KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Tun Musa Hitam, yang merupakan produk 'impian Malaysia', berdiri teguh laksana gunung dan membayar harga yang tinggi kerana mempertahankan pendiriannya apabila terpaksa melepaskan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, Musa, 82, yang berada "hanya selangkah sahaja lagi untuk menjadi perdana menteri Malaysia kelima", berlalu meninggalkan peluang itu.
"Tun Musa berpegang teguh dengan prinsipnya dan beliau berbuat demikian dengan penuh berhemah. Beliau melepaskan jawatan timbalan perdana menteri kerana tidak bersetuju dengan arah tuju dasar yang bercanggah dengan prinsip yang menjadi pegangannya," titah baginda ketika melancarkan buku tulisan Musa berjudul 'Frankly Speaking', di sini hari ini.
Sultan Nazrin Shah bertitah, sebagai anak kepada seorang pembaca meter dan satu-satunya dalam kalangan 10 adik-beradik yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, Musa adalah tokoh yang dinanti-nanti, dan beliau sendiri telah menunggu sejak sekian lama, dan kalaulah beliau tidak mengetepikan prinsip yang tunjang perjuangannya, Musa sudah tentu akan dapat menyandang jawatan politik tertinggi di negara ini.
"Sebaliknya, beliau berpegang teguh dengan apa yang diyakininya dan berundur," titah baginda mengenai tindakan Musa melepaskan jawatan timbalan perdana menteri pada 16 Mac 1986 setelah menyandangnya sejak 18 Julai 1981. Musa baru berusia 52 tahun ketika itu.
Sultan Nazrin Shah bertitah: "Ujian sebenar bagi seseorang ialah apabila dia perlu membuat pendirian dan menyuarakan prinsipnya."
Titah baginda, Musa begitu menonjol daripada segelintir anak watan yang meninggalkan jejak yang sukar untuk dipadam di tanah air yang amat dicintainya.
"Dengan mengabadikan pengalaman beliau dalam bentuk tulisan, Tun Musa membawa kita menyusuri suatu sejarah yang kebanyakan daripada kita telah melupainya dan barangkali juga tidak menyedarinya. Beliau berpendapat bahawa di samping kejayaan fizikal yang kita capai sebagai sebuah negara, cabaran - daripada tempoh sebelum merdeka - tetap kekal sama, walaupun mungkin tidak lebih hebatnya," titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah, Musa menjadi pemimpin pelajar pada lewat 1940-an dan 1950-an ketika Tanah Melayu memperjuangkan kemerdekaannya dan berdepan dengan ancaman menggerunkan akibat pemberontakan komunis.
Beliau dilantik sebagai penolong pegawai daerah di Kluang, Johor selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada 1959, dan pada 1970-an, beliau menyertai Kabinet Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein.
"Pengalaman awal ini amat berguna bagi beliau...beliau perlu menangani dan menghapuskan perasaan tidak puas hati yang begitu meluas serta bantahan daripada pekebun kecil dan pekerja dalam industri getah yang terbelenggu oleh kejatuhan harga, di samping memadam api kemarahan pelajar yang begitu bersemarak di Universiti Sains Malaysia, tempat mereka mengadakan tunjuk perasaan mengenai keadaan yang mengancam periuk nasi penduduk Baling," titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah, pendekatan yang digunakan Musa untuk menyelesaikan masalah, meletakkan beliau dalam keadaan yang cukup yakin apabila beliau berucap kepada hadirin yang dibakar api kemarahan kerana beliau memahami masalah mereka.
"Kejujuran beliau berjaya menenangkan para penunjuk perasaan dan tindakan beliau mengotakan janjinya selepas itu menjadikan Musa terkenal sebagai manusia yang berpegang pada kata-katanya.
"Mungkin, kejayaan beliau dalam menangani bantahan itu - lebih dikenali sebagai demonstrasi Baling - menonjolkan kewibawaan beliau di mata para pemimpin negara ini dan merintis jalan baginya untuk menyandang jawatan lebih tinggi," titah baginda.
Sultan Nazrin Shah bertitah, pengalaman Musa dalam menangani puak pelampau dan cauvanis daripada segenap spektrum politik, jiwanya yang terseksa kerana rusuhan 13 Mei serta pemerhatian beliau bahawa "bahaya terus melingkari Malaysia" merupakan pandangan yang semua pemimpin dan mereka yang bercita-cita untuk menjadi ahli politik, perlu hayati secara serius.
"Sesungguhnya, 'Frankly Speaking' adalah sebuah buku yang begitu mengagumkan dan mengandungi begitu banyak mutiara berhikmah daripada pengalaman Tun Musa, untuk dimanfaatkan," titah baginda.
-- BERNAMA
Memaparkan catatan dengan label rela. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rela. Papar semua catatan
Khamis, Ogos 11, 2016
Khamis, Januari 14, 2016
KAMI RELA MATI KERANA TUN RAZAK, KATA ARSHAD AYUB
Untuk mendapatkan gambaran tentang sikap tekun bekerja yang diwarisi Datuk Seri Najib daripada ayahandanya, bersempena ulang tahun ke-40 kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah, Bernama mendapatkan pandangan bekas pegawai kanan kerajaan, Tan Sri Arshad Ayub.
Arshad, 87, yang berkhidmat selama 10 tahun di bawah Tun Razak sebagai pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM dan kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara atau UiTM), dan kemudian sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara, memulakan temu bual dengan berkata: "Bagi saya dan pegawai kanan kerajaan lain ketika itu, Tun Razak boleh dikatakan bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun".
Sejajar dengan kedudukan Malaysia yang melalui tahun-tahun awal penubuhannya, perkara yang menjadi keutaman Tun Razak ketika itu ialah pembangunan luar bandar dan usaha membasmi kemiskinan, termasuklah penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang beliau ilhamkan, dan sejak itu menjadi agensi paling berjaya di Dunia Ketiga dan amat disanjung tinggi kerana kemampuannya memecahkan tembok kemiskinan di luar bandar.
Felda kemudiannya muncul sebagai pemilik ladang terbesar di dunia, yang terlibat dengan penanaman kelapa sawit dan pengeluaran minyak sawit sebagai tonggak utama menjana pendapatan kukuh bagi berpuluh-puluh ribu penduduk luar bandar. Tanpa Felda, mereka pastinya terpaksa menyara kehidupan dengan pendapatan yang begitu menyedihkan.
Berdasarkan latar belakang demikian, Felda mendapat tempat yang amat dekat di hati Najib, manakala peneroka Felda di bandar dan pusat pertumbuhan baharu di seluruh negara pula sentiasa mendapat perhatian khusus serta keutamaan beliau.
Begitu banyak insentif dan pemberian diberi kepada Felda sejak beliau menjadi pedana menteri dan banyak lagi akan disalurkan pada tahun-tahun akan datang sebaik sahaja harga minyak sawit yang rendah sekarang, kembali meningkat.
Arshad, yang memiliki ijazah dalam pelbagai bidang termasuk kelulusan daripada Kolej Pertanian di Serdang ketika itu, berkata: "Beritahu saya kolam atau tasik mana di negara ini yang Tun Razak tidak pernah lepaskan benih ikan ke dalamnya?
"Pokok sawit mana yang tidak pernah beliau lihat, jalan raya mana yang tidak paernah beliau lawati atau universiti mana yang bukan beliau bina (pada zamannya)?".
Satu lagi kejayaan besar Tun Razak ialah membandarkan kawasan luar bandar dan Arshad menyebut tentang perbandaran yang dibina daripada kawasan hutan seperti Bandar Penawar dan Tenggara di Johor, Jengka di Pahang dan Bandar Ketengah di Terengganu.
Tun Razak juga amat yakin dengan manfaat memberi Bumiputera asas yang kukuh dalam bidang pendidikan sebagai satu cara yang pasti untuk mengatasi kemiskinan serta membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi. Untuk tujuan ini, beliau mewujudkan ITM yang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi yang mempunyai kampus di seluruh negara.
"Sepanjang 10 tahun saya menerajui ITM dan beliau menjadi PM, tidak pernah sekali pun beliau mengeluarkan kata-kata negatif tentang ITM atau cara saya mentadbirnya," kata Arshad, yang diberi kredit sebagai arkitek bagi kejayaan institusi itu, yang kini dikenali sebagai UiTM.
Arshad berkata Tun Razak memberi tumpuan utama terhadap pendidikan dalam bidang profesional, yang menyaksikan fokus diberi terhadap beberapa bidang seperti perakaunan, insurans dan pemasaran, yang tidak ditawarkan universiti lain, dan langkah ini menyebabkan lepasan ITM menjadi rebutan ramai di pasaran pekerjaan.
Bagaimanapun, kebijaksanaan Tun Razak dalam memilih orang yang tepat untuk menjalankan sesuatu tugas istimewa merupakan perkara yang paling mengagumkan Arshad.
"Beliau memilih pemimpin yang tepat untuk mentadbir sesuatu agensi kerana dengan cara ini, mereka akan bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan programnya, bukan untuk Tun Razak, tetapi untuk negara dan rakyat," kata Arshad.
Antara nama yang beliau sebut ialah Raja Tan Sri Alias Muhammad Alias Raja Muhammad Ali yang menerajui Felda selama 35 tahun, dan tokoh tersohor lain seperti Raja Tun Mohar Badiozaman, Tan Sri Ishak Tadin, Tan Sri Taib Andak dan Tan Sri Aziz Yassin.
Kebolehan bukan Melayu seperti Tan Sri Thong Yaw Hong, Tan Sri Chong Hon Nyan, Tan Sri Michael Chen dan Tan Sri Rama Iyer juga menyerlah dalam pasukan Tun Razak.
"Penjawat awam yang menerima amanah daripada beliau memiliki sikap bertanggungjawab yang tinggi dalam memastikan rancangan beliau mencapai kejayaan. Motto kami ketika itu ialah 'ayuh kita bekerja untuk beliau dan ayuh kita jayakan program beliau'. Mungkin, kami juga rela mati kerananya," kata beliau.
Arshad berharap semangat seperti itu akan dihidupkan kembali di bawah pentadbiran anak beliau, Najib.
"Saya mempunyai kenangan manis mengenai Tun Razak. Seperti kata pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama'. Ini amat tepat bagi diri Tun Razak.
"Beliau meninggalkan kesan yang amat besar terhadap kita semua dan negara, hasil daripada usaha beliau hingga ke akhir hayat," kata Arshad.
Sejak mula menyandang jawatan perdana menteri pada 2009, beban tugas yang terpaksa dipikul Datuk Seri Najib Tun Razak amat berat dan menyeksakan berikutan banyak perkara yang perlu ditanganinya bagi mengatasi masalah negara, terutama dalam mengharungi kelembapan ekonomi dunia.
Para pemerhati berpendapat sikap Najib yang amat tekun dalam melaksanakan tanggungjawabnya, adalah diwarisi daripada ayahandanya iaitu perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang meninggal dunia genap 40 tahun lepas pada usia 53 tahun.

Pada Sabtu baru-baru ini, Najib menjalani pembedahan kecil di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membuang ketumbuhan benigna pada tangan beliau.
Dalam kenyataannya, HKL berkata Najib menjalani pembedahan itu sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang sejurus selesai pembedahan.
Bagi kebanyakan pekerja di negara ini, keadaan demikian berkemungkinan besar mendorong mereka memohon cuti sakit, lebih popular disebut sebagai 'MC', tetapi perkara itu tidak sedikit pun terlintas di hati Najib.
Rakyat Malaysia dan pihak yang berminat untuk mengetahui tentang kesihatannya mendapat jawapan berikut daripada

Najib melalui akaun Twitter beliau: "Saya sedang sembuh, terima kasih atas ingatan baik kalian".
Najib juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong yang mendoakan beliau segera sembuh melalui akaun Twitternya.
Ramai rakyat Singapura turut mempamerkan sikap prihatin mereka dan mendoakan agar Najib lekas sembuh melalui tulisan dalam Facebook mereka sambil menyifatkan beliau sebagai "orang Malaysia paling mesra dengan Singapura".
Lee membuka cerita mengenai Najib yang menjalani pembedahan itu kepada 934,996 individu yang "menyukai" (Like) catatan Facebooknya apabila beliau menyatakan kegembiraannya tentang pembedahan itu yang berjalan lancar dan menambah kata: "Berhajat untuk segera berjumpa beliau".
Dalam kalangan pemimpin dunia sekarang, Najib dan Lee mempunyai hubungan yang amat unik dan hasilnya, hubungan dua hala serta hubungan antara rakyat dengan rakyat Malaysia dan Singapura berada pada tahap paling erat dalam sejarah.
Keunikan yang dimaksudkan ialah bapa masing-masing, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew, pernah menjadi perdana menteri pada waktu yang sama dan ini sesuatu yang tidak terdapat pada mana-mana pemimpin dari dua negara yang ada ketika ini.
Ketika mengucapkan segera sembuh kepada Najib, rakyat Singapura juga menasihati beliau supaya tidak terlalu bimbang dan sebaliknya memberi tumpuan terhadap usaha meletakkan Malaysia di landasan betul, di samping menyuarakan harapan mereka agar hubungan antara kedua-dua negara terus diperkukuh dan digerakkan ke hadapan.
Seorang warga Singapura, Joseph Tan, memberi penghormatan yang begitu istimewa kepada Najib apabila beliau menulis: "Pada penilaian saya, jels sekali, beliau adalah PM terbaik bagi Malaysia untuk membina hubungan menang-menang yang memanfaatkan dengan jiran terdekatnya, Singapura.
"Semoga beliau akan berjaya mengurus dan mengatasi cabaran getir terhadap kedudukannya pada tahun-tahun akan datang".
Sesungguhnya, apa yang disuarakan oleh jiran kita adalah sesuatu yang ikhlas kerana mereka dapat melihat betapa sikap tidak mesra bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Singapura menyebabkan hubungan kedua-dua negara berada dalam keadaan 'kadang kala baik, kadang kala tidak', dan Dr Mahathir tidak pernah memberi kredit yang sewajarnya kepada republik itu, walaupun kebanyakan pemimpin dunia lain berbuat demikian.
Sikap Najib yang tekun bekerja sekali lagi dipamerkan apabila pada Isnin, iaitu hanya beberapa hari selepas menjalani pembedahan tangannya, beliau berucap pada majlis perhimpunan pagi bulanan yang dihadiri para menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri di halaman yang dipanahi sinaran terik mentari.
Mesej yang disampaikan cukup jelas - beliau mahu para menteri dan penjawat awam bekerja dengan lebih tekun dan bersikap lebih bertanggungjawab ketika negara mendepani keadaan yang amat mencabar dari segi ekonomi serta dalam menghadapi ancaman daripada kumpulan militan Daesh.
Najib juga adalah perdana menteri yang paling kerap melawat Sabah dan Sarawak, bukan sahaja ke ibu negerinya, malah rumah panjang di pedalaman.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyifatkan Najib sebagai perdana menteri yang paling mengambil berat terhadap negeri itu, selain Sabah. - BERNAMA
Jumaat, November 21, 2008
RAFIDAH RELA KALAH DI GELANGGANG

Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.
Rafidah, 65, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.
"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.
Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lepas.
Dalam kenyataan itu, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan beliau mengumumkannya
."Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya."Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:
a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan
b) beliau patuh kepada pelan peralihan
c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar partid) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)," kata beliau.
Rafidah berkata beliau tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.Beliau berkata sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan, sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju atau membantah pelan peralihan yang dianjurkannya, perkara itu wajar dibangkitkan.
Rafidah berkata sekiranya perkara itu dilakukan sebelum proses pencalonan, maka Exco Wanita Umno pasti akan membatalkan pelan peralihan tersebut.
"Dan, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua," katanya.
Bagaimanapun, katanya, "bantahan" cuma ditimbulkan selepas mereka mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.
"Maka barulah pihak-pihak yang berkenaan membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas," katanya.
Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Rafidah berkata itu tidak lojik.Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.
"Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangkamasa itu ialah antara bulan Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008."
Ia telah diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan kuasa tidak terjejas," katanya.Rafidah juga berkata sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, ia juga bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding."
Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009," katanya.
Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lepas.
Mesyuarat Exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.
"Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua (Wanita) akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang," katanya.
Rafidah menyarankan agar semua pertandingan jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas tanpa menjejaskan sesiapa atau parti.
"Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan pembohongan, atau membawa pecah-belah," katanya.
Rafidah tetap lawan kerana dia rela kalah di gelanggang daripada memberi laluan percuma kepada Shahrizat. Maka Shahrizat kena pastikan Rafidah tumbang. Jika tidak karier Shahrizat berakhir pada Mac depan.
Langgan:
Catatan (Atom)
