Isnin, Jun 07, 2010

SYABAS KEPADA PEWARTA


Tahniah kepada Persatuan Wartawan Terengganu (PEWARTA) yang telah berjaya mengadakan Anugerah Malam Wartawan di kediaman Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Kuala Terengganu malam tadi. Anugerah pertama telah diadakan pada tahun 2004.

Pada tahun 2006, Pewarta cuba mendapatkan peruntukan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh untuk mengadakan malam anugerah kali kedua tetapi pejabat MB tidak berminat melayani surat Pewarta itu. Majlis yang sepatutnya diadakan dua tahun sekali itu sekali lagi gagal diadakan pada tahun 2008 kerana MB mengiktiraf Kawat (Kesatuan Wartawan Terengganu)dan menganaktirikan Pewarta.

Di bawah pemerintahan MB baru, Pewarta telah berjaya mendapatkan peruntukan untuk meneruskan anugerah buat kali kedua. Malam tadi Haji Endut Haji Ali, Haji Mohamad Jusoh, Wahba dan Wan Ahmad Ismail telah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan 2010. Tahniah buat mereka. Cuma saya rasa kali ini bila nak diberi anugerah janganlah beri kepada mereka yang memegang jawatan dalam Pewarta. Haji Mohamad Jusoh(Timbalan Presiden Pewarta) dan Wan Ahmad Ismail (Ahli jawatankuasa Pewarta) bukan tidak layak mendapat anugerah, tetapi sepatutnya beri anugerah kepada mereka yang tidak berjawatan dalam Pewarta.

Sebagai bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Wartawan Melayu (PWM) cawangan Terengganu, saya menyokong usaha Pewarta mengumpulkan bekas wartawan, sasterawan yang berasal dari Terengganu berada dalam satu persatuan seperti Pewarta kerana Kawat hanya membuka keahlian kepada mereka yang bertugas sebagai wartawan sahaja.

Usaha yang dilakukan oleh Pewarta amat murni dan dalam ucapannya Presiden Pewarta mencadangkan supaya ditubuhkan Yayasan Wartawan untuk menjaga kebajikan wartawan dan bekas wartawan bukan sahaja di Terengganu malah di sleuruh Malaysia. Pewarta malam tadi turut menobatkan Datuk Ahmad Said sebagai pemenang anugerah khas Presiden 2010 dan Datuk Musa Federal Malay sebagai tokoh masyarakat Pewarta 2010.

Pewarta dianaktirikan oleh bekas MB dari tahun 2006-2008. Oleh itu langkah Ahmad Said mengiktiraf semula peranan seramai 70 orang ahli Pewarta amatlah disanjungi. Semoga hubungan yang sudah terjalin di antara Pewarta dengan kerajaan negeri terus berkekalan.