Khamis, Julai 28, 2016

APA AGENDA MAT SAID AMBIL ALIH PERKASA TERENGGANU?

Tahniah kepada Datuk Seri Ahmad Said yang dilantik sebagai Pengerusi Perkasa Terengganu. Ramai terkejut tiba tiba ADUN Kijal itu terlibat dengan Perkasa pula. Dengan Umno Bahagian Kemaman pun dia tak peduli, tiba tiba nak jaga Perkasa pulak.

Apa motif beliau? Perkasa selama ini dianggap sebagai NGO rasis oleh parti pembangkang dan dapatkah Ahmad Said memberi masa kepada Perkasa Terengganu? Adakah Perkasa akan dijadikan parti politik?

Kita semua sedia maklum bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad banyak membantu Perkasa. Walaupun Datuk Ibrahim Ali menafikan bahawa Perkasa akan dijadikan parti politik, tetapi cakap cakap orang politik tidak boleh dipercayai. Hari ini nafi, esok jadi.

Apa yang kita nampak seperti mana kata bekas PM itu bahawa dia akan menubuhkan parti baru, kemungkinan Perkasa akan dinaiktarafkan dari NGO kepada parti politik. Jika benar Perkasa jadi parti politik kumpulan Dr Mahathir, dapatkah pembangkang seperti DAP menerima Perkasa?

Ketika majlis sambutan hari raya Perkasa di Kuala Lumpur baru baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut hadiri majlis tersebut menguatkan lagi spekulasi bahawaa apabila ROS meluluskan permohonan naik taraf Perkasa, maka Ibrahim Ali akan menyerahkan jawatan Presiden Perkasa kepada Muhyiddin Yasin.

Pada hari Ahmad Said menerima jawatan Pengerusi Perkasa, beliau menolak tawaran dilantik sebagai Timbalan Exco yang diumumkan oleh MB, Ahmad Razif Abdul Rahman. Kononnya jawatan itu menghina beliau kerana dari MB jadi Timbalan Exco.

Kita harus ingat Ahmad Said sendiri pernah tawarkan jawatan Exco kepada Datuk Seri Idris Jusoh apabila bekas MB itu tidak diterima oleh pihak istana. Idris menolaknya tetapi Ahmad Razif tidak menawarkan jawatan Exco kepada Ahmad Said kerana pertukaran Exco memerlukan perkenan istana. Sebaliknya MB mengekalkan semua Exco yang dilantik Ahmad Said selepas PRU13.

Maka Ahmad Razif tidak mahu menyinggung perasaan mana mana Exco yang kena gugurkan jika lantik Ahmad Said sebagai Exco sebaliknya dengan melantik ADUN Kijal itu sebagai Timbalan Exco tidak menggugurkan kedudukan ADUN yang lain.\

Sepatutnya Ahmad Said terima jawatan Timbalan Exco walaupun ia dianggap sebagai down grade kalau benar beliau ada semangat untuk mengukuhkan Umno Terengganu. Ahmad Said kena ikut jiwa besar Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang menerima jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah apabila beliau ditamatkan sebagai Ketua Menteri Sabah. Malah Tan Sri Pairin Kitingan pun dari seorang Ketua Menteri menerima jawatan Menteri Kerjaraya Sabah.

Pada tahun 1995, Tan Sri Dr Yusof Noor terima jawatan Exco Agama apabila dia jadi ADUN Kg Raja wa;laupun pernah jadi Menteri Pembangunan Usahawan dan ahli majlis tertinggi Umno yang dapat undi tertinggi. Oleh itu tidak timbul soal down grade jika kita ikhlas berjuang untuk parti.

Bercakap tentang Perkasa Terengganu, ramai ahli Perkasa yang tidak menerima Ahmad Said sebagai Pengerusi Perkasa Terengganu akan keluar dari Perkasa beramai-ramai. Mereka tidak mahu melihat Ahmad Said menggunakan Perkasa untuk kepentingan peribadinya.

Dalam pada itu saya ingin mengulas kenyataan ADUN Ajil, Ghazali Taib yang mengatakan Ketua Umno bahagian Dungun, Datuk Din Adam dan Pengarah UKOM, Datuk Rosol Wahid sebagai bodoh kerana membidas keengganan Ahmad Said menerima jawatan Timbalan Exco.

Din Adam dan Rosol Wahid berhak membuat komen kerana mereka mahu melihat Umno Terengganu tenang dan stabil. Sejak Ahmad Razif jadi MB dua tahun lepas, politik terengganu asyik berkocak yang menyebabkan rakyat yang rugi gara gara tindakan Ahmad said. Jika benar Ahmad said sayang kepada Umno, sepatutnya beliau terima jawatan Timbalan Exco.