Ahad, April 24, 2016

MB ENGGAN ULAS TARIK BALIK DATO SERI

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman enggan mengulas ketika ditanya mengenai desas-desus penarikan balik darjah kebesaran istana Terengganu yang diberikan kepadanya.

 Beliau hanya mengucapkan ringkas 'terima kasih' dan menaiki kenderaan rasminya apabila diserbu wartawan sebelum meninggalkan Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Senusantara 2016, di Hotel Primula, di sini, sebentar tadi. 

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Osman Muda turut enggan mengulas apabila ditanya mengenai viral perlucutan gelaran itu. 

Sementara itu, blog  catatanzabidi difahamkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin belum mengeluarkan titah rasmi berhubung isu perlucutan itu. Difahamkan juga titah mengenai perlucutan anugerah itu hanya disuarakan secara lisan.

 Ahmad Razif dianugerahkan pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan ulang tahun ke-53 pada 24 April 2015. 

Pagi ini, pada majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016, gelaran Datuk Seri tidak disebut oleh pengacara majlis, sekadar menyebut Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu. Sultan Mizan berangkat dan merasmikan Persidangan Wakaf Senusantara 2016 itu.

 Pada ucapan alu-aluan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hanya menyebut Menteri Besar dan bukannya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman seperti ucapan majlis lain, sebelum ini.

ADENAN PEMIMPIN YANG KURANG BERCAKAP

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kini lebih dikenali sebagai pemimpin yang kurang bercakap tetapi berjaya melaksanakan banyak usaha dalam tempoh hanya dua tahun memimpin negeri itu.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pembangkang yang bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini menabur janji untuk membawa pembaharuan sekiranya menang tetapi Adenan tidak membuat sebarang janji ke arah itu.

"Beliau telah membuktikan bahawa beliau mampu membawa pembaharuan, malah memperkenalkan perubahan dalam tempoh hanya dua tahun mentadbir negeri itu.

"Pada akhirnya, kita akan tahu dalam masa dua minggu ini sama ada rakyat berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh Adenan untuk Sarawak," kata beliau dalam blognya 'sskeruak.blogspot.my' hari ini.

Menurutnya, satu langkah berani yang dilakukan oleh Adenan adalah mengumumkan bahawa masyarakat Cina dari Sarawak bukan pendatang tetapi anak Sarawak yang merupakan isu 'duri dalam daging' dalam politik di semenanjung.

Salleh berkata Adenan juga mengumumkan bahawa beliau mahu meningkatkan martabat rakyat Bumi Kenyalang dengan mengkategorikan setiap etnik mengikut kumpulan penduduk pribumi dan bukan menggabungkan semua di bawah kategori 'lain-lain'.

Adenan juga memansuhkan kutipan cukai tanah dan memperjuangkan kesaksamaan kaum wanita dengan mencadangkan lebih banyak calon wanita dan menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada sekolah-sekolah Cina yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada dana daripada penderma yang murah hati dan dermawan, katanya.

"Bagi menyelesaikan masalah graduan yang menganggur, Adenan melancarkan program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak (GETS). Kesemua ini hanya dalam masa dua tahun yang singkat," katanya.

Beliau berkata rakyat Sarawak tertanya-tanya apa lagi Adenan boleh melakukan dan apa lebih lagi boleh beliau melaksanakan jika diberi mandat lima tahun dan perkara itu menjadi bualan ramai.

Katanya, ke arah mencapai kejayaan, Adenan memahami bahawa beliau perlu memenangi hati dan minda rakyat.

"Inilah apa yang dilakukan oleh Adenan dan ia akan diteruskan...lebih-lebih lagi pembangkang tidak lagi bercakap mengenai soal mengambil alih negeri itu tetapi hanya mahu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak," katanya.

Salleh berkata walaupun hanya dua tahun, Adenan bukan sahaja meletakkan asas yang kukuh tetapi juga mampu menunjukkan hasil dan ini merupakan pencapaian yang cemerlang berdasarkan mana-mana standard.

"Bagi tujuan dan maksud ini, ia menjadikan pilihan raya negeri Sarawak 2016 sesuatu yang bersejarah. Keputusan pilihan raya ini bergantung sepenuhnya terhadap penilaian pengundi terhadap prestasi Adenan sejak dua tahun lepas, sama ada mereka cukup yakin untuk memberi mandat lima tahun lagi kepada pemimpin itu.

"Maklum balas di lapangan menunjukkan bahawa majoriti rakyat Sarawak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat sepanjang dua tahun lalu," katanya.

-- BERNAMA

GHAFAR MERENDAH DIRI DAN LEMBUT HATI - KU LI

MELAKA, 23 April (Bernama) -- Tun Abdul Ghafar Baba dikenang sebagai tokoh politik yang cemerlang dalam generasinya kerana sifatnya yang merendah diri dan lembut hati, kata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.


Tengku Razaleigh, yang juga teman karib kepada bekas timbalan perdana menteri itu berkata senario politik UMNO tidak lagi sama selepas pemergian beliau.

"Walaupun Che Ghafar (Abdul Ghafar) kelihatan jarang senyum beliau tetapi ia tidak mencerminkan sifatnya yang peramah. Sememangnya beliau suka bergurau di kalangan rakan-rakannya. Kebijaksanaan beliau membuktikannya.

"Beliau mencerminkan kegigihan berpolitik dan contoh aktivis urat saraf UMNO) dalam tahun-tahun 1980-an, " kata beliau.

Tengku Razaleigh berkata demikian semasa berucap pada majlis bacaan tahlil dan doa selamat sempena 10 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit di sini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, presiden dewan negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Menteri Wilayah Persekutua Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dan anak lelaki Abdul Ghafar, Mohd Tamrin Abdul Ghafar.

Tengku Razaleigh berkata satu daripada sifat Abdul Ghafar ialah kelembutan hatinya dan sentiasa peka terhadap masyarakat di sekelilingnya terutama mereka yang dekat di hatinya.

"Che Ghafar sayangkan Tun Razak (bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein) dan percaya Tun Razak akan memimpin negara ke arah mencapai banyak kejayaan, apabila saya memberitahunya bahawa Tun Razak telah meninggal dunia, beliau menangis seperti budak kecil dan berkata "apa nak jadi kepada kita ini" dan ini menunjukkan kepercayaanya kepada Tun Razak," kata beliau.

Kali pertama beliau bertemu Abdul Ghafar ialah pada 1962 semasa kedua-dua mereka berjuang untuk UMNO pada pilihan raya kecil Rantau Panjang. Abdul Ghafar berusia 37 tahun ketika itu sementara Tengku Razaleigh baru berusia 25 tahun.

"Pada suatu malam kami tidak dapat pulang ke Rantau Panjang kerana ahli politik pembangkang telah merobohkan jambatan yang sepatutnya kami lalui, jadi kami terpaksa berjalan kaki di landasan kereta api menggunakan lampu suluh, kami mula berbual dan dari situlah bermulanya persahabatan antara kami berdua," kata beliau.

Sementara itu,Mohd Tamrin ketika berucap pada majlis itu berterima kasih kepada semua pemimpin yang telah menjadi sahabat dan rakan seperjuangan kepada ayahanda beliau.

-- BERNAMA