Jumaat, Mac 15, 2019

2,775 ORANG DIRAWAT AKIBAT PENCEMARAN KIMIA DI PASIR GUDANG

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang mengenal pasti pihak terlibat dan bersalah dalam pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang yang sehingga kini menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam di kawasan itu.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang akhbar selepas melawat mangsa-mangsa pencemaran kimia yang dirawat di Hospital Sultan Ismail di Pasir Gudang, Johor hari ini.

Kejadian yang bermula pada 7 Mac lepas itu kini terkawal selepas pelbagai agensi kerajaan yang digerakkan segera secara bersepadu ke kawasan terjejas bagi menjalankan usaha menangani masalah itu dan memberikan rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Antara agensi Kerajaan Persekutuan yang terlibat dalam menangani kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Turut terlibat dalam operasi pengurusan krisis itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Kementerian Pendidikan yang telah berada di lokasi kejadian bagi tujuan operasi.

Sehingga kini seramai 2,775 orang dirawat di beberapa hospital di Johor akibat pencemaran kimia dengan tujuh daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Kejadian itu turut menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan penutupan semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan guru. Sejumlah 92 tadika dan taska di kawasan terjejas juga telah mengambil tindakan sama bagi mengelakkan peningkatan jumlah mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata seramai 1,483 daripadanya ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Pasir Putih manakala 423 orang lagi ditempatkan di Medic Base Dewan Taman Mawar. Kedua-dua pusat itu dibuka sejak 11 Mac.

Sebanyak 276 kes dirujuk ke Hospital Sultan Ismai, selain terdapat 869 mangsa mendapatkan rawatan secara terus di hospital dan klinik-klinik di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru tanpa merujuk kepada Medic Base yang dibuka.

Bagi memastikan jumlah mangsa berada pada tahap terkawal, kerajaan negeri telah mengambil pemantauan udara secara berkala dalam memastikan orang ramai sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkenaan insiden itu.

Pada masa sama, penduduk dinasihatkan agar lebih peka dengan persekitaran dan mengikut arahan pihak berkuasa daripada masa ke semasa memandangkan usaha melakukan pembersihan pencemaran toksik itu sudah pun dimulakan.

Sementara itu, kecekapan dan kepakaran agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terutama petugas perubatan dan keselamatan turut mendapat pujian Perdana Menteri kerana berjaya mengawal impak pencemaran daripada menjadi lebih teruk.

“Mereka telah menjalankan tugas dengan sempurna walaupun kes seperti ini tidak pernah berlaku tetapi nampak dari segi bomba, polis, hospital sekolah dan lain lain, mereka telah menangani masalah ini dengan cekap dan berhasil,” kata Dr Mahathir yang turut menyifatkan kecekapan doktor dan petugas perubatan sebagai ‘luar biasa’ kerana sedar dan tahu bagaimana menangani ‘gas beracun’ seperti itu.

Menteri Tenaga, Sains, teknologi, Alam Sekitar dan perubahan Iklim Yeo Bee Yin ketika menjawab soalan berhubung perkara itu di Parlimen hari ini menegaskan kementerian komited untuk menyiasat insiden itu sehingga akar umbi dan membawa mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu ke muka pengadilan.

“Kementerian telah menggerakkan sumber dari negeri-negeri lain ke Johor untuk memeriksa kesemua 254 kilang kimia di kawasan sekitar Pasir Gudang dalam masa tiga hari,” katanya.

Beliau berkata tindakan awal yang diambil ialah menahan tiga lelaki termasuk dua pemilik kilang di bawah peruntukan Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun...ini hanya untuk Akta di bawah kementerian ini, jika ada siasatan polis atau agensi lain, maka pendakwaan boleh dibuat,” katanya.

-- BERNAMA