Jumaat, November 13, 2015

BUKANKAH SPRM SUDAH BERSIHKAN ISU DERMA RM2.6 BILLION?

Kita puji kesediaan PM kita, Najib Razak memberi kerjasama kepada SPRM isu derma RM2.6 b
illion. Yang peliknya dahulu SPRM sudah bersihkan nama PM mengenai isu derma RM2.6 billion itu dengan mengesahkan bahawa ia adalah derma dari putera Arab. Kenapa pula SPRM mahu memanggil semula PM sedangkan SPRM berkata ia sudah melihat surat dari penderma tersebut.

PM berkata beliau akan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata Peguam Negara,  Mohamed Apandi Ali telah memaklumkan bahawa beliau diminta memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.

"Saya akan berbuat demikian dan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung sumbangan dana politik tersebut.

"Saya akan memberi kerjasama dan keterangan kepada SPRM agar siasatan ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya sememangnya menjadi hasrat beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes itu memandangkan ia telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Sementara itu SPRM  akan mengambil keterangan daripada PM dalam masa terdekat berhubung siasatan mengenai SRC International dan dana RM2.6 bilion yang diterima beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM,  Abu Kassim Mohamed berkata pihaknya sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Perdana Menteri sudah bersetuju untuk diambil keterangan.

"SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Najib) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan siasatan," katanya.



Abu Kassim berkata SPRM menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat badan itu boleh mengakses kepada dua pengarah SRC International iaitu saksi penting yang masih berada di luar negara dan diambil keterangan mereka.

"Pun begitu ia tidak menghalang SPRM daripada memanggil Najib untuk diambil keterangan," kata Abu Kassim.

Menurutnya SPRM menjalankan siasatan merangkumi kesemua aspek dan pegawai SPRM sedang bekerja keras untuk menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh masa yang disasarkan.

Mengenai siasatan dana RM2.6 bilion, SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara dan ini memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA), kata beliau.

"SPRM memerlukan masa untuk mendapatkan kerjsama beberapa pihak di luar negara," kata Abu Kassim.

Beliau berkata sementara SPRM berhasrat menyelesaikan siasatan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan segera, namun badan itu tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi penting.

SPRM akan memaklumkan status siasatan dari masa ke semasa kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, katanya.

Beliau seterusnya berkata sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada awal Oktober.

"SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009," katanya.