Selasa, Jun 11, 2013

SYABAS ADNAN YAACOB

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berpendapat jawatan presiden dan timbalan presiden Umno patut dipertandingkan dalam pemilihan parti akhir tahun ini memandangkan ia sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan bersifat keterbukaan kepada ahlinya. Katanya sebagai parti demokratik dan bersifat inklusif, apa saja jawatan dalam parti perlu melalui proses pertandingan. "Saya tidak bersetuju dengan kenyataan untuk mengongkong (jawatan presiden dan timbalan presiden tidak perlu dipertandingkan)... pada saya biarlah terbuka, apa nak tutup (pertandingan jawatan tertentu), tiada sebab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Heboh TV3 di Kuantan hari ini. Beliau bagaimanapun tetap memberikan sokongan padu kepada kedua-dua pemimpin tertinggi parti iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Kita akan sentiasa memberi sokongan kepada mereka dan perdana menteri sendiri menyatakan bahawa mana boleh jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, ketua Pemuda dan Wanita tidak dipertandingkan. "Kalau begitu semua (ahli) Majlis Tertinggi jangan bertanding dan bawa kepada bahagian sahaja, maka kenyataan-kenyataan seperti itu hanya menunjukkan kita bersifat autokratik," katanya. Adnan berkata sebelum ini Najib dan Muhyiddin juga tidak pernah berkata bahawa jawatan yang dipegang mereka itu tidak boleh ditandingi. "Presiden dan timbalan presiden sendiri tidak menyatakan mereka tidak mahu ditandingi dan jelas kenyataan sedemikian hanya menunjukkan Umno sebuah parti yang eksklusif. "Saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan tiada alasan ia tidak dipertandingkan, saya berpendapat sesiapa sahaja yang mahu menjadi calon dipersilakan, menang atau tidak itu cerita lain," katanya. Sebelum ini, badan perhubungan Umno Negeri Sembilan mencadangkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan Umno tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.