Khamis, Mac 05, 2009

KAMI HANYA BERI AMARAN


Datuk Kadar Shah menegaskan bahawa tindakannya bersama Datuk Mazlan Datuk Harun adalah memberi amaran kepada pucuk pimpinan UMNO supaya mengambil tindakan segera kepada aduan salah laku politik.

"Kami belum lagi membuat injunksi mahkamah. Cuma beri amaran sahaja, " katanya ketika dihubungi di Australia pagi ini mengulas kenyataan calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Kadar, mereka berbuat demikian untuk membersihkan UMNO dari gejala politik wang.

Kata Muhyiddin, tindakan dua ahli UMNO, Kadar Ninam Shah dan Mazlan Harun mahu memohon injunksi di mahkamah bagi menghalang Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada 24 hingga 28 Mac ini, akan mencemarkan nama baik parti.

Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin menegaskan, adalah tidak wajar Ketua UMNO Cawangan Bandar Muar dan ahli UMNO Sri Dagang, Kota Damansara itu mengheret parti ke Mahkamah.

“Tindakan mengheret UMNO ke mahkamah tidak wajar walaupun mereka menuntut disegerakan tindakan terhadap kes-kes (politik wang) yang telah dilaporkan kepada Lembaga Disiplin,” katanya semalam.

Kadar dan Mazlan semalam dalam sidang akhbar menegaskan akan mengambil tindakan memohon injunksi daripada mahkamah sekiranya pucuk pimpinan UMNO tidak menyelesaikan kes salah laku dan politik wang sebelum pemilihan UMNO.

Kedua-duanya kesal kerana tiada tindakan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Disiplin UMNO terhadap laporan mereka berkaitan isu politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menegaskan, UMNO sedang berhadapan dengan banyak ujian dan cabaran yang getir.

Tegasnya, setiap ahli parti harus bertindak dengan lebih bijaksana untuk membantu pimpinan menangani masalah yang lebih utama.

“Mengikut peraturan parti, tindakan sebegini ditegah kerana ia mencemar nama baik UMNO dan kalau injunksi itu dilakukan juga maka keahlian mereka dalam parti terlucut secara automatik,” katanya.

IBRAHIM ALI CADANG ISYTIHAR DARURAT


Isytihar saja darurat di Perak!

Demikian saranan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengisytiharkan darurat di Perak kerana keadaan semakin tidak menentu kebelakangan ini.

Menurut Ibrahim, tindakan pakatan pembangkang memprovokasi dan mengkucar-kacirkan keadaan sudah sampai kepada keperluan mengisytiharkan darurat di negeri itu.

Beliau berkata, tindakan pakatan pembangkang seolah-olah mencari simpati tetapi menyerlahkan lagi kebodohan mereka tentang undang-undang.

“Keadaan semakin bercelaru dan jika tiada sebarang tindakan paling tegas diambil maka hari-hari kita akan dimomokkan dengan cerita-cerita sebegini,” katanya semalam.

Beliau mengulas tindakan pakatan pembangkang di Perak yang terus menerus menimbulkan kekecohan dan kekacauan di negeri itu.

Menurut Ibrahim, kerajaan perlu bertindak tegas terhadap kumpulan yang menimbulkan kekacauan kerana ia menjejaskan imej negara di mata dunia.

Dengan teknologi sekarang, katanya, apa saja berlaku ia disebarkan melalui Internet sekali gus menggambarkan keadaan negara dalam keadaan tidak stabil.

“Susah untuk kita puaskan hati semua orang, apa yang perlu kita lakukan ketika ini ialah hormat dan patuh kepada undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tindakan pakatan pembangkang itu cuba menimbulkan huru-hara selepas mendapati mereka tiada lagi jalan untuk merampas semula kerajaan negeri.

Katanya, orang ramai akan terus bersimpati dan sanggup melanggar undang-undang kononnya untuk memberi sokongan kepada mereka.

“Tindakan mereka (pakatan pembangkang) terlalu biadap dan kurang ajar lebih-lebih lagi terhadap Sultan Perak dan undang-undang, tindakan tegas perlu diambil terhadap pengacau-pengacau ini,” katanya.

Muhammad percaya strategi pakatan pembangkang ketika ini ialah cuba memanipulasi keadaan agar rakyat terus menyokong dan menyasarkan tiga pilihan raya kecil untuk kepentingan politik mereka.

Katanya, rakyat Perak khususnya perlu sedar bahawa pakatan pembangkang sudah tidak lagi berkuasa dan perlu kembali kepada peraturan dan undang-undang sebagaimana diakui oleh Sultan Perak.