Khamis, Ogos 11, 2016

MUSA HITAM RELA TAK JADI PM KERANA PRINSIP

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Tun Musa Hitam, yang merupakan produk 'impian Malaysia', berdiri teguh laksana gunung dan membayar harga yang tinggi kerana mempertahankan pendiriannya apabila terpaksa melepaskan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, Musa, 82, yang berada "hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi perdana menteri Malaysia kelima", berlalu meninggalkan peluang itu.

"Tun Musa berpegang teguh dengan prinsipnya dan beliau berbuat demikian dengan penuh berhemah. Beliau melepaskan jawatan timbalan perdana menteri kerana tidak bersetuju dengan arah tuju dasar yang bercanggah dengan prinsip yang menjadi pegangannya," titah baginda ketika melancarkan buku tulisan Musa berjudul 'Frankly Speaking', di sini hari ini.


Sultan Nazrin Shah bertitah, sebagai anak kepada seorang pembaca meter dan satu-satunya dalam kalangan 10 adik-beradik yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Musa adalah tokoh yang dinanti-nanti, dan beliau sendiri telah menunggu sejak sekian lama, dan kalaulah beliau tidak mengetepikan prinsip yang tunjang perjuangannya, Musa sudah tentu akan dapat menyandang jawatan politik tertinggi di negara ini.

"Sebaliknya, beliau berpegang teguh dengan apa yang diyakininya dan berundur," titah baginda mengenai tindakan Musa melepaskan jawatan timbalan perdana menteri pada 16 Mac 1986 setelah menyandangnya sejak 18 Julai 1981. Musa baru berusia 52 tahun ketika itu.

Sultan Nazrin Shah bertitah: "Ujian sebenar bagi seseorang ialah apabila dia perlu membuat pendirian dan menyuarakan prinsipnya."

Titah baginda, Musa begitu menonjol daripada segelintir anak watan yang meninggalkan jejak yang sukar untuk dipadam di tanah air yang amat dicintainya.

"Dengan mengabadikan pengalaman beliau dalam bentuk tulisan, Tun Musa membawa kita menyusuri suatu sejarah yang kebanyakan daripada kita telah melupainya dan barangkali juga tidak menyedarinya. Beliau berpendapat bahawa di samping kejayaan fizikal yang kita capai sebagai sebuah negara, cabaran - daripada tempoh sebelum merdeka - tetap kekal sama, walaupun mungkin tidak lebih hebatnya," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, Musa menjadi pemimpin pelajar pada lewat 1940-an dan 1950-an ketika Tanah Melayu memperjuangkan kemerdekaannya dan berdepan dengan ancaman menggerunkan akibat pemberontakan komunis.

Beliau dilantik sebagai penolong pegawai daerah di Kluang, Johor selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1959, dan pada 1970-an, beliau menyertai Kabinet Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein.

"Pengalaman awal ini amat berguna bagi beliau...beliau perlu menangani dan menghapuskan perasaan tidak puas hati yang begitu meluas serta bantahan daripada pekebun kecil dan pekerja dalam industri getah yang terbelenggu oleh kejatuhan harga, di samping memadam api kemarahan pelajar yang begitu bersemarak di Universiti Sains Malaysia, tempat mereka mengadakan tunjuk perasaan mengenai keadaan yang mengancam periuk nasi penduduk Baling," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, pendekatan yang digunakan Musa untuk menyelesaikan masalah, meletakkan beliau dalam keadaan yang cukup yakin apabila beliau berucap kepada hadirin yang dibakar api kemarahan kerana beliau memahami masalah mereka.

"Kejujuran beliau berjaya menenangkan para penunjuk perasaan dan tindakan beliau mengotakan janjinya selepas itu menjadikan Musa terkenal sebagai manusia yang berpegang pada kata-katanya.

"Mungkin, kejayaan beliau dalam menangani bantahan itu - lebih dikenali sebagai demonstrasi Baling - menonjolkan kewibawaan beliau di mata para pemimpin negara ini dan merintis jalan baginya untuk menyandang jawatan lebih tinggi," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, pengalaman Musa dalam menangani puak pelampau dan cauvanis daripada segenap spektrum politik, jiwanya yang terseksa kerana rusuhan 13 Mei serta pemerhatian beliau bahawa "bahaya terus melingkari Malaysia" merupakan pandangan yang semua pemimpin dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi ahli politik, perlu hayati secara serius.

"Sesungguhnya, 'Frankly Speaking' adalah sebuah buku yang begitu mengagumkan dan mengandungi begitu banyak mutiara berhikmah daripada pengalaman Tun Musa, untuk dimanfaatkan," titah baginda.

-- BERNAMA

SALLEH BIMBANG PENJAJAHAN BAHARU DALAM ERA INTERNET

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyuarakan kebimbangan tentang kemunculan penjajahan baharu dalam era Internet iaitu berkaitan kawalan terhadap pemikiran masyarakat.

Beliau berkata media - dan bank - adalah sangat penting kepada apa yang boleh dianggap sebagai bentuk baharu penjajahan.

"Ia pada dasarnya penjajahan minda. Ia berkesan 100 tahun yang lalu apabila barat memulakan tindakan mengawal sesebuah negara dengan menentukan bagaimana rakyatnya berfikir.


"...dan pada masa kini apa yang diperlukan adalah media, tidak terkecuali media sosial, untuk menjatuhkan negara jika strategi yang betul diterapkan," kata beliau dalam blog sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata demikian dalam posting bertajuk 'Penjajahan Baharu Dalam Era Internet' yang berkisar tentang sebab dunia dan negara seperti Malaysia berdepan bahaya dijajah serta bentuk penjajahan itu.

Salleh menarik perhatian bahawa pada masa lalu, selama lebih 2,000 tahun, penjajahan seringkali dilakukan menerusi campurtangan tentera atau pendudukan, bagaimanapun kini penjajahan seperti itu tidak lagi terpakai.

"Kuasa-kuasa besar perlu menjajah negara seperti Malaysia melalui penguasaan ekonomi dan melalui apa yang disebut secara kasar sebagai 'kawalan minda'.

"Anda perlu menentukan pendapat umum dan memandu pemikiran rakyat. Dan dengan populariti Internet, perkara ini tidak lagi mustahil," kata Salleh.

Mengimbas semula sejarah, Salleh berkata Darurat di Tanah Melayu, Perang Korea, Perang Vietnam dan konflik lain menunjukkan bahawa kekuatan ketenteraan tidak lagi memadai kerana untuk menguasai sesebuah negara memerlukan lebih daripada sekadar senjata.

Salleh merujuk kepada fakta bahawa Amerika Syarikat menggunakan tentera dalam Perang Korea dan Vietnam namun tidak begitu berjaya manakala British pula berjaya dalam perjuangan untuk memenangi hati dan minda rakyat.

"...dan itulah sebabnya Malaysia bukan negara komunis hari ini, satu daripada beberapa buah negara yang menang dalam perang menentang komunis," katanya.

Malaya, kata beliau, adalah terlalu penting kepada British dan mereka tidak mampu untuk kehilangan tanah jajahan yang amat berharga ini.

"Britain telah hampir bankrap disebabkan Perang Dunia II dan Malaya menyumbang dua pertiga daripada ekonomi British. Tanpa Malaya, Britain akan mengambil masa yang lebih panjang untuk kembali pulih," katanya.

-- BERNAMA

BN SABAH AKAN BINCANG AGIH 13 KERUSI TAMBAHAN

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah akan berbincang secara muafakat pengagihan 13 kerusi tambahan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakannya, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata susulan sidang Dewan Undangan Negeri Sabah semalam meluluskan cadangan 13 kerusi tambahan itu, SPR yang akan menentukan kawasan berkenaan.


"Ini adalah atas budi bicara SPR di mana 13 kawasan (tambahan) itu nanti. Mereka (SPR) yang akan menentukannya.

"Kita (BN Sabah) akan berbincang secara muafakat antara parti komponen (berkaitan pengagihan kerusi)," kata Musa yang juga pengerusi BN negeri kepada pemberita selepas persidangan DUN Sabah, di sini hari ini.

Ketua menteri turut berpuas hati dengan perjalanan persidangan DUN sejak Isnin lepas, apabila lebih dua pertiga anggotanya, termasuk beberapa anggota pembangkang, bersetuju dengan cadangan untuk menambah 13 lagi kerusi dalam DUN Sabah.

"Sidang DUN pada kali ini amat bersejarah kerana kita telah meluluskan cadangan penambahan kerusi DUN Sabah daripada 60 sekarang kepada 73.

"Fokus kita adalah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan dan menyeluruh kepada rakyat di seluruh pelusuk negeri," katanya.

Musa juga berkata kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan menerima pandangan serta cadangan yang terbaik untuk rakyat di Sabah.

"Cadangan yang baik, termasuk daripada pembangkang, wajar disokong untuk dilaksanakan demi manfaat rakyat.

"Suka saya tegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memperjuangkan, memelihara dan menjaga kepentingan hak rakyat dan negeri Sabah pada setiap masa," katanya.

-- BERNAMA