Jumaat, Februari 27, 2009

SPRM KENA SIASAT NAIB CANSELOR UDM

Kakitangan
Universiti Darul Iman Malaysia
Kampus KUSZA
Gong Badak
8 Februari 2009
Pengerusi
Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu
109 Taman Desa Pusu 3
Jalan Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu
Terengganu.

Yang Berhormat Dato’,

LUAHAN HATI KAKITANGAN UDM TERHADAP SALAH LAKU PIHAK PENGURUSAN UDM.

Dengan hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

2. Silap laku pihak pengurusan tertinggi UDM adalah seperti berikut;
i. Dato’ Naib Canselor telah memaksa supaya cek pembayaran dibuat atas nama beliau bagi pembelian sebuah kereta VIVA melebihi harga kereta tersebut. Pembelian tersebut adalah dibawah skim pinjaman kenderaan beliau dengan UDM.
ii. Dato’ Naib Canselor telah memaksa bahagian pengambilan pelajar UDM untuk mendaftarkan anak saudara isterinya sebagai pelajar di Fakulti Pertanian dan Bioteknologi walaupun tiada pengambilan pelajar baru pada Sem II Sesi 2008/2009 diambil sesuai dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi. Pelajar ini telah berdaftar di UDM pada 30 Disember 2008 walaupun tidak mencukupi syarat kemasukan keperingkat ijazah sarjana muda seperti tidak ada kelayakan MUET, dan hanya bersijil SPM tanpa sijil matrikulasi ataupun STPM serta diploma tetapi dibenarkan untuk mengambil memasuki jurusan Sarjana Muda Teknologi Makanan. Anak saudara isterinya menjadi pelajar tunggal untuk semester ini dan pensyarah diwajibkan pengajar seorang pelajar sahaja. Pegawai gred N48 yang enggan meluluskan pengambilan anak saudaranya telah ditukarkan dari Bahagian Pengambilan Akademik ke Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan.
iii. Dato’ Naib Canselor juga telah menukar seorang kakitangan bahagian pembangunan (En. Muslim) ke bahagian perpustakaan kerana pegawai tersebut telah membuat laporan prestasi kerja yang tidak baik terhadap seorang kontraktor yang Dato Naib Canselor kemukakan.
iv. Dato Naib Canselor tidak membenarkan kakitangan yang ingin berjumpa walaupun beberapa kali membuat temujanji.
v. Pembelian komputer yang melebihi seratus buah yang berjumlah ratusan ribu tidak melalui tender seperti yang sepatutnya tetapi terus kepada pembekal komputer yang merupakan sepupu Dato’ Naib Canselor. Jenis komputer yang sama boleh didapati dengan harga yang lebih murah sekiranya melalui proses tender.



vi. Setiap kali program yang melibatkan penggunaan hotel di luar kawasan, hotel yang dipilih adalah di Villa Danialla Beach Resort, Jalan Tok Bali, Kelantan yang dipunyai oleh sepupu Dato’ Naib Canselor yang juga merupakan pembekal komputer di perenggan v di atas walaupun tempahan telah dibuat ditempat lain (surat dikepilkan).
vii. Pembinaan 3 buah bangunan untuk pusat teknologi maklumat, bangunan akademik dan pengubahsuaian bangunan Khadijah di Kampus KUSZA diberikan kepada perunding yang merupakan saudara Dato’ Naib Canselor.
viii. Pengubahsuaian UDM Kampus Kota yang menelan belanja yang banyak dibuat tidak melalui tatacara Jawatankuasa Tender.
ix. Program MANAGEMENT DEVELOPMENT WORKSHOP di Sungkai, Perak yang menelan belanja melebihi RM1 juta. (melebihi RM50,000 X 18 kumpulan) telah diberikan kepada PUNCAK LESTARI SDN BHD. Apakah justifikasi yang diberikan untuk melantik syarikat ini mengendalikan program yang melibatkan peruntukan yang besar begini.



x. Pendaftar yang pencen telah dilantik balik yang berstatus kontrak tidak menjalankan tugas untuk kemajuan kakitangan tetapi membawa masuk anak-anak saudara ke UDM. Ada di antara kakitangan di UDM mempunyai adik beradik dan ipar seramai 8 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan pensyarah-pensyarah.
xi. Kakitangan KUSZA yang bertaraf kontrak (ada yang berkhidmat melebihi 20 tahun) tidak disambung kontrak dan diberhentikan.
xii. Kakitangan UDM yang sebelum ini adalah kakitangan KUSZA tidak diberi tempat yang sepatutnya. Contoh pegawai yang bergred 52 dan 48 ditukarkan ke fakulti yang sepatutnya pegawai-pegawai ini menerajui pengurusan di unit-unit seperti Bahagian Pembangunan Organisasi dan Pentadbiran , Timbalan Pendaftar dan Bahagian Pengurusan Akademik.
xiii. Ini bukan surat layang. Sila siasat.

3. Diharap pihak YB Dato’ dapat mengambil serius perkara ini.

Sekian. Terima kasih

Yang benar,

Kakitangan UDM

(dipetik dari mampat.blogspot.com)

KHAIRY CABAR KARPAL KEMUKA BUKTI


Pemuda Umno semalam mengecam dan mengutuk tuduhan tanpa bukti Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa pergerakan itu menghantar dua peluru bertujuan mengugutnya serta memberi tempoh 24 jam untuk peguam itu membuktikan dakwaannya.

Sambil menyifatkan perkara itu tuduhan liar, gila dan berniat jahat, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mencabar Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengemukakan bukti.

"Karpal penakut kerana membuat kenyataan itu dengan berselindung di sebalik kekebalan dalam Dewan Rakyat. Tuduhan itu berat serta mencabar maruah dan integriti Pemuda Umno, sekali gus membangkitkan kemarahan 700,000 ahli dari seluruh negara.

"Jika beliau gagal menunjukkan bukti dalam tempoh 24 jam, secara automatik rakyat boleh membuat kesimpulan Karpal penipu yang ketandusan modal dan hilang kredibiliti serta kewarasan.

"Kami memintanya memohon maaf kerana manusia seperti beliau tidak reti (faham) makna taubat dan mengaku salah," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam. Hadir sama lebih 30 ahli Pemuda Umno seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.

BERANINYA IR. ZIN


Beberapa wakil rakyat malahan seorang timbalan menteri terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuh raya bermula 1 Mac ini.

Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

"Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang- Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) akan dinaikkan akan dinaikkan antara 0.68 sen dan 50 sen.

Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) tidak menafikan merasai bebanan kenaikan tol biarpun memahami akan perjanjian yang dibuat kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya.

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya.

Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, berkata beliau faham terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.

"Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong turut melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman kenaikan itu dan meminta kerajaan menelitinya semula.

"Kita masih ada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, saya harap perkara ini dikaji semula bagi meringankan beban pengguna jalan," katanya.

Wee turut merayu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan yang akan membentangkan mini bajet pada 10 Mac ini agar memikirkan semula kenaikan kadar tol itu.

Bercakap tentang tol, beraninya Menteri Kerjaraya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed membuat keputusan menjelang pemilihan UMNO Mac depan. Risikonya mungkin beliau mendapat undi yang kurang jika para perwakilan marah dengan kenaikan tol tersebut.

Walaupun beliau mendapat pencalonan kedua tertinggi dengan 143 pencalonan, tetapi belum tentu beliau dapat undi yang selesa di kalangan 25 orang pemenang kelak. Biasanya menteri buat pengumuman begini selepas pemilihan UMNO Mac depan, tetapi Ir. Zin ternyata seorang menteri yang berani.