Bahagian Johor berkuat kuasa semalam selepas MT mengumumkan Muhyiddin dipecat daripada parti.

Katanya, Ismail adalah individu yang berusaha keras untuk mendapatkan tandatangan rakyat Johor untuk Deklarasi Rakyat yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut disokong oleh kebanyakkan pemimpin dari parti pembangkang.

“Umno Johor kena fikir balik nak lantik Timbalan Umno Pagoh sebagai pemangku kerana saya difahamkan beliau (Ismail) dilantik sebagai pemangku sementara tapi kami di Pagoh ini pula berpandangan perkara itu tak wajar berlaku sebab beliau inilah orang yang berjuang habis-habisan untuk mendapat tandatangan deklarasi di Pagoh untuk menolak pimpinan Najib.

“Macam mana pula beliau ni yang nak dilantik sebagaai pemangku?

“Saya cadangkan digantung segera Umno pagoh ataupun diambil alih oleh Umno pusat. Tak ada sebab nak letak Timbalan Ketua sebagai pemangku. Apa moral beliau? Orang Pagoh tak boleh terima,” tegasnya.



 Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Sei Ledang Utara,Umno  yakin Umno Bahagian Pagoh  tidak akan lumpuh walaupun terdapat dakwaan mengatakan hampir 100 Cawangan Umno  akan dibubarkan selepas Ketua Umno Bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari parti.

 Datuk Zaaba  yakin dakwaan tersebut hanyalah cakap-cakap daripada pihak yang menyokong Muhyiddin tetapi beliau percaya tiada cawangan yang akan dibubarkan selepas Muhyiddin dipecat dari parti semalam.

“Itu cuma cakap-cakap. Saya tak fikir begitu. Kalau 100 cawangan itu nak bubar pun saya tak nampak begitu berkesan sebab di Johor sahaja ada beribu Cawangan. Tak ada kesan apa-apa pun kalau ia berlaku.

“Saya tak nampak faktor Muhyiddin itu begitu besar untuk dirisaukan oleh orang-orang Johor. Pada saya Muhyiddin ini perjuangannya tak jelas dan tak ada segan silu bersekongkol dengan pembangkang.

“Saya masih percaya kecewa sikit-sikit tu adalah tetapi saya juga percaya mereka (rakyat Johor) akan tetap bersama dengan Umno juga,” katanya.

Sebelum ini, Zaaba  mendesak pimpinan pusat supaya Muhyiddin dipecat segera daripada parti ekoran daripada tindakan beliau yang dilihat bersekongkol dengan DAP yang menjadi musuh Umno sejak sekian lama semata-mata untuk menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lantaran daripada pemecatan Muhyiddin daripada parti semalam, beliau yakin Umno akan kembali teguh seperti sebelum ini kerana selama ini seluruh ahli Umno berasa tidak selesa dengan sikap Muhyiddin yang menentang prinsip parti.

“Pemecatan itu memang sewajarnya. Itu pun kira dah terlewat dah tu. Sewajarnya beliau dipecat lama dulu kerana telah melanggar peraturan parti dan buat seluruh ahli umno dalam rasa tidak keselesaan,” ujarnya.



Kelmarin, MT Umno memutuskan Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti ekoran daripada tindakan mereka menentang Presiden parti dan dianggap sebagai melanggar peraturan parti.

Manakala keahlian Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Presiden Umno pula digantung sehingga siasatan terhadapnya selesai.